Rabu, 29 Jun 2011

Subsidi RM74 bilion: Kerajaan guna PEMANDU perdaya rakyat- pakar.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno-BN memperdaya rakyat apabila Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) menyatakan kerajaan menanggung bil subsidi berjumlah RM74 bilion pada 2010.

Pakar ekonomi profesor pelawat Universiti Nottingham, Subramaniam Pillay berkata demikian ketika bercakap pada dialog belanjawan Selangor 2012 di Subang Jaya hari ini

Jelas Subramaniam, 54 peratus daripada bil itu adalah untuk pendidikan dan kesihatan yang sebenarnya adalah tanggungjawab kerajaan, sepertimana negara lain di dunia.

“Semua kerajaan di dunia beri subsidi untuk barangan berlainan untuk golongan rakyat yang berbeza. Tetapi bagi pendidikan dan kesihatan, yang dinamakan oleh pakar ekonomi sebagai ‘public goods’ dan ini adalah tanggungjawab kerajaan,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

“Semua negara maju di seluruh dunia beri subsidi dalam jumlah yang besar untuk kesihatan, kecuali di Amerika Syarikat tetapi (Presiden Barack) Obama baru-baru ini membentangkan Rang Undang-undang Kesihatan,” katanya lagi.

Sekiranya kerajaan tidak menampung subsidi dua barangan berkenaan, bil subsidi hanya RM31.1 bilion.

Dari jumlah tersebut, subsidi makanan yang secara langsung sampai kepada rakyat hanya bernilai RM3 bilion atau lebih kurang 2 peratus daripada bajet kerajaan persekutuan.

Tambahnya, sebahagian besar subsidi RM23.7 bilion untuk bahan api dan tenaga yang dibayar pada 2010 disalurkan kepada subsidi gas yang kemudian diberikan kepada pengeluar tenaga bebas.

“Bagi infrastruktur, semua subsidi disalurkan kepada (konsensi lebuhraya) bukan kerana mereka memerlukannya tetapi kerana mereka menandatangani perjanjian (dengan kerajaan) yang bodoh. Ini bukan subsidi untuk rakyat,” tegasnya.

Perangkaan RM74 bilion yang dikeluarkan oleh PEMANDU digunakan oleh BN sebagai alasan bahawa pengurangan subsisidi petrol, gas asli, diesel dan barangan makanan yang lain adalah berpatutan kerana kerajaan menanggung bebanan yang berat.

Tiada ulasan: