Isnin, 12 April 2010

Badan bebas tidak bebas siasat Apco


Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoalkan mengapa sekarang Menteri Dalam Negeri mahu menyiasat dakwaan Ketua Umum KEADILAN berhubung pembabitan anasir Zionis Yahudi di dalam projek IT dalam Polis DiRaja Malaysia walhal isu itu telah didedahkan dalam media internet lebih dua tahun lalu.

Justeru itu beliau tidak yakin empat badan bebas yang akan dilantik Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat isu ini akan benar-benar bebas kerana akhirnya Umno-Barisan Nasional akan menutup kebenaran daripada diketahui rakyat.

"Mengapa mahu siasat setelah dua tahun isu ini diketahui masyarakat umum. Saya percaya badan yang menyiasat tidak akan bebas kerana akhirnya Umno-BN akan menutup kes ini seperti mana juga kes-kes lain sebelum ini.

"Kalau benar-benar mahu menyiasat tubuhkan Suruhanjaya DiRaja sebagaimana yang dicadangkan oleh Ketua Umum dan Pakatan Rakyat," kata Dr Wan Azizah kepada Suara Keadilan ketika dihubungi.

Sehubungan itu Pengarah Pilihanraya KEADILAN, Fuziah Salleh mempersoalkan bagaimana badan bebas boleh jadi bebas jika ianya dilantik oleh Menteri di kementerian yang terlibat secara langsung dengan isu tersebut.

"Bagaimana badan bebas itu boleh dianggap bebas kalau yang melantik adalah Menteri itu sendiri, yang sepatutnya melantik SuruhanJaya Bebas ini selalunya dilantik oleh Yang DiPertuan Agong.

"Selagi ianya dilantik oleh Menteri dan Menteri berkenaan adalah daripada Barisan Nasional, ianya tidak mungkin bebas,

"Lantiklah empat atau sepuluh badan ianya tak mungkin bebas. Saya gesa kalau ada Suruhanjaya bebas ianya mestilah ditubuhkan oleh Yang DiPertuan Agong iaitu SuruhanJaya DiRaja dan itu baru betul-betul bebas," ujar Fuziah semasa ditemui pada perasmian Jentera Pilihan Raya Hulu Selangor Jumaat lalu.

Pada 6 April lalu Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan di Parlimen kewujudan perisik Israel dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat.

Beliau turut mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaannya itu serta menamakan sebuah syarikat yang terbabit dan dikatakan berpengkalan di Israel.

Tiada ulasan: