Najib yang sudah terbayang akan kehilangan kuasa, meneruskan kempen menakut-nakutkan 'bangsa Melayu' dengan pelbagai andaian. Najib menyatakan seolah-olah hanya umno/BN satu-satunya parti di dunia ini yang mampu mempastikan 'Melayu', 'Islam' dan negara ini ditadbir dengan baik.
Pentadbiran umno/BN selama lebih 54 tahun, membuktikan umno/BN telah menjahanamkan segala-galanya. Menurut Najib, hanya umno yang mampu menjaga kepenting orang Melayu dan Islam.
“Mereka (Pakatan) menawarkan janji alternatif yang menarik, sedangkan mereka sendiri belum tahu sama ada dapat menunaikannya atau tidak,” kata Najib.
Sebenarnya, Najib cuba untuk berbohong kepada dirinya sendiri, betapa beberapa buah kerajaan negeri yang sebelum ini ditadbir umno/BN, setelah diambil-alih oleh kerajaan Pakatan Rakyat berjaya memperbetulkan pelbagai penyelewengan dan dapat diurustadbirkan dengan baik. Tiada penyelewengan. Rasuah jauh sekali. Kepentingan dan kebajikan seluruh Rakyat di negeri-negri tadbiran PR, tanpa mengira warna kulit, bangsa, agama dan anutan politik, dijaga dan dihormati.
Tahap kesedaran Rakyat yang inginkan perubahan ke arah itu semakin meningkat dari sehari ke sehari. Keadaan inilah yang sebenarnya yang menghantui Najib hinggakan tugas dan peranannya sebagai Perdana Menteri kepada semua Rakyat, telah terabai sekian lama.
Hampir kebanyakan masanya ditumpukan bersama-sama 'orang umno' atau 'umnoputra' dan pihak-pihak yang dilihat masih setia kepadanya. Jika tidak bersama kumpulan-kumpulan ini, Najib akan bersama Rosmah mengelilingi dunia.
Najib sudah melupakan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri kepada sebahagian besar lagi Rakyat. Majoriti Rakyat Malaysia yang inginkan perubahan ini, dimusuhi Najib.
Mereka ini terus-menerus dihina, dikutuk dengan pelbagai dakwaan siang, malam, pagi dan petang. Tak tahu berterima kasihlah. Tak mengenang budilah. Pengkhianatlah. Tapi yang dihina oleh Najib ini adalah Rakyat Malaysia yang beliau merupakan Perdana Menteri mereka juga!
Maka jelaslah, Najib hari ini merupakan Perdana Menteri yang skop dan bidang tugasnya hanya memikirkan mengenai kepentingan beberapa kerat 'orang Melayu' dan 'Islam' yang masih bersama-samanya. Dakwaan Najib bahawa masa depan Melayu ‘gerhana’ jika Pakatan menang PRU tidak merujuk kepada keseluruhan bangsa Melayu sebaliknya hanya melibatkan Melayu 'umnoputra' yang masih bersimpati kepadanya. Bangsa dan agama lain seolah-olah sudah tidak wujud dalam pemikiran Najib.
Sudah tiba masanya majoriti orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban, Sikh, Orang Asal dan lain-lain berusaha mencari pengganti Najib sebagai Perdana Menteri. Seorang Perdana Menteri yang dapat diterima Rakyat. Perdana Menteri yang dapat memberikan khidmat kepada SEMUA bangsa dan agama, bukan hanya kepada 'umnoputra'.
Sebab itu juga, Chua Soi Lek pun semakin berani berperanan sebagai 'Perdana Menteri Kedua' dengan mengeluarkan kenyataan memperlekehkan Hukum Hudud sekali lagi, kerana Perdana Menteri Pertama dilihatnya terlalu sibuk menjaga urusan dan kepentingan 'umnoputra'.
Haji Mohd Najib Tun Razak sudah tidak lagi berkemampuan untuk memikul tanggungjawab menjadi Perdana Menteri kepada seluruh Rakyat Malaysia.
Najib dakwa masa depan Melayu ‘gerhana’ jika Pakatan menang PRU
SHAH ALAM, 5 Dis – Datuk Seri Najib Razak memberi amaran masa depan orang Melayu akan “gerhana” jika Barisan Nasional (BN) pimpinannya tidak lagi kekal berkuasa dalam pilihan raya umum ke-13.
Susulan ketegasan pada Perhimpunan Agung Tahunan Umno hujung minggu lalu, perdana menteri memberitahu sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa mempunyai keahlian lebih dua juta orang bahawa menjadi tanggungjawab mereka untuk mempertahankan kerajaan semasa.
“Pilihan alternatif, adakah mereka lebih baik daripada apa yang ada sekarang? Adakah mereka boleh menjamin kuasa kita tidak dibuang atau kedudukan kita tidak terhakis? Bagaimana dengan maruah Islam dan orang Melayu?” kata beliau (gambar) pada pertemuan anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia’s (Pekida) di sini hari ini.
Najib juga memberi amaran negara akan menghadapi pelbagai ancaman sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
“Kita akan terus mempertahankan pemerintahan sedia ada dan berjuang berhabis-habisan untuk menegakkan pemerintahan yang memperjuangkan martabat Melayu dan Islam.
“Mereka (Pakatan) menawarkan janji alternatif yang menarik, sedangkan mereka sendiri belum tahu sama ada dapat menunaikannya atau tidak,” kata Najib.
Tambah beliau, rakyat tiada pilihan lain selain mengekalkan kerajaan sedia ada bagi memastikan kemakmuran dan keamanan negara ini terus terpelihara.
“Kita tiada pilihan lain, hanya kerajaan sedia ada yang mampu menjamin keamanan dan kesejahteraan negara, saya tidak dapat bayangkan sekiranya kita terlepas kuasa ini, masa depan akan berubah menjadi gerhana dan cita-cita kita akan terkubur begitu sahaja,” tegasnya merujuk kepada Pakatan Rakyat yang dilihat tidak berwibawa untuk mentadbir negara ini.
“Mereka belum memerintah, tetapi sudah berjanji untuk memberi bulan dan bintang kepada rakyat,” katanya lagi menegaskan hanya Umno dan BN yang memperjuangkan martabat Melayu dan agama Islam di negara ini.
Jelas Najib lagi, BN juga menolak fahaman ekstremis yang cuba merosakkan hubungan kaum di negara ini.
“BN menolak fahaman yang ekstrem, fahaman itu bukan dasar pemerintahan BN, tetapi kerajaan lebih kepada membantu dan menghulurkan tangan kepada kaum lain untuk kemakmuran negara,” tegasnya mempertikaikan dakwaan pembangkang yang menyatakan Umno dan BN bersifat rasis.
“Melayu tidak pernah berat sebelah, tidak pernah menjadi rasis semenjak mentadbir negara ini sejak merdeka, bahkan memberikan keadilan kepada semua,” tegasnya lagi.
Dalam ucapannya itu, Najib turut memberikan contoh negara-negara besar yang menghadapi pelbagai krisis akibat daripada pemerintahan yang tidak cekap seperti Greece dan Itali.
“Kerajaan berusaha mentadbir negara dengan berhemah, sekiranya rakyat tersilap membuat pilihan sewaktu pilihanraya akan datang, tidak mustahil kita akan mengikuti jejak mereka,” katanya memberi ingatan kepada ahli Pekida yang hadir daripada seluruh negara.
Perdana Menteri turut menegaskan Umno-BN tidak akan sekali-kali membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang merempat di negara sendiri, dan beliau akan mempertahankan setiap inci negara daripada kekuasaan pembangkang bagi memastikan pemerintahan sedia ada terus kekal.
Dalam perhimpunan itu, ahli Pekida turut membuat sumpah bai’ah untuk tetap setia bersama Umno bagi memastikan kemenangan sewaktu pilihan raya akan datang.
Perhimpunan tersebut turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor yang juga Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Presiden Pekida, Jamaluddin Yusof.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan