Khamis, 17 November 2011

FBC yang diupah Najib pernah bekerja untuk rejim Mubarak

Syarikat penerbitan London, FBC Media yang diupah kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Razak, didapati pernah bekerja untuk rejim bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Mubarak yang berkuasa di Mesir selama 30 tahun digulingkan menerusi revolusi pada 25 Januari lalu, menyaksikan jutaan rakyat Mesir turun ke jalan raya selama 18 hari.

Perkara itu disahkan akhbar The Independent UK dalam laporan mengenai Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang turut membeli program terbitan FBC Media.

“The Independent mendapati FBC pernah bekerja dengan rejim bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak,” kata akhbar itu dalam rencana mereka berjudul “Skandal program ‘murah’ BBC terdedah.”

Menurut akhbar itu, BBC kini berhadapan siasatan badan penyelaras penyiaran di UK, Offcom di atas penyiaran 15 program editorial yang hanya menelan “kos yang kecil”.

Lapan daripada 15 program yang diperolehi BBC itu datangnya daripada FBC Media, yang menerima bayaran 17juta pound daripada pentadbiran Najib untuk memperbaiki imej pentadbirannya di peringkat antarabangsa.

FBC dilaporkan menghasilkan tujuh program untuk BBC di Malaysia, empat daripadanya untuk siri “Develop or Die”.

BBC kini dilaporkan bertindak menamatkan kontrak mereka dengan FBC.

“Berkenaan FBC, kami dengan segera menggantung penyiaran program dari FBC apabila sedar tentang isu ini dan FBC sendiri kemudiannya mengaku yang ia bekerja untuk kerajaan Malaysia,” kata jurucakap BBC seperti dilaporkan The Independent.

Sebelum ini kerajaan mengaku melantik FBC Media sebagai konsultan untuk menaikkan imej Malaysia dan juga Perdana Menteri di peringkat antarabangsa.

Kontrak selama setahun itu disambung sebanyak dua kali dan tamat pada 2010 dengan kos perbelanjaan selama tiga tahun sebanyak Euro 19.6 juta (RM84 juta).

Tiada ulasan: