Sabtu, 22 Januari 2011

LEBIH BAIK ROSMAH SAJA JADI PM



Kolumnis terkemuka, A Kadir Jasin mengulas beberapa respons dalam blognya, mengenai pembabitan aktif isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, terutama dalam lawatan terbaru ke Asia Barat (kunjungan empat hari ke Oman). Rosmah ke sana bukannya kerana mengiringi Najib Razak. Ini bukan kali pertama Rosmah bertindak atas kapasitinya sebagai "First Lady", yang sebenarnya tiada diperuntukkan dalam sistem pemerintahan di negara kita.

Melalui blognya, kadirjasin.blogspot.com, terdapat pembahas yang mencadangkan agar Rosmah masuk politik dan bertanding pilihan raya umum akan datang. Menurut Kadir, seorang bekas menteri kanan yang diketahui cukup akrab dengan Najib dan Rosmah berkata isteri Perdana Menteri itu berpengaruh dan berpotensi memanfaatkan kedudukan istimewanya untuk satu peranan yang lebih besar.

"Rosmah sudahpun mempunyai profil yang cukup tinggi dan mempunyai kedudukan de facto dalam sistem pemerintahan negara melalui projek Permata Negara yang mendapat peruntukan langsung dari Perbendaharaan sebanyak RM111 juta dalam Belanjawan 2011. Beliau juga memperoleh dan menikmati liputan berita yang cukup rapi dan meluas daripada media," tulis Kadir.

Selepas memperincikan kemunculan begitu ramai isteri sebagai pengganti suami dalam lanskap politik dunia, Kadir sempat mengusik: "Saya rasa pembangkang pun akan pening kepala kalau Rosmah bertanding. Hubungan beliau yang akrab dengan bintang-bintang Bollywood, boleh digunakan untuk menarik puluhan ribu hadirin ke ceramah-ceramah pilihan rayanya.

"Yang perlu hanya membawa bintang-bintang filem Bollywood dalam kempen beliau. Selain itu, beliau juga seorang penyanyi yang bagus yang tentunya boleh memikat hati pengundi Melayu yang rata-rata gilakan Bollywood dan sukakan hiburan."

Saya turut bersetuju andaikata Rosmah berhasrat untuk terlibat aktif dalam politik, termasuk bertanding dalam pilihan raya umum dan bersedia menggantikan Najib nanti. Situasi menjadi lebih keliru jika benar beliau sekarang bertindak di sebalik tabir dalam proses pembuatan dasar dan juga penganugerahan projek-projek. Keadaan hampir menyamai era Abdullah Ahmad Badawi apabila menantunya, Khairy Jamaluddin dikatakan menentukan keputusan-keputusan penting negara.

Biar rakyat membuat penilaian, sama ada seorang wanita bersedia dipilih rakyat sebagai Perdana Menteri, daripada membiarkannya menjadi dalang yang tidak boleh dipertanggungjawabkan, 'kan? Apatah lagi lawatan glamournya itu menghanguskan wang rakyat yang begitu banyak. Bayangkan saja kos penginapannya di sebuah hotel di Dubai didakwa mencecah RM140,000 semalam!

Lebih daripada itu, Rosmah cukup licik mempergunakan kedudukannya sebagai isteri Perdana Menteri, sehingga banyak pihak rimas dengan "kuasanya" yang melampaui batas. Segalanya mahu disentuh Rosmah, kadang-kadang mengalahkan menteri yang mengetuai potfolio tertentu.

II.

Selepas Dr Mahathir Mohamad dimalukan bekas anggota kabinetnya sendiri, Shahrir Abd Samad, di Johor Bahru pada 1988, tiada lagi kelibat Perdana Menteri, termasuk Abdullah dan Najib kemudiannya, dalam kempen pilihan raya kecil. Mereka lebih suka menyerahkan tugas mengetuai jentera BN kepada timbalan masing-masing. Namun di Sibu Najib terpaksa turun ke jalan raya dan pasar untuk meraih simpati masyarakat Cina di sana. Akhirnya BN tewas juga.

Di Tenang, Najib bertindak lebih awal berkempen menemui pengundi, dengan menggunakan kemudahan kerajaan sepenuhnya, sebelum tarikh penamaan calon lagi, malah sebelum nama wakil BN diumumkan pun. Beliau mengadakan lawatan sehari suntuk ke Labis, pada 18 Januari lalu. Ketibaan Najib dengan helikopter khas kira-kira 9.30 pagi itu semata-mata untuk berkempen memenangkan BN dan menolak calon PAS.

Tumpuan Najib adalah para peneroka Felda, dengan program di Pusat Komuniti Felda Chempelak Barat dan jamuan makan di Padang Awam Felda Tenang, diikuti majlis ramah mesra bersama masyarakat India di Dewan Serba Guna Majlis Daerah Labis dan merasmikan bangunan tambahan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Labis, seterusnya menghadiri majlis ramah mesra bersama masyarakat Cina.

Dengan memakai topi berlogo BN, Najib dilihat bersalaman dengan orang ramai. Jelas dalam Buletin Utama TV3, Perdana Menteri melemparkan dakyah politik. Selain mempromosikan "jasa-jasa BN" terhadap masyarakat Felda, Najib menggesa pengundi tidak membaca apa jua risalah yang mempunyai lambang PAS, KeADILan dan DAP. Nampak sangat Pengerusi BN ini begitu takutkan penyebaran maklumat dan informasi yang bakal mendedahkan tipu-helah mereka selama ini.

Dalam majlis sama, Najib sekali lagi mencari helah untuk tidak bersemuka dengan Anwar Ibrahim di pentas debat terbuka. Ketua Pembangkang pada tarikh sama, 18 Januari, melalui suratnya kepada Perdana Menteri, mempelawa Najib berdebat mengenai "isu berkaitan ekonomi negara dan fakta-fakta yang terkandung dalam Buku Jingga". Bagi Anwar, isu-isu tersebut kian mendesak memandangkan kos sara hidup melonjak tinggi, harga barang semakin meningkat dan membebankan rakyat, manakala hutang negara melonjak lebih 50 peratus.

Anwar yakin debat itu mampu memberi manfaat kepada usaha memperkukuh amalan demokrasi, penyebaran maklumat tanpa sekatan dan memulihkan kembali ekonomi negara.

Bagi saya, lebih penting daripada mencongak siapa bakal pemenang di Tenang adalah memastikan proses pilihan raya yang bersih, adil, bebas dan telus. Biar "padang permainan sama rata" buat semua calon yang bertanding. Proses pendemokrasian di Malaysia harus melambangkan kematangan dan kedewasaan kita setanding negara-negara maju. Banyak negara yang lewat mengamalkan demokrasi daripada kita tetapi berjaya melaksanakannya secara bertanggungjawab dan penuh integriti.

Sayang sekali, Najib tidak menunjukkan teladan yang baik untuk dirakam sejarah. Beliau -- seperti juga pemimpin utama BN sebelum ini -- sanggup memperalatkan apa jua institusi kerajaan dan mengamalkan rasuah politik, demi memastikan maruah BN di Johor tidak tercalar lebih teruk.

Saya kira buku Reforming Political Finacing in Malaysia, terbitan Trasparency International - Malaysia elok ditelaah bagi mendapatkan gambaran lanjut tentang isu-isu berkaitan politik wang di negara ini.

III.

Pagi Selasa lalu, saya tidak sempat menunggu isteri yang menjalani rawatan rutin di Institut Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur, berhampiran pejabat Harakah. Saya terpaksa berkejar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bertemu pakar bedah saraf. Tiga hari sebelum itu, selama tiga hari saya berehat di wad HUKM sambil mengikuti beberapa ujian pemeriksaan kesihatan.

Setiba di rumah, isteri nampak seronok bercerita tentang gelagat pemandu teksi yang membawanya balik ke Bukit Ampang. Menurut isteri saya, lelaki Cina itu, kelihatan lebih berusia daripada umurnya, 59 tahun, tetapi tidak henti-henti bersembang sepanjang perjalanan. Saya cuba rumuskan bicara pemandu teksi yang peramah itu, seperti diceritakan semula oleh isteri saya:

"Ramai orang susah sekarang. Macam saya, bawa teksi, hanya cukup untuk makan dan sewa rumah. Harga barang-barang naik melambung. Tapi lagi sakit hati saya apabila pemimpin kerajaan bandingkan harga dengan negara luar. Betullah, harga di sana lebih murah, tapi gaji mereka jauh lebih tinggi, berkali-kali ganda. Janganlah ingat kita ini bodoh.

"Malaysia ini cukup kaya. Jauh lebih kaya, dua tiga kali ganda daripada Singapura. Tapi you tengoklah sendiri, siapa yang senang? Duit tak sampai kepada rakyat. Orang berkuasa yang sapu. Siapa yang kaut semua? Sekarang, gaji di Singapura jauh lebih tinggi daripada kita walaupun negara kita sebenarnya lebih kaya.

"Kita bukannya tamak nak kaya, nak rumah mewah. Senang sikit cukuplah, bagi lega sikit hidup. Tak perlu teruk-teruk bekerja tapi hasilnya sikit, macam saya ini. Sudah macam-macam sakit sebab susah hati, tension.

"Macam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, kita dapat air percuma, cukuplah. Kalau ada lebih nanti, mungkin banyak lagi yang kita akan dapat, okeylah tu sikit-sikit dulu ...

"Saya nak bagitau you, jangan takut tukar kerajaan. Lima tahun saja. Kalau tak puas hati, tukarlah balik. Lima tahun bukan lama, sekejap saja. Kalau boleh tunggu 50 tahun BN perintah, kenapa takut nak cuba kerajaan baru ... untuk lima tahun saja.

"Nak undi apa pun tak apa. Tak kira PAS, KeADILan atau DAP, asal jangan Umno sudahlah.

"Memang kerajaan tak suka orang lawan dia. Mereka guna ISA untuk tutup mulut rakyat. Tapi orang sekarang sudah tak takut lagi. Saya tak ada komputer tapi saya tahu orang lain tekan saya komputer, dapat tahu macam-macam rahsia kerajaan."


Apabila pemandu teksi itu menyebut ISA, isteri saya menyambut pantas: "Suami saya pun pernah ditahan ISA." Beliau juga berulangkali menyatakan kekaguman tidak terhingga kepada "orang tua di Kelantan" yang baginya terlalu hebat. "PAS tak akan kalah selagi ada orang tua itu di Kelantan," ujarnya bersungguh-sungguh. Isteri saya terpaksa menyebut nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkali-kali apabila nampak beliau seperti susah sangat hendak mengingati Menteri Besar Kelantan.


IV.

Teruja saya membaca laluan perit yang dilalui Presiden, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari yang terpaksa membuka 'pejabat' sendiri di depan ibu pejabat Utusan Melayu sebagai tanda bantahan terhadap majikannya yang menggantung kerjanya. Hata dituduh menyindir pengurusan Utusan serta memburukkan imej syarikat berikutan komennya dalam pelbagai media.

Menurut laporan Malaysiakini, pejabatnya itu hanyalah sebuah meja plastik kecil warna biru dan sebuah kerusi kecil. Di atasnya terdapat sebuah laptop, kamera kecil dan papan tanda bertulis "Wartawan Sedang Bertugas". Dan kakitangannya cuma beliau seorang.

Meskipun baru menerajui NUJ, Hata lantang mempromosikan prinsip kebebasan akhbar. Daripada segi ini, perjuangannya berkait rapat dengan apa yang Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mulakan lebih 10 tahun lalu. Sebagai wartawan kanan Utusan Malaysia, akhbar yang terkenal dengan sifatnya sebagai "lidah rasmi" Umno, agenda yang ditekankan Hata dan NUJ begitu menarik untuk disorot secara lebih terperinci.

Apa pun, tabik Hata! Isu kebebasan media harus dirakyatkan.

Tiada ulasan: