Jumaat, 2 Disember 2011

DAP: Serangan jijik Umno bukti tandus modal politik, tebal fitnah

DAP menyifatkan Umno sudah membuktikan ia ketandusan modal politik tetapi tebal dengan fitnah selepas pemimpin dan perwakilannya menggunakan kata-kata jijik dan berbaur perkauman dalam perhimpunan tahunan mereka kali ini.

Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng (gambar) berkata, nyata semua ibu bapa di Malaysia akan berasa jijik dengan bahasa yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin Umno.

“Jelas perbuatan mereka mencerminkan cara pemikiran Umno yang bukan sahaja ketandusan modal tetapi dipenuhi dengan fitnah, kebencian, permusuhan dan ketakutan,” kata beliau dalam satu kenyataan dengan merujuk bahawa

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin adalah antara yang paling lantang sekali dengan kenyataannya bahawa PAS dan PKR sudah menjadi bapok dan pondan, di samping melabelkan semua penyokong DAP sebagai bangsat.

“Untuk menyokong dakwaannya, Shaik menuduh kerajaan negeri Pulau Pinang tidak membenarkan perarakan tahunan Maulidur Rasul serta menyasarkan tindakan terhadap peniaga-peniaga Melayu.

“Kedua-dua dakwaan ini adalah fitnah semata-mata,” kata Lim.

Jelas beliau, statistik menunjukkan bahawa daripada semua tindakan penguatkuasaan majlis terhadap peniaga-peniaga, 70 peratus daripada tindakan di pulau dan 85 peratus di Seberang Perai telah diambil ke atas peniaga-peniaga bukan Melayu.

“Shaik juga mungkin dapat menipu rakyat dari luar Pulau Pinang, tetapi warga Muslim di Pulau Pinang semua tahu bahawa perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang bukan sahaja dibenarkan tetapi disambut dengan lebih meriah sekali oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang,” katanya lagi.

Dengan sikap tidak mempedulikan pilihan demokratik pengundi, katanya, Shaik telah berakhir dengan saranan supaya Umno mengembalikan dominasi Melayu di Pulau Pinang.

Malah katanya, sekali lagi Umno telah menunjukkan belang sebenarnya bahawa kuasa rakyat tidak penting dan 1 Malaysia itu hanya slogan kosong untuk menipu rakyat Malaysia untuk menyokong BN dan Umno.

“Seorang rakan NGO telah memberitahu saya, serangan ganas Umno di persada kebangsaan ini jelas menunjukkan bahawa kempen pilihan raya mereka tidak akan berdasarkan pertandingan idea tetapi satu perlumbaan berdasarkan isu-isu perkauman, seks, fitnah dan bahasa kotor.

“Mungkin aksi memalukan oleh wakil pemuda ini adalah gara-gara perangai Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, yang telah memangsakan anak saya yang berumur 15 tahun dengan ‘tweet’ yang berbunyi ‘mungkin di roboh Kampung Buah Pala sebab nak ganti dengan Kampung Buah Dada’, yang bertujuan untuk memfitnah anak saya bahawa kononnya dia telah mencabul rakan sekolahnya dan saya telah membayar RM200,000 sebagai sogokan untuk menutup skandal itu,” katanya.

Penggunaan isu-isu perkauman, seks, fitnah dan bahasa kotor sebenarnya adalah untuk menyembunyikan kekurangan dan ketakutan Umno, kata beliau.

Tambah beliau, bermula dengan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan diekori oleh Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan ucapan jihadnya, serangan-serangan ke atas sasaran mudah seperti Kristian, Cina, Pengerusi Bersih Datuk S. Ambiga, DAP dan juga penyokong DAP adalah satu tindakan terdesak untuk mengalih perhatian umum daripada kegagalan Umno untuk menangani masalah-masalah sebenar seperti rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.

“Langsung pula tidak disebut tentang skandal lembu dan kondo yang membabitkan keluarga seorang menteri persekutuan.

“Soalan patut ditanya kenapa pak cik biasa di kampung tidak pernah diberi peluang yang serupa?” katanya sambil menegaskan, “tidak pula disoal kenapa duit daripada pinjaman RM250 juta boleh diberi dua tahun sebelum perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua pihak.” Kata beliau lagi, semua hanya ingin menutup skandal di mana duit yang sepatutnya digunakan untuk penternakan lembu telah digunakan untuk membeli bukan sebuah tetapi dua buah kondominium mewah.

“DAP tidak akan bertindak balas terhadap dasar perkauman, seks, fitnah dan bahasa kotor Umno.

“DAP akan menumpukan perhatian terhadap reformasi pilihan raya, melawan rasuah melalui kepimpinan berintegriti, memupuk keadilan untuk semua dengan mendaulatkan undang-undang, menjunjung demokrasi dan hak asasi serta menggalakkan tatakelola pentadbiran yang baik berdasarkan kecekapan, kebertanggungjawapan dan ketelusan,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: