KUALA LUMPUR 20 April: Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata,
tindakan boleh diambil terhadap peguam terkemuka Shafee Abdullah kerana
didakwa melanggar etika peguam dan memberikan gambaran palsu kepada
badan kehakiman.
Ia berhubung surat yang ditulis Shafee kepada Ketua Hakim Negara,
Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim besar Malaya untuk menangguhkan semua
kesnya dari 1 April hingga 25 April, atas alasan dilantik kerajaan
untuk melaksanakan ‘satu tugasan sulit’ di luar negara.
Namun pelantikan itu kemudian dinafikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.
“Itu merupakan satu pembohongan sebab Nazri Aziz ketika ditanya di
dewan rakyat mengesahkan bahawa memang tidak ada pelantikan dibuat
terhadap Shafee oleh kerajaan Malaysia.
“Ia merupakan salah laku peguam dan tindakan boleh diambil. Kerajaan
Malaysia patut membuat aduan termasuk Majlis Peguam,” ujar Sivarasa yang
menyatakan laporan polis boleh dibuat terhadap Shafee.
Nazri sebelum ini berkata, kerajaan tidak boleh melantik peguam untuk mewakili isteri Perdana Menteri.
Keadilan difahamkan, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri
Rosmah Mansor melantik Shafee atas kapasiti peribadi, bagi mewakili
mereka dalam kes perbicaraan Scorpene di Perancis.
“Isu ini merupakan pengetahuan umum bahawa peguam Shafee Abdullah
dilantik secara peribadi untuk menyelesaikan satu tugasan guaman di luar
negara yang melibatkan perdana menteri dan isteri yang cuba
dirahsiakan.
“Rakyat Malaysia perlu tahu dan kerajaan wajib menerangkan kepada
rakyat. Ini kerana rakyat boleh buat kesimpulan ada sesuatu yang cuba
diselindungi oleh PM dan isterinya,” kata Sivarasa yang juga pengamal
undang-undang.
Tegasnya, pelantikan Shafee untuk persediaan perundangan sensitif
melibatkan empat bandaraya termasuk di Paris, bagi mewakili kerajaan
Malaysia dalam tugas sulit itu, adalah satu pembohongan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan ia merupakan satu percubaan
peguam itu untuk mempengaruhi hakim supaya semua kesnya ditangguhkan,
bagi menyelesaikan ‘misi sulitnya’ di luar negara.
“Ungkapan yang penting ditulis dalam surat berkenaan ialah tugasan itu mesti disiapkan sebelum pilihan raya.
“Namun Nazri membuat penafian mengenai pelantikan itu. Ini bermakna
peguam bagi gambaran palsu kepada tiga hakim apabila surat memberi
gambaran tidak benar bahawa Shafee dilantik oleh kerajaan Malaysia,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan