Rabu, 8 Ogos 2012

Keruh di hulu, keruhlah di hilir

Artikel "
Perkembangan politik di Sabah akhir-akhir ini amat menarik dan menjadi tumpuan ramai.


 Dengan perkembangan terakhir ini tidak dapat lagi dinafikan bahawa BN Sabah sedang menerima tekanan yang amat berat untuk mempertahankan mandat yang ada pada mereka (BN) apabila PRU sampai masanya untuk diadakan. Musa Aman, pengerusi BN Sabah berkata penghijrahan Lajim Hj Ukin dan Wilfred Bumbering tidak langsung menjejaskan BN di Sabah. Kita faham bahawa kenyataan beliau (Musa) itu hanyalah satu kenyataan politik yang liar sahaja.

Isu yang menyebabkan BN Sabah khususnya UMNO tidak lagi mendapat perhatian rakyat sekarang ini terlalu banyak sehinggakan kita tidak dapat memahami di antara sebab atau alasan yang menyebabkan penolakan rakyat yang begitu ketara terjadi. Tetapi yang paling nyata sekali ialah isu peribadi Musa Aman sendiri yang tidak lagi sanggup diterima oleh rakyat Sabah sebagai pemimpin utama mereka. DAN pemimpin ini jugalah yang dipertahankan bermati-matian oleh Najib.
 
Tetapi kalau UMNO itu UMNO juga. Parti itu sememangnya terlalu leka dengan mempertahankan pimpinan yang diragui rakyat sejak tiga dekad yang lalu. UMNO tidak dapat menerima bahawa politik ini adalah peperangan mental dan jika Musa yang sudah dipersepsikan sebagai liabiliti kepada BN sepatutnya mengundurkan diri atau dipaksa oleh pimpinan tertinggi UMNO untuk berundur.

Tetapi biasalah, dalam UMNO, untuk memberhentikan seseorang itu terlalu susah kerana terlalu banyak pertimbangan sampingan yang kebanyakannnya adalah pertimbangan peribadi semata-mata. Pucuk pimpinan lebih cenderung untuk mendengar nasihat ‘warlords’ yang di sekeliling mereka daripada mendengar pandangan ramai. Tidak kita ketahui apa yang menyebabkan Najib khususnya terlalu terikat dengan Musa sehinggakan beliau (Najib) tidak berdaya untuk memberhentikan seseorang yang telah begitu parah persepsinya di mata rakyat itu. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinya.

Najib masih mempertahankan Musa sehinggakan rakyat Sabah merasakan bahawa UMNO hanya mementingkan keuntungan dan pertimbangan peribadi daripada memberikan pertimbangan terhadap keselamatan parti itu di mata rakyat. Isu ‘money laundering’ yang dikaitkan dengan peribadi Musa itu adalah isu yang amat serius dan tidak boleh lagi berada di dalam sebuah parti pemerintah jika kita pertimbangkan dari sudut etika sesebuah negara yang merdeka yang mengamalkan sistem demokrasi.

Kerana Musa segala-galanya pecah dan punah-ranah, dan itu belum lagi dilihat dari isu-isu besar yang lain. UMNO tidak mempertahankan etika serta moral sebagai sebuah parti pemerintah. Sejak tiga dekad yang lalu UMNO terlalu lalai dengan etika kepimpinan sehinggakan mereka yang tidak sepatutnya menjadi pemimpin dijadikan pemimpin oleh parti itu. Itulah sebabnya seseorang yang ingin menjadi pemimpin mesti seorang yang berintergriti, bukannya seorang yang pandai berpolitik tanpa moral dengan melaksanakan politik pecah perintah sejak zaman Dr Mahathir dahulu.

Akhirnya parti itu secara tidak disedari sudah dikuasai oleh mereka yang tidak beretika dan secara beransur-ansur juga rakyat memandang rendah terhadap kewibawaan parti itu seperti yang kita lihat sekarang ini. Apabila sudah sampai ke tahap yang tidak boleh diperbaiki lagi ini, barulah pucuk pimpinan hendak membetulkan keadaan tetapi sekarang usaha itu sudah terlambat.

Pucuk pimpinan yang sedang berusaha untuk memperbetulkan keadaan itu sendiri adalah dari kumpulan yang terbentuk dengan budaya buruk yang saya sebutkan tadi. Justeru kita lihat apa jua tindakan untuk memperbaiki keadaan yang dilakukan oleh Najib sekarang adalah seperti ‘tikus memperbaiki labu’ sahaja.

Rakyat termasuk rakyat Sabah sendiri mempunyai had kesabaran mereka. UMNO terlalu leka dengan kerja peribadi sehinggakan lupa bahawa yang mereka pimpin ini adalah sebuah negara bukannya persatuan murid tua sekolah kebangsaan Kuala Tahan. Segala teguran dan kritikan terhadap pucuk pimpinan dianggap sebagai penentangan dan tidak langsung diambil peduli.

Sekarang bagi BN, untuk mempertahankan kedudukan mereka, ia amat mahal harganya. Berbillion ringgit wang rakyat telah dibelanjakan untuk memberi ‘gula-gula’ kepada rakyat dan wang itu adalah wang rakyat sendiri. Saya teringat semasa kecil dahulu, askar-askar Australia dan New Zealand yang masih berada di negara ini selepas merdeka selalu melemparkan gula-gula kepada kanak-kanak sekolah semasa konvoi mereka melalui kawasan sekolah.

Murid-murid yang sedang menunggu bas untuk balik ke rumah berebut-rebut untuk mendapatkan gula-gula yang dilemparkan oleh askar-askar orang putih itu dari trak dan land rover yang dinaiki oleh mereka. Maka kita masih lagi dilakukan seperti itu oleh Najib untuk mempertahankan kedudukan mereka itu.

Zaman dan waktu ‘menggula-gulakan’ rakyat sudah berakhir termasuk bagi rakyat Sabah. Najib akan ke Sabah dengarnya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh BN Sabah. Bagi saya sikap BN, baik dari Pusat dan di Sabah sendiri, tindakan ini ibarat ‘sudah hendak berak baru menggali lubang’. Segala rintihan rakyat selama ini tidak dihiraukan: asyik dengan mempertahankan mereka yang dalam barisan kroni mereka tanpa memerhatikan etika dan kewajaran untuk mempertahankan mereka, termasuk pemimpin seperti Musa Aman.

BN jelas sudah menjadi pak pandir. Sibuk hendak mengambil alih Selangor tetapi terlepas pula Sabah dan negeri-negeri lain. Tutup lubang sana terbentuk pula lubang di sini. Yang dikejar tidak dapat yang dikendung berciciran.

Walaupun Najib akan ke Sabah tetapi dalam masa beliau ke Sabah itu ramai lagi ahli legislatif dari Sabah berhasrat untuk meninggalkan BN yang mereka tidak yakini itu dalam masa yang terdekat ini. Najib sudah mundar-mandir sampaikan beliau tidak ada masa untuk menguruskan negara.

Dalam pada Najib sibuk ke hulu dan ke hilir, ke darat dan ke baruh, untuk mengejar masa mempertahankan kuasa, sempat juga isterinya yang merupakan seorang ‘social climber’ yang terhebat di dunia ini, bergegas-gegas terbang ke London. Tujuannya (Rosmah) ialah untuk menyaksikan perlawanan akhir badminton di acara Olimpik  yang akhirnya kita kalah di tangan jaguh China, Lin Dan semalam.

Pingat emas tidak juga kita perolehi walaupun pemain bermain di hadapan seorang wanita yang tersohor di seluruh dunia kini, yang datang untuk memberikan semangat. Begitulah yang akan dihadapi oleh BN serta Najib; bergegas ke sana dan ke sini tidak tentu siang dan malam, tetapi BN berkemungkinan besar akan kalah juga akhirnya.

Pendeknya jika kita sudah sampai ke penghujung nyawa kita, tidak ada sesuatu pun boleh menyambung nyawa dan kehidupan kita. Begitu jugalah BN; apabila sudah sampai waktunya untuk dikalahkan tidak ada apa kuasa yang ada di tangan makhluk seperti kita ini mengelakkannya.

BN sepatutnya bersyukur dengan sokongan rakyat sebelum ini yang menjangkau 55 tahun itu. BN patut bersyukur dengan apa yang mereka telah perolehi selama ini dan jangan marah kepada apa yang mereka (BN) tidak perolehi lagi sekarang ini.

Kelalaiann UMNO selama inilah yang menyebabkan parti itu merudum. Dulu-dulunya semuanya 'taken for granted'. Akhirnya membawa bencana. Bak kata perpatah 'kalau keruh di hulu, keruhlah di hilir'. Sekarang ini kekeruhan yang dialami oleh UMNO itu adalah hasil daripada kekeruhan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin sejak tiga dekad dahulu.

Tiada ulasan: