Khamis, 8 Julai 2010

SIAPA HARUS RAKYAT PERCAYAI ?

Perdana Menteri Najib Razak menggesa orang ramai tidak mempercayai pengarang blog Malaysia Today Raja Petra Kamarudin kerana mendakwa beliau menulis berita-berita fitnah terhadap kepimpinan Umno.

Najib turut meminta rakyat tidak mempercayai dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam mengenai pembabitan Perdana Menteri, isterinya Rosmah Mansor dan kerabat keluarga Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Selain itu, sudah lumrah juga untuk Perdana Menteri menggesa rakyat tidak mempercayai pemimpin-pemimpin seperti Menteri Besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan tentunya Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dan seteru politik utama Umno.

Malah, seluruh jentera media arus perdana khususnya Utusan Malaysia digerakkan untuk menanam persepsi di kalangan rakyat bahawa orang-orang ini - dari Raja Petra sampai kepada Anwar Ibrahim TIDAK boleh dipercayai.

Terbaru, Najib meminta rakyat tidak mempercayai Suara Keadilan, akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat yang melahirkan rasa khuatir Felda akan bankrap jika wangnya terus disalah-urus.

Dalam tempoh lima tahun lalu, rizab tunai Felda sudah pun susut lebih enam puluh peratus.

Duit RM4 bilion tinggal RM1 bilion.

Jika semua pihak yang dinyatakan di atas tidak boleh dipercayai, persoalan yang harus diajukan kepada Perdana Menteri ialah SIAPA harus rakyat percayai?

Bolehkah rakyat mempercayai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz yang mendedahkan Kabinet meluluskan pembinaan Parlimen baru RM800 juta di Putrajaya?

Apabila berdepan dengan bantahan rakyat, Nazri kemudian mendakwa beliau tersalah memberi maklumat.

Bagaimana pula kewibawaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan?

Haruskah rakyat menelan bulat-bulan penjelasan beliau yang mendakwa simpanan tunai Felda RM2 bilion digunakan untuk penanaman semula oleh peneroka?

Kenyataan itu adalah pembohongan semata-mata kerana peruntukan untuk penanaman semula datang dari sebuah tabung berasingan yang dibiayai oleh peneroka sendiri, kata bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong yang bertanggungjawab ke atas Felda semasa beliau dalam Kabinet.

Bagaimanapula dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang gagal memberikan penjelasan bagaimana rekod kemasukan Altantuya Shaariibuu yang mati dibom ke negara ini “tiba-tiba” hilang dari rekod Jabatan Imigresen? Adakah beliau boleh dipercayai?

Dan akhir sekali, apakah rakyat boleh mempercayai Najib sendiri, selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri?

Pemimpin utama negara ini memberitahu Parlimen, beliau tidak pernah menjanjikan projek untuk mendapatkan undi pada mana-mana pilihan raya kecil.

Hakikat, seperti yang terpacar dalam rakaman-rakaman video ialah Najib menjanjikan RM5 juta kepada penduduk di Sibu untuk projek banjir jika mereka memenangkan calon BN pada PRK Mei lalu.

Umpan sama diberikan kepada pengundi Cina dan peneroka Felda semasa PRK Hulu Selangor beberapa minggu sebelum itu.

Najib adalah juga pemimpin Melayu yang berjanji mempertahankan kesucian agama Islam dan kebajikan seluruh rakyat lain tanpa mengira agama dan bangsa.

Namun pada masa sama beliau meluluskan lesen judi sukan yang bertentangan dengan agama Islam dan mendatangkan masalah sosial dan jenayah kepada masyarakat yang terjebak dengan amalan buruk itu.

Apabila Pakatan Rakyat dan rakyat bangkit menentang, Najib secara tiba-tiba berkata lesen itu ditarik balik.

Hari ini apabila isu itu reda, Najib sekali lagi memberitahu Parlimen pihaknya bersedia memberikan semula lesen judi sukan jika ada rancangan untuk menghalalkan amalan itu di negara ini.

Kenyataan yang mengelirukan dan putar belit. Siapa yang mempunyai kuasa untuk menghalalkan judi sukan jika bukan kerajaan pemerintah.

Namun pendirian kabur dan berdolak dalih sudah saban kali di perlihatkan oleh Najib dalam mengumumkan keputusan-keputusan kerajaan.

Justeru, rakyat keliru, mana satu Najib yang harus dipercayai?

Patutkah mereka berpegang kepada seorang Perdana Menteri yang mudah membuat janji dan kemudiannya bingkas mengubah kata-katanya?

Ini belum lagi dikupas janji-janji Najib untuk memansuhkan hak pemilihan 30 peratus di dalam Model Ekonomi Baru sebelum menjajanya ke Amerika Syarikat.

Sekembali dari berjumpa dengan Presiden Barack Obama, segala peruntukan itu dikekalkan dalam RMK-10, selepas dikritik oleh Perkasa dan mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimana pula dengan kelewatan Najib mengkritik serangan Zionis ke atas misi kemanusiaan kapal laut yang berkesudahan dengan pertumpahan darah.

Ataupun tindakan Umno-BN mengupah syarikat Apco Worldwide yang dipimpin bekas pegawai-pegawai risikan Zionis dengan kos RM77 juta.

Negara semakin condong ke arah menjadi tali barut kuasa-kuasa tertentu, dan Malaysia akan “bankrap” nilai-nilai moral dan kemanusiaannya jika rakyat meletakkan kepercayaan kepada pemimpin yang hanya pandai menanam tebu di bibir dan menyembunyikan hakikat sebenar.

Jelas, rakyat mempunyai kesukaran untuk memberi pertimbangan kepada gesaan Najib supaya tidak mempercayai orang dan pihak tertentu.

Ini kerana kenyataan Perdana Menteri ibarat meludah ke langit. Bak kata Karam Singh Walia, paku dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih.

Itulah akibatnya apabila tukang “nasihat” sendiri dibelit dengan kredibiliti rapuh lagi mencurigakan.

Tiada ulasan: