Atau, adakah Mahathir sekadar berbohong untuk menutup pekung di dada dan menghalalkan segala penyelewengan kuasa, pemborosan dan rasuah dan kronisme yang mewarnai pemerintahan beliau?
Bersandarkan buku “A doctor in the house” dan pengakuan Mahathir sendiri, mantan perdana menteri itu mahu rakyat percaya bahawa bukan keputusan beliau memecat Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas pada tahun 1988.
Malah beliau juga tidak bertanggungjawab ke atas penangkapan lebih seratus orang aktivis masyarakat dan ahli politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri menerusi Operasi Lalang pada tahun 1987.
Dalam buku nukilannya, Mahathir meletakkan beban pemecatan Salleh Abas kepada mantan Sultan Johor Al-Marhum Sultan Mahmud Iskandar.
Almarhum yang mangkat tahun lalu, kononnya mendesak Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu untuk memecat Salleh.
Gadaikan negara
Selain itu Mahathir, mengikut pengakuannya sendiri, terpaksa akur desakan Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar untuk melancarkan Ops Lalang.
Mungkin perlu ditambah kepada pendedahan Mahathir itu adalah tema yang sering dikitar oleh beliau, bahawa bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya “menggadaikan” negara apabila berurusan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF.
Mahathir mahu rakyat mempercayai bahawa walaupun menjadi Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri atau dalam erti kata lain, orang paling berkuasa di Malaysia, beliau tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menegur Anwar mengenai tugas-tugasnya.
Mahathir juga mahu kita mempercayai bahawa beliau tidak sama sekali mengarahkan Petronas menggunakan hasil minyak untuk membeli kapal-kapal tangki bernilai lebih RM1bilion untuk menyelamatkan anaknya Mirzan ketika kemelesetan ekonomi 1997.
Begitu juga dengan keputusan Petronas untuk membiayai projek-projek seperti pembinaan Putrajaya, Lapangan Terbang KLIA dan sebagainya. Semua pelaburan berjumlah lebih RM100 bilion ringgit itu itu adalah berasaskan keputusan dibuat oleh pengurusan Petronas sendiri dan bukan atas kehendak Mahathir.
Jadi rakyat tidak boleh dipersalahkan jika merumuskan Mahathir adalah seorang Perdana Menteri yang mengaku dirinya sebagai tidak mempunyai kuasa dan hanya mentadbir di bawah telunjuk pihak lain.
Seorang pengecut
Selasa lalu, ketika melancarkan buku itu, Mahathir berkata beliau mengambil masa lapan tahun menulisnya dan menunggu masa sesuai sebelum melancarkan buku itu.
Amat mendukacitakan Almarhum Sultan Mahmud sudah mangkat dan tidak dapat membela diri terhadap tuduhan Mahathir bersabit pemecatan Salleh Abas. Pemecatan beliau bersama lima hakim kanan yang lain masih menjadi detik hitam dalam sejarah perundangan negara.
Mahathir mengelak daripada memikul tanggungjawab mencalar dan menghakis kewibawaan sistem kehakiman negara tetapi sebaliknya menyalahkan seorang Sultan yang sudah mangkat.
Dalam kes Anwar, Mahathir mengelak untuk memberi keterangan di mahkamah, tetapi ibarat seorang pengecut, beliau melontarkan fitnah dan tuduhan dan berlindung di bawah payung Umno yang melihat Anwar sebagai musuh politik utamanya.
Mungkin kini sudah sampai masanya pihak Istana menegur Mahathir kerana sifat celuparnya mengheret keluarga diraja Johor semata-mata untuk menghalalkan tindakannya memecat Salleh Abas demi menyelamatkan diri beliau dan Umno pada tahun 1988.
Dan, mungkin sampai masa Mahathir sedar bahawa lebih banyak beliau bercakap, lebih terserlah pembohongannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan