TEMERLOH 30 MEI :Ramalan tarikh pilihan raya yang bertiup semakin kencang telah lama dihidu oleh Pakatan Rakyat sekaligus memberi kelebihan kepada gagasan itu membuat persiapan rapi menjelang tarikh keramat itu.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu berkata, semakin dekat tarikh pilihan raya bermakna semakin dekat perubahan menghampiri Putrajaya, sekaligus menandakan sedikit sahaja lagi benteng Umno-Barisan Nasional bakal dirempuh.
"Sesetengah pihak berpandangan pilihan raya mungkin sekitar bulan 7, ada yang meramalkan bulan 11 ada juga yang mengatakan awal tahun depan, himpunan kita pada malam ini kita nampak, masyarakat hari ini mahu pilihan raya dekat kerana semakin dekat dengan pilihan raya, semakin dekat kita dengan Putrajaya," kata Mohamad kepada hadirin yang membanjiri Tapak Kompleks PAS, Kerdau, malam semalam.
Jelas Mohamad, kehadiran hampir 10,000 Warga Felda dan penduduk Pahang pada himpunan kebangkitan warga Felda Pahang ini adalah gambaran awal bahawa Putrajaya bukan lagi kubu kuat Umno-Barisan Nasional.
Kebanjiran rakyat ini juga katanya membuktikan bahawa rakyat sudah jelak dengan pembohongan dan propaganda mainan pemerintah terutamanya yang berkaitan dengan kemajuan ekonomi dan pembangunan.
Namun ujar Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, isu pembangunan ini tidak lagi relevan pada hari ini.
"Selepas pilihan raya 2008, isu ekonomi dan isu pembangunan tidak dapat digunakan lagi. Kalau dulu mereka (Umno-BN) mengatakan kalau BN kalah tiada pembangunan, BN kalah pelabur asing tidak datang, dan rakyat banyak yang akan hilang pekerjaan.
" Mereka-Umno-BN cuba sinonimkan pembangunan dengan Umno dan BN,"kata Mat Sabu lagi.
Ironinya, fakta daripada Badan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada tahun 2008 dan ke atas membuktikan, negeri tertinggi menjadi tumpuan pelabur asing adalah Pulau Pinang diikuti Selangor dan Kedah yang tidak ditadbir pemerintah.
Mengulas senario ini, Mat Sabu berkata rekod tersebut jelas memberihu rakyat bahawa tanggapan Umno-BN selama ini meleset sama sekali.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Umno sengaja mencipta isu luar jangka bagi mengaburi mata rakyat selain membekalkan pelbagai program berunsur hiburan untuk melalaikan rakyat dari isu semasa yang semakin mencengkam kehidupan rakyat marhaen.
"Mereka cuba mengalihkan perhatian kita semua kepada isu-isu yang sengaja mereka wujudkan daripada isu sebenar yang dihadapi oleh rakyat,"ujarnya.
Baliau berkata demikian mengulas usaha terdesak Umno-BN yang mengunakan fitnah video lucah untuk menyerang pemikiran golongan dewasa manakala penganjuran Hari Belia Negara pula untuk menawan golongan muda.
Melihat kepada dasar Pakatan Rakyat menerusi Buku Jingga yang mula diterima rakyat, Umno-BN terus-terusan mengkritik dari pelbagai sudut namun pada masa sama menyadur idea itu untuk diadaptasi dalam kepimpinan mereka.
"Yang hairanya, setiap kali kita lancarkan sesuatu, mereka kritik, mereka komen tetapi akhirnya mereka tiru, kita lihat bagaimana mereka menggunakan media menyerang cadangan kita dalam Buku Jingga dengan menggambarkan sekiranya Buku Jingga diteruskan negara bakal bankrup, tetapi kini satu demi satu mereka tiru,"kata Tuan Ibrahim.
Pada majlis yang sama, PAS turut menyiarkan montaj cadangan penubuhan sebuah universiti Felda yang dinamakan Universiti Teknologi Felda Tun Abdul Razak.
Universiti itu dicadang dibina di atas tapak seluas 400 hektar di Jengka, Pahang, memandangkan Pahang adalah negeri yang paling banyak tanah rancangan Felda.
Ia akan berperanan sebagai institusi pendidikan khusus kepada anak-anak peneroka Felda seperti Universiti Tenaga Nasional yang memberikan keutamaan kepada anak-anak kakitangan Tenaga Nasional Berhad.
Ia turut menyaksikan penyerahan borang keahlian 160 orang ahli baru Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) kepada Pengerusi Anak, Mazlan Aliman di hadapan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan