"
Manusia
sering membuat pertimbangan antara keuntungan dan kerugian lebih
daripada membuat penilaian antara benar dan palsu. Ini dapat dilihat
apabila menyingkap sejarah mahupun di dalam retorik politik.
Pengumuman
Pakatan Rakyat (PR) untuk menghapuskan cukai eksais, cukai jualan dan
cukai import semua kenderaan dapat dinilai daripada perspektif
untung-rugi dan benar-palsu yang saya maksudkan tadi.
Jika
dihapuskan beban cukai tiga ganda ini, harga kereta nasional akan turun
ke sekitar RM30,000, manakala harga kereta seperti Honda dan Toyota
turun ke sekitar RM50,000 secara purata. Ini memberi rakyat peluang untuk memiliki
kenderaan, yang kini bukan lagi satu barang mewah tetapi satu keperluan
asas tatkala sistem pengangkutan awam masih pincang dan jarak antara
tempat tinggal dan tempat kerja semakin jauh akibat penempatan yang
bertambah luas.
Siapa yang akan untung? Sudah tentu rakyat
daripada semua lapisan. Sebanyak 20 peratus daripada RM580 bilion hutang
isi rumah sekarang adalah disebabkan pinjaman kereta, mengakibatkan
pendapatan boleh guna yang rendah kerana perlu membayar hutang kereta,
juga hutang rumah dan hutang kad kredit.
Jika diambil kira hutang
PTPTN, beban hutang isi rumah jauh tinggi daripada yang sepatutnya.
Tangga gaji yang bukan sahaja rendah malah membeku – ia hanya meningkat
2.3 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan, seperti yang dilaporkan
Jabatan Perangkaan – hanya menambahkan bukti bahawa rakyat terpaksa
menanggung kos sara hidup yang tinggi berbanding piawaian antarabangsa.
Ini
terbukti apabila nisbah harga rumah kepada gaji yang lazimnya lima kali
ganda (purata antarabangsa) hampir 15 kali ganda di negara kita.
Penghapusan
cukai tiga ganda akan menyebabkan Proton lebih berdaya saing kerana ia
mesti bertambah baik dan mengeluarkan kereta yang lebih berkualiti.
Selain menghapuskan cukai tiga ganda ini, sistem AP akan turut dirombak
agar kereta reconditioned akan menjadi lebih murah.
Inilah
perbezaan Agenda Reformasi Ekonomi Pakatan Rakyat yang berteraskan
‘merakyatkan ekonomi’ dan ‘keadilan ekonomi’ (economic justice) di dalam
sebuah negara berkebajikan. Dengan merangka dasar ekonomi tanpa
pengherotan yang menjadi teras ekonomi BN, harga barangan dan
perkhidmatan akan turun untuk keperluan dan keselesaan rakyat.
Selain
cukai tiga ganda ini, Pakatan Rakyat akan menghapuskan hutang PTPTN,
menurunkan harga minyak petrol, dan juga harga gula (dengan menghapuskan
monopoli ke atas komoditi ini). Harga rumah mampu milik juga akan turun
apabila tiada kolusi dan korupsi antara pemerintah, pembangun hartanah
dan pembina. Harga perkhidmatan kesihatan akan turun hasil daripada
penambahan kapasiti perkhidmatan kesihatan kerajaan yang lebih efisien.
Keutamaan juga diberikan kepada pemerkasaan dan integrasi perkhidmatan
pengangkutan awam termasuk komuter, LRT, dan MRT.
Amat menyedihkan
lagi kadar kemiskinan buat kali pertamanya semenjak 1999 telah
meningkat 1.5 peratus. Kita juga kena ingat bahawa angka kadar
kemiskinan atau Poverty Line Index rasmi pada RM800 adalah tidak tepat
di mana ia sepatutnya RM1,300 juga menutup kebenaran kadar kemiskinan
rakyat di negara ini, di mana koefisien Gini setinggi 0.46 (anggaran
Bank Dunia) – antara yang tertinggi di Asia.
Usaha PR untuk
merakyatkan ekonomi sering dibantah kerajaan Barisan Nasional dengan
hujah seperti negara akan muflis nyata tidak benar, kerana apabila ada
Reformasi Ekonomi akan berlakunya pengagihan ekonomi yang lebih adil
lalu memaksa sektor ekonomi bertambah efisien dan berdaya saing.
Ternyata
dengan pengurangan harga barang dan bebanan hutang, rakyat akan
menikmati pendapatan boleh guna yang lebih tinggi untuk disimpan,
dilabur atau mempelbagaikan perbelanjaan langsung merangsang ekonomi
negara dengan lebih mampan serta melimpah kepada lebih banyak syarikat
dan bukan kepada segelintir syarikat kroni yang miliki monopoli
komoditi. Inilah keuntungan untuk rakyat, yang akan merdeka daripada
menjadi tawanan ekonomi kapitalisme kroni dan hamba hutang.
Siapa
yang akan rugi? Penganut kapitalisme kroni akan merasakan kerugiannya
tatkala tiada lagi penswastaan keuntungan dan liabiliti sektor swasta
tidak lagi dinasionalisasikan. Lubang ketirisan ekonomi akibat rasuah,
pemerolehan projek terlalu mahal, dan amalan menjarah kekayaan negara
akan tertutup. Malah projek seperti LRT Ampang akan diberi secara tender
terbuka kepada syarikat yang benar-benar layak.
Insya-ALLAH,
tahun depan sekiranya melalui pilihan raya yang bebas dan adil sebuah
era baru akan diundi masuk ke Putrajaya, lebih ramai rakyat akan pulang
ke kampung halaman dengan memandu kereta baru masing-masing
Tiada ulasan:
Catat Ulasan