Jumaat, 22 Julai 2011

Penduduk Kuantan resah dengan Lynas


KUANTAN, 21 Julai: "Di negara mereka, ditetapkan peraturan zon bafer seluas 30 km dari kilang rare earth (nadir bumi), namun di sini, jika apa-apa berlaku seluruh bandar Kuantan akan terlibat kerana kilang ini hanya 25 km sahaja dari bandar Kuantan."

Fakta inilah yang membuatkan penduduk Kuantan sekarang resah dengan kehadiran kilang 'lampu' atau 'Lamp' yang akan dibina di kawasan perindustrian Gebeng, 25 km dari bandar Kuantan. Ia disingkatkan dengan nama Lamps On pada papan tandanya di Gebeng.

Namun sebagaimana biasa, masyarakat Cina di sini jauh lebih resah berbanding dengan orang Melayu kerana inilah yang sentiasa berlaku apabila melibatkan sensitiviti masyarakat. Mereka telah mengepalai NGO "Save Malaysia - Stop Lynas' bagi melawan projek ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyalahkan sikap media Melayu yang terlalu 'membela' kerajaan dalam laporan mereka menyebatkan sensitiviti orang Melayu rendah dalam isu sebegini.

Satu keluarga Cina di Kuantan diminta berpindah dari bandar itu oleh ibu mereka kerana takutkan apa yang berlaku di Bukit Merah, Ipoh berlaku lagi di Kuantan dengan pembinaan kilang 'Lamp' ini.

Ini kerana, kilang yang sama di Bukit Merah, Ipoh (bukan Bukit Merah, Taiping) telah diarahkan tutup oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 1992 ekoran tindakan penduduk tempatan membantahnya selepas dipercayai menyebabkan pelbagai kecacatan dan kematian kepada penduduk berhampiran kilang ini.

(Papan tanda jalan masuk ke kilang Lynas di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan)

Lamp adalah singkatan dari perkataan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) sebuah kilang memproses nadir bumi yang sudah 65 peratus siap (ada yang berkata 90 peratus siap) sekarang ini. Ia dibina di atas tapak sebuah kawasan perindustrian yang berjiran juga dengan kilang-kilang perindustrian yang lain di situ.

Antara kilang yang berkongsi pagar dengan Lamp adalah Polyplastics, BASF Petronas Chemicals dan juga Palmoil Industrial Cluster yang sedang dibina.

Di seberang jalan pula adalah pusat latihan Agensi Penguatkuasaan Meritim Malaysia (APMM).

Pada papan tandanya, tercatat papan tanda LAMPS ON atau Lynas Advanced Material Plant (LAMP) yang dimiliki Lynas Malaysia Sdn Bhd dan UGL Resources. UGL Resources adalah syarikat utama yang berpengkalan di Australia dalam bidang Pengurusan Aset dan Projek dengan jumlah kakitangan sekitar 42,000 orang.

Mereka telah dianugerahkan Kontrak Pengurusan Projek Pembinaan Lynas di Gebeng pada 22 Februari 2010 dengan nilai kos pengurusan projek di sekitar RM96.8 juta.

UGL Resources bertanggunjawab di dalam urusan rekabentuk kejuruteraan kilang Lynas. Kos infrastruktur Lynas di Gebeng dianggarkan sekitar RM700 juta.

(Bangunan APMM yang siap untuk digunakan hanya dipisahkan dengan jalan raya dan sebuah kilang sahaja dengan kilang Lynas. Ia tidak sampai 5 km jaraknya sebagaimana yang disarankan dalam laporan EIA)


Kilang ini adalah 100 peratus milik Lynas Australia dan dijadual untuk disiapkan Suku-3 2011 (iaitu September). Tarikh asal dikatakan pada suku-pertama 2011 (Mac).

Selepas siap nanti, nadir bumi yang dilombong di Australia akan dibawa ke perlabuhan Kuantan dengan kapal. Dari kapal, ia akan dibawa dengan lori ke kilang ini untuk diproses sebelum dieksport semula.

Ada beberapa isu penting yang membimbangkan penduduk tempatan.

1) Bahan 'nadir bumi' ini berupa gentian yang sangat halus yang mengandungi bahan radio aktif. Ia sangat merbahaya kalau tertelan atau dihidu dan masuk ke dalam badan.

2) Semasa memproses nadir bumi ini, ia akan melibatkan penggunaan yang asid Hidroklorik dan asid Sulfurik yang banyak. Ia sangat bahaya kalau terlepas bebas ke udara.

3) Prosesnya juga melibatkan banyak air dan air yang telah digunakan akan dilepaskan ke Sungai Gebeng selepas dirawat. Namun setakat manakah rawatan itu berlaku dan apa berlaku jika rawatan ini tidak lengkap.

3) Bahan sisa kilang ini juga mengandungi radio aktif. Di mana ia akan dibuang dengan selamat.

Ke empat-empat isu inilah telah menyebabkan penduduk tempatan khasnya di Beserah dan Gebeng serta Kuantan menubuhkan NGO khas bagi menghadapinya.

Badan itu adalah Save Malaysia - Stop Lynas dan satu lagi Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery (Badar).

(Tiga penggerak utama Badar yang dipimpin oleh Amdan Sura [berdiri di tengah] ketika ditemui di Gebeng Ahad lepas)

Hari ini, Badar telah menyerahkan memorandumnya kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi membantah kebenaran yang diberikan MITI untuk pembinaan kilang ini di Malaysia.

Mereka juga bertemu dengan Lajnah Guaman PAS bagi membuat proses tindakan undang-undang bagi menyekat pembinaan kilang ini di Gebeng.

"Pada peringkat awal dahulu kita agak lunak dengan pembinaan kilang ini tetapi setelah mengetahui secara mendalam, kita tidak akan biarkan dan akan menentangnya," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul hadi Awang kepada Harakahdaily dua hari lalu.

Tiada ulasan: