Sekarang Aziz Bari dari UIA pula yang menjadi sasaran. Saya selalu berkata di dalam pimpinan UMNO dan BN bercakap benar adalah satu kesalahan. Berbeza pendapat itu adalah kesalahan. Jika sesiapa yang mengkritik secara berterusan akan ada sahaja helah untuk memberikan tekanan kepada seseorang itu.
UMNO dan BN sudah beraja di hati dan bersultan di mata. Aziz Bari tidak mengkritik Sultan tetapi beliau dituduh berbuat demikian. Mereka berkuasa dan mempengaruhi pentadbiran UIA untuk menghantar surat tunjuk sebab kepada Aziz Bari. Kata-kata Aziz Bari diinterpretasikan sebagai menderhaka kepada Sultan.
Entah bila UMNO ini sayang pada Raja saya pun tak tahu. Setahu saya UMNOlah yang menderhaka kepada Raja pada 1993 dahulu. UMNOlah yang telah menelanjangkan Raja-Raja Melayu dalam krisis perlembagaan itu. Ramai pemimpin UMNO yang membuat kenyataan mengkritik Raja sebagai institusi yang kononnya sudah tiada relevannya lagi.
Malahan ada ahli Parlimen bercakap begitu bongkak dengan mencadangkan Raja-Raja Melayu diikat dan dirotan dan sebagainya. Lebih menyedihkan lagi Almarhum Tuanku Jaafar telah dituduh menyewakan tanah untuk membela babi di Bukit Pelandok. Utusan Malaysialah yang mengetuai serangan terhadap Raja Melayu semasa itu.
Media perdana telah mensensasikan isu Raja-Raja Melayu dan memfitnah Raja Melayu seolah Raja-Raja Melayu itu lebih rendah dari manusia biasa. Apabila saya sebut isu ini ada pula yang mengatakan Dr Mahathir melakukannya semata-mata untuk kebaikan Raja Melayu itu sendiri dan berbagai-bagai alasan yang diberikan oleh penyokong beliau bagi menghalalkan tindakan menghina Raja-Raja Melayu itu.
Kenapa sekarang UMNO dan pemimpin-pemimpin yang menghina secara direct semasa itu tidak dihadapkan ke mahkamah sedangkan perlembagaan negara sebelum dipinda semasa itu telah dengan terang menyatakan yang Raja tidak boleh disentuh sama ada di dalam atau di luar parlimen. Kenapa Dr Mahathir, dan ramai di antara pemimpin UMNO semasa itu tidak dikemukakan kepada pengadilan sedangkan Aziz Bari yang hanya membawa pandangan akademik itu dengan pantas diperlakukan dengan tidak adil.
Aziz Bari adalah seorang tokoh akademik dan beliau mempunyai pengikut dan ramai yang memberikan perhatian terhadap pandangan beliau. Mahasiswa UIA kini sedang memberontak kerana tindakan yang tidak adil terhadap seorang tokoh akademik yang serius yang pandangannya diambil perhatian bukan sahaja oleh Mahasiswa UIA tetapi juga oleh masyarakat ramai yang mengikuti pemikiran beliau.
Hari demi hari pihak yang memerintah menunjukan sikap tidak menghargai pandangan terbuka seorang yang serius terhadap keadaan semasa negara. Tindakan terhadap Aziz Bari mendapat tentangan orang ramai kecuali dari mereka yang buntu dan jumud pemikiran.
Jika pun Aziz Bari hendak diambil tindakan, pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin politik negara yang terang-terang telah melacurkan institusi Raja pada tahun 1993 dahulu. Pihak yang memegang kuasa perlu ingat mereka yang menyaksikan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu pada tahun 1993 dahulu masih ramai yang hidup dan masih ingat betapa beratnya nesta yang dilemparkan terhadap Raja-Raja Melayu oleh pemimpin UMNO yang diketuai oleh Presiden UMNO semasa itu.
Sekarang ini bekas Presiden UMNO itu pula yang mengkritik Aziz Bari dengan mengatakan Aziz Bari bersifat kurang ajar terhadap Raja Melayu. Saya tetap berharap supaya nasib Aziz Bari akan diperjuangkan oleh pelajar-pelajar dan Mahasiswa seluruh negara kerana isu ini bukan setakat melibatkan mahasiswa UIA tetapi juga masyarakat mahasiswa seluruh negara.
Saya berharap agar seluruh masyarakat kampus termasuk kakitangan akademik universiti-universiti seluruh negara memberikan desakan supaya tokoh akademik dibela secara optimum untuk memastikan tidak ada pihak yang akan diambil tindakan secara tidak adil pada masa-masa yang akan datang semata-mata kerana memberi pandangan yang berbeza.
Jika kali ini tindakan diambil terhadap Aziz Bari, selepas ini tidak ada sebab kakitangan akademik yang lain tidak akan menerima nasib yang sama pada masa yang akan datang. Saya mengikuti hampir semua pandangan Aziz Bari dan saya tidak nampak apa-apa sebab kenapa beliau cuba di sabitkan dengan isu menghasut seperti yang dituduh terhadap beliau.
Ambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin negara yang telah melanggar institusi Raja-Raja dahulu ke muka pengadilan terlebih dahulu sebelum berfikir untuk melakukan sesuatu terhadap Aziz Bari. Ini penting jika pihak berkuasa ingin membuktikan yang semua orang tidak kebal dari segi undang-undang.
Jangan hanya pandai mengaku yang pihak berkuasa adalah adil kepada semua sedang pemimpin besar UMNOlah yang telah melakukan kesalahan yang paling besar terhadap institusi demokrasi negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan