Khabarnya peneroka akan diberi duit raya. PM akan mengumumkannya pada minggu pertama bulan puasa. Harap-harap PM itu masih bernafas sehingga ke saat itu untuk membolehkannya menunaikan janji.
Yakinlah, selepas pengumuman dibuat, orang ramai akan bertepuk sorak. Kalau semua 112,635 orang peneroka hadir ke majlis itu dan semuanya bertepuk dan bersorak, saya fikir gajah di hutan pun akan lari lintang-pukang. Gajah fikir dunia sudah kiamat.
Berapa setiap keluarga peneroka akan dapat? RM1,000 atau RM10,000? Kalau dapat RM2,000 sekeluarga, berapa lama wang sejumlah itu boleh tahan? Dua tahun atau dua dekad?
Tahun depan dapat lagi. Mungkin sebanyak itu juga atau lebih banyak. Orang ramai pun bertepuk tangan dan bersorak lagi. Gajah di hutan pun hairan lagi, mengapa dunia kiamat sampai dua kali?
Saya tidak berkata saya tidak bersetuju dengan pemberian itu. Sebenarnya lagi banyak lagi bagus. Itu meringankan beban peneroka untuk menampung keperluan keluarga. Sekurang-kurangnya dapat juga di kalangan mereka yang daif merasai nikmat menyambut lebaran.
Tetapi persoalannya ialah, sampai bila peneroka akan diperlekeh oleh pemimpin BN? Setelah berpuluh tahun keringat mereka diperah oleh Felda, keringat itu hanya dibayar dengan RM1,000 @ RM2,000 @ RM10,000 setahun? Adakah itu harga keringat mereka selama ini?
Wang hari raya tidak boleh mengeluarkan mereka dari belenggu kehidupan mereka kini. Terlalu ramai peneroka yang hidup di bawah paras kemiskinan. Anak-anak mereka menganggur. Kehidupan mereka terdesak.
Kekayaan Felda tidak boleh dilonggok di KL, tetapi perlu dilonggok untuk kepentingan peneroka. Jangan ada pemimpin negara yang mengambil kesempatan di atas keringat peneroka untuk kepentingan sendiri dan keluarga.
Bolehkah Najib berbangga dengan MRSM Felda di Trolak yang belum tentu boleh dimasuki oleh anak-anak peneroka? Sebenarnya membina generasi bukan bermula dari tingkatan satu, tetapi lebih awal daripada itu.
Sebenarnya kerajaan sudah terlambat. Hari ini kerajaan sudah kehilangan punca untuk menangani masalah yang dihadapi di Felda. Mereka mungkin boleh berbangga dengan bangunan pencakar langit yang dimiliki Felda dimana-mana, tetapi bolehkah mereka berbangga dengan kehidupan sebenar peneroka?
Mengapa kini baru dibina MRSM Felda? Mengapa tidak dua puluh tahun dulu? Mengapa hari ini baru kerajaan terhegeh-hegeh memberi duit raya kepada peneroka, sebelum ini bagaimana?
Inilah modal politik BN. Biarkan rakyat susah dan merempat, kemudian jadikan wang sebagai umpan mengail undi.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan