Sabtu, 3 Disember 2011

Kalau sudah lemah, apa sahaja digunakan untuk menang

Kalau kita sudah lemah atau kurang sehat, kita akan bercakap seperti orang yang meroyan. Ia memang begitu. Kepada orang yang sedang demam panas selalunya dia akan meroyan dan bercakap tidak tentu buah butirnya. Begitu jugalah apa yang kita sedang lihat dalam Perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno dan Perhimpunan Umno sekarang ini.

Muhyiddin memulakan ucapan keras untuk membentuk bibit kebencian di antara rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Buat masa ini rakyat berbilang kaum di bawah-bawah ini bersatu dan tidak bermusuhan di antara satu dengan lain. Yang menaikkan semangat benci membenci di kalangan rakyat dan di antara kaum ini ialah pemimpin sendiri dan ini boleh kita lihat dari intipati dalam teks ucapan Timbalan Presiden Umno itu.

Kerja dan usaha memecah belahkan rakyat berbilang kaum itu diperkuatkan dengan beberapa cebisan ayat-ayat suci al Quran dalam beberapa surah di dalam kitab suci itu. Ayat-ayat Quran digunakan untuk memecahkan kesatuan di antara kaum yang wujud di antara kami di bawah ini. Selepas ini apabila keadaan tidak berubah dan sokongan masih tidak didapati, tidak tahulah ayat apa pula yang akan di gunakan. Saya rasa carut-mencarut pula akan menjadi senjata untuk memecah belahkan rakyat untuk mengambil kesempatan untuk mendapat kuasa lanjutan dari rakyat.

Katanya DAP itu rasis, PKR itu parti yang memperjuangkan tubuh badan individu dan PAS itu sudah jadi baruah DAP. Kita memahami kenapa Muhyiddin bercakap begitu. Ia adalah satu usaha untuk menyatukan orang Melayu di belakang Umno. Bagi Muhyiddin saya yakin beliau tidak lagi menaruh harapan kepada bangsa lain kerana bangsa lain terutamanya kaum cina, mempunyai pendirian yang tetap dan payah untuk di goyahkan.

Bagi Muhyiddin oleh kerana kegelabahan dan kegelisahan beliau, Timbalan Presiden Umno ini terlupa dengan apa yang dia kata semalam dan hari ini misalnya. Hari ini bercakap lain, besok dia akan bercakap perkara yang sama tetapi dalam mood yang bertentangan dengan apa yang beliau perkatakan pada hari sebelumnya.

Selalunya kalau kita kaji dari psikolojinya Muhyiddin sudah mula hilang keyakinan terhadap sokongan rakyat khususnya orang Melayu. Bagi Muhyiddin beliau boleh berkata apa sekali pun terhadap bukan Melayu kerana beliau merasakan beliau tidak boleh mengharapkan bangsa Cina untuk bersama beliau dan Umno. Kata-kata beliau begitu rasis, malahan lebih rasis dari Perkasa semasa berucap di Perhimpunan 3 sayap parti, Wanita, Puteri dan Pemuda.

Maka kita lihat apa yang di suarakan oleh Najib melalui slogan 1 Malaysia itu dilanggar secara “head-on” oleh Muhyiddin. Muhyiddin sudah kesuntukan akal. Sebagai Timbalan Perdana Menteri beliau merupakan pengganti kepada Najib jika ada apa-apa yang berlaku kepada kepimpinan Najib. Belum pun beliau mengambil alih beliau telah menunjukkan sikap tidak boleh “co-exist” dengan bangsa-bangsa lain di negara ini, bagaimana kah beliau boleh diterima oleh rakyat secara menyeluruh nanti?

Bagi saya sikap Muhyiddin itu merupakan sikap “mengecilkan padang” beliau sendiri. Beliau hanya mahukan orang Melayu untuk bersatu dan seolah-olah menolak kewujudan bangsa lain terutamanya bangsa Cina yang sudah berada empat keturunan di negara ini.

Bagaimanakah Muhyiddin boleh di terima sebagai pemimpin jika beliau hanya mahu menjadi pemimpin kepada bangsanya sendiri sahaja. Pada Muhyiddin bangsa lain semuanya anti Islam, komunis, jahat, dan semuanya yang tak elok. Hendak juga saya melihat jika Muhyiddin jadi PM dengan hanya menjaga orang Melayu. Bila bercakap seperti orang yang tidak berfikir langsung semata-mata kerana hendak menjaga “hardliners” dalam Umno.

Apakah agaknya sebab-sebab Muhyiddin menuduh DAP hendak jadikan negara ini sebagai sebuah republik? Saya percaya Muhyiddin menyebut ini kerana rasa terdesak di atas keruncingan sokongan orang ramai terhadap Umno dan BN pada hari ini. Kadang-kadang kita tidak boleh menyalahkan MCA dan Gerakkan menuduh yang kedua parti itu tersungkur kerana sikap pemimpin reputasi Umno yang menerajui BN itu. Umno kini tidak mempunyai “magnanimity” yang tinggi. Muhyiddin sepatutnya membaca dan menghayati isi kandungan perlembagaan parti itu betul-betul.

Sesungguhnya saya sudah percaya apa yang di katakan oleh Gerakkan dan MCA beberapa lama selepas kekalahan teruk dalam PRU 2008 yang Umnolah menyebabkan kedua parti itu jatuh merudum. Kaum-kaum khususnya kaum Cina beranggapan yang Gerakkan dan MCA itu hanya sebagai parti-parti yang telah di pariahkan oleh Umno sendiri. Maka tindakan bangsa cina tidak menyokong MCA dan Gerakkan itu adalah tepat bagi mereka kerana MCA dan Gerakkan itu sentiasa mengikuti kerenah buruk Umno sebagai parti tunjang kepada BN itu.

Dengan ucapan pedas Muhyiddin di Perhimpunan 3 sayap Umno yang baru lalu ini bangsa cina nampaknya lebih takut jika BN khususnya Umno, masih diberikan mandat kali ini. Apa yang di perlukan pada hari ini ialah seorang pemimpin Melayu yang di hormati oleh semua bangsa kerana pimpinan utama negara ini adalah moralnya hak orang Melayu.

Tetapi kalaulah pemimpin seperti Muhyiddin yang bakal mengambilalih kepimpinan Najib yang sedang di usahakan oleh setengah kumpulan dalam Umno sekarang ini sudah dibuai dengan sentimen rasisnya maka menjadikan Muhyddin sebagai pemimpin yang bakal menerajui pimpinan BN yang akan hanya mengambil tanggungjawab terhadap orang Melayu sahaja.

Itu cerita Muhyiddin. Bagaimana pula kalau kita belek-belek sedikit cerita Shahrizat, Ketua Wanita Umno, yang masuk parlimen melalui pintu belakang itu? Dalam Perhimpunan Wanita Sharizat secara jelas juga seorang yang tidak begitu “centre” sebagai seorang nombor satu dalam Wanita Umno. Menyingsing lengan bajunya di hadapan perwakilan dengan nada garang tidak bertempat. Ada di antara yang ada di dalam dewan persidangan memberi komen, “kenapa tidak sensing kainnya sekali?”

Kenapa memberikan reaksi marah hanya kepada Zuraida PKR sahaja kerana desakan Zuraida yang meminta beliau meletakkan jawatan? Kenapa tidak marah kepada Bung Mokhtar dan gengnya sekali kerana mereka dalam Umno sendiri meminta beliau meletakkan jawatan?

Saya di sini tidak berkeyakinan yang Umno mampu mengenepikan Shahrizat dalam PRU nanti kerana beliau adalah Ketua Wanita Umno. Jika beliau masih di calonkan maka ianya akan memberikan “effect” yang “negative” kepada BN di seluruh negara. Yang boleh mengenepikan beliau hanyalah beliau sendiri dengan berhenti secara sukarela dan tidak lagi menjadi calon dalam PRU nanti. Lagi pun Umno boleh melantik beliau sekali lagi melalui pintu belakang. Itu pun dengan syarat BN menang pilihanraya nanti.

Yang tidak akan dapat dinafikan oleh sesiapa ialah pendekatan Najib dan Muhyiddin sangat berbeza dan sentiasa bersalah-salahan. Najib dengan 1 Malaysia nya. Muhyiddin dengan rasis Melayunya. Muhyiddin yang rasis Melayu cuba hendak menuduh DAP sebagai rasis cina yang hanya di anggotai oleh kaum Cina. Tetapi apabila DAP hendak membawa orang Melayu untuk mengimbangi kaum-kaum yang berbilang dalam negara ini Muhyiddin kata Cina DAP melakukannya untuk mengumpan dan mengudakan orang Melayu dan orang Melayu yang menyertai parti itu di anggap sebagai pengkhianat bangsa dan negara pula.

Siapa yang pengkhianat? Jika menyertai DAP itu pengkhianat dan memberi ancaman kepada keselamatan negara kenapa tidak haramkan sahaja DAP itu? Tuduhan Muhyiddin ini begitu serius dan kepada siapa yang mahu hidup bersama secara aman mesti menolak Muhyiddin kerana jika beliau menerajui kepimpinan negara kehidupan kita di antara kaum akan porak peranda.

Sebagaimana yang saya tekankan sebelum ini pengkhianat ini ialah seseorang yang menjahanamkan negara dan keselamatan rakyatnya. Pengkhianat yang sebenarnya ialah perasuah kerana budaya rasuah akan menjahanamkan sistem pentadbiran negara dan membawa perpecahan kepada rakyat yang menghuninya. Rasuah lebih dahsyat akibatnya dari ancaman komunis dan dadah.

Mereka yang rasuah ini merupakan benar-benar pengkhianat terhadap negara kerana tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara jujur seperti yang di amanahkan oleh rakyat. Stigma rasuah ini merupakan stigma yang tidak dapat ditanggalkan dari Umno dan BN. Seperti yang saya sebutkan dalam posting yang lalu, Umno dan rasuah itu ibarat aur dengan tebing, saling menyandar di antara satu dengan yang lain, malahan keselamatan negara akan terancam jika rakyat tidak mahu menyingkirkan perasuah dari barisan kepimpinan negara.

Kritikan tentang rasuah ini sudah lebih satu dekad di persoalkan oleh rakyat tetapi nyata rasuah ini tidak dapat ditanggalkan dari Umno. Maka pimpinan Umno wajar berfikir, jangan tuduh seteru politik sembarangan kerana Umno sendiri itu tidak berkemampuan untuk membuat perubahan minda dengan mengaku rasuah itu adalah musuh nombor satu negara dan rakyat.

Pemimpin Umno boleh berucap bertempik-tempik di Dewan Merdeka dengan retorik dan janji-janji menggunung, tetapi rakyat tidak dapat melupakan isu rasuah yang terlalu menebal dengan Umno. Cubalah berusaha untuk bersatu tetapi rasuah tadi tidak akan membolehkan mereka bersatu di antara satu dengan lain dalam Umno dan BN.

Kalau Umno boleh bersatu, rakyat juga boleh bersatu untuk menolaknya. Sebenarnya rakyatlah yang sudah penat menangani isu perpaduan ini. Sudah nampak jelas rakyat mahu bersatu dalam erti kata yang sebenarnya tetapi nampaknya mereka lebih cenderung untuk bersatu di luar Umno dan BN. Sangat susah untuk bersatu dibawah Umno jika pemimpin-pemimpin mempunyai sikap seperti Muhyiddin Yassin. Beliau hanya inginkan orang Melayu sahaja bersatu sedangkan rakyat mahu bersatu bagi semua kaum yang hidup dalam negara ini.

Inilah bibit-bibit yang menyebabkan rakyat berbilang kaum sekarang menerima parti-parti berbilang kaum dan secara deras menolak parti-parti yang di anggotai oleh hanya satu kaum seperti Umno, MCA dan MIC. Perbezaan wadah dan keterampilan Najib dengan Muhyiddin ini akan memberi lebih sebab kenapa rakyat patut menyertai parti-parti berbilang kaum di negara ini.

Setiap parti yang terdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan menerima kandungan perlembagaan negara. Oleh kerana tuduhan pemimpin Umno yang parti-parti ini tidak menghormati perlembagaan negara inilah yang menyebabkan rakyat berpecah belah.Semua parti menghormati perlembagaan dan tuduhan Muhyiddin yang ada pihak tertentu hendak jadikan negara ini negara republik itu amat menyentuh perasaan rakyat kerana ianya adalah tuduhan yang amat jahat dan memalukan bangsa Melayu kita sendiri.

Itulah sebabnya pemimpin-pemimpin terdahulu pernah berkata yang kita mesti jauhkan pemimpin yang mempunyai sikap rendah diri dan mempunyai tahap “confidence” yang rendah untuk memimpin. Ugut mengugut, gertak menggertak dan memulas tangan rakyat adalah senjata akhir untuk terus berkuasa. Memaki hamun, mencarut dan menyinsing lengan macam Sharizat menjadi perkara biasa. Jangan menyinsing kain cukuplah.

Pemimpin seperti ini akan bertindak mengikut rasa hati mereka sahaja dan tidak bertindak mengikut keperluan bangsa-bangsa yang dipimpinnya.

Inilah wajah UMNO...lagi suka kata kat DAP dari bahas bab Ekonomi

Perwakilan Umno tidak minat bahas isu ekonomi

Semalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno telah mempertimbangkan usul ekonomi yang dibawa oleh wakil Perak, Datuk Idris Hashim. Ketika mencadangkan usul tersebut beliau tidak mengemukakan cara mana kerajaan mahu menurunkan harga barang sebaliknya beliau lebih banyak bercakap hal politik dalam usul tersebut.

Beliau bertanya siapa yang buat infrastuktur? Siapa yang beri subsidi minyak? Segala pertanyaannya itu dijawabnya — Umno.

Dalam mencadangkan usul seperti ini, perwakilan seharusnya serius mencadangkan bagaimana kerajaan patut menurunkan harga minyak, gula, beras, gandum dan minyak masak. Sepatutnya beliau bertanya adakah cukup dengan pelaksanaan Kedai 1Malaysia sahaja dalam menyelesaikan isu kenaikan harga barang?

Seperti biasa, perwakilan Umno tidak berminat membincangkan usul ekonomi.

Mereka lebih suka mendengar pembahas membawa cerita lucu dan tidak mahu mendengar cerita serius seperti usul ekonomi ini.

Datuk Rosni Aziz dari Pahang mencadangkan pemimpin Umno dilantik sebagai Pengerusi GLC. Benarkah bila orang Umno jadi Pengerusi GLC, orang Melayu mudah ditolong? Cuba tanya Idris yang juga Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNS) sudah banyak mana PNS menolong usahawan Melayu?

Ramai usahawan Melayu kecewa kerana PNS tidak semudah itu memberi pinjaman kepada usahawan Melayu, sebaliknya kroni menteri mudah dapat pinjaman walaupun tiada perniagaan yang mereka buat.

Wakil Sabah, Datuk Hasnor Ayub menceritakan kejayaan kerajaan Sabah mendapat pengiktirafan sijil bersih audit tiga tahun berturut-turut.

Sepatutnya wakil Sabah buat cadangan kepada Umno pusat apa yang mahu dibuat lagi di Sabah dan bukannya menceritakan apa yang dicapai oleh kerajaan Sabah.

Wakil Selangor, Sudirman Rahmat mengingatkan orang Cina jangan takut bila orang Melayu dapat projek kerana mereka juga dapat nikmat. Biasanya orang Melayu akan beri subkontrak kepada orang Cina.

Sementara itu, wakil dari Wilayah Persekutuan, Datuk Azim Zabidi mencadangkan penubuhan Perbadanan Tabung Kampung Baru bagi orang yang tidak bersetuju tanah mereka diambil kerajaan untuk dimajukan.Wakil Wanita, Normala Abdul Samad pula meminta kerajaan melaksanakan segera gaji minimum bagi pekerja-pekerja swasta.

Ketika usul ekonomi dibahaskan, Dewan Merdeka kelihatan kosong.

Ramai perwakilan berada di luar dewan. Mereka tidak berminat mendengar usul serius ini dibahaskan apatah lagi mereka tidak dapat gelak-ketawa seperti mana usul politik yang mana pembahasnya banyak mengelaurkan cerita lucu.

Ambil iktibar kebocoran kilang Lynas di Australia

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (gambar) menggesa kerajaan ‘membuka mata’ dengan berlakunya kebocoran sisa radioaktif di Concentration Plant Lynas di Mt Weld, Australia baru-baru ini kerana kedudukan kilang Lynas Advanced Materials Plant (Lynas) di Gebeng nanti dijangkakan akan membawa bahaya yang jauh lebih tinggi.

Menurutnya, ini disebabkan kandungan radioaktif pada sisa pejal di Mt Weld ialah pada kadar 1.8 Bq|g sedangkan radioaktif sisa pepejal yang dijangkakan terhasil kilang itu di Gebeng ialah pada kadar 6 Bq|g.

Tambahnya, kadar maksimum yang diterima antara bangsa pula ialah 1 Bq|g dengan Malaysia sendiri turut menerima pakai standard antara bangsa tersebut.

“Bukan itu saja, dalam jarak 30 kilometer radiasi Lynas di Mt Weld, tidak wujud penduduk di sana sedangkan dalam 30km radius di Gebeng ada terdapat 700,000 penduduk.

“Sementara dalam jarak 25 kilometer radiasi Lynas di Mt Weld, tidak terdapat air bawah tanah sedangkan di Gebeng, kedudukan Lynas di Gebeng terletak di atas tanah gambut yang paras airnya lebih tinggi daripada paras air biasa dan sungai Balok berkedudukan disebelah Gebeng.

“Lynas Gebeng juga terletak dalam lingkungan 5 kilometer dari Laut China Selatan, bersebelahan pusat peranginan Cherating yang menjadi tumpuan destinasi pelancong sementara perairan tersebut juga merupakan sumber hasil ekonomi tempatan di mana industri perikanan juga merupakan sumber ekonomi utama,” katanya.

Tambah Fuziah, sebarang kebocoran jika berlaku di Lynas akan meninggalkan impak yang bakal memusnahkan alam sekitar serta ekonomi di samping kesihatan penduduk kerana tiada industri yang bebas seratus peratus daripada kemalangan termasuk Lynas terkecuali.

Katanya, selama ini Lynas berselindung di sebalik Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang seolah-olah menjadi ‘jurucakap’ mereka.

“Saya tegaskan bahawa Lynas tidak wajar berada di Gebeng kerana situasi di Gebeng sekali-kali tidak akan menepati segala aspek keselamatan mengikut piawaian antarabangsa.

“Sebab itu saya menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan, Datuk Rebecca Sta Maria yang menyatakan bahawa Lynas mesti mematuhi peraturan sebelum lesen pra-operasi boleh di keluarkan keatas LAMP ketika beliau melawat kilang itu di Gebeng kelmarin.

“Janganlah cuba mengulangi kesilapan di tempat lain yang hanya akan menjadikan penduduk di Gebeng dan sekitarnya menjadi mangsa,” katanya.

Beliau turut kesal sebelum ini pihak kerajaan cuba mengelirukan rakyat dengan mengatakan bahawa sisa dari Lynas adalah selamat sehingga boleh ditabur merata-rata dan percaya maklumat tersebut merupakan input daripada Lynas semata-mata.

Jumaat, 2 Disember 2011

Siapa Kah `Enam Jahanam' Yang Disebut Oleh `Ketua Jahanam' (KJ) Itu?

Artikel

"'ENAM JAHANAM', suatu perkataan yang dipopularkan oleh KJ (Ketua Jahanam). Apa yang dimaksudkan oleh KJ sebagai Enam Jahanam itu? Bukan tajuk filem Allahyarham P. Ramlee, tetapi 'Enam Jahanam' itu adalah tajuk ucapan KJ atau 'Ketua Jahanam' di dalam kandang yang diselubungi dengan isu 'Lembu Dalam Kondo dan Kereta Merc'.

Bertempat di `Place Where Talking Cow' (PWTC), KJ mengungkapkan enam jahanam itu adalah seperti berikut;



1. Menjahanamkan sistem demokrasi

2. Menjahanamkan sistem pentadbiran

3. Menjahanamkan maruah negara

4. Menjahanamkan sejarah negara

5. Menjahanamkan jati diri bangsa
dan

6. Menjahanamkan kemakmuran negara.




Siapa agaknya yang KJ (Ketua Jahanam) tujukan dengan `Enam Jahanam' ? Tidak lain dan tidak bukan kepada `spesis mamalia' yang berada di PWTC. Sebab apa? Sebabnya boleh diulas sedikit di sini berpandukan `Enam Jahanam' yang disebut oleh `Ketua Jahanam' (KJ) itu;




Pertama, Menjahanamkan Sistem Demokrasi. Semua tahu siapa yang rosakkan sistem demokrasi. Mereka yang menggunakan seluruh media kerajaan dan jentera kerajaan untuk berkempen buat kepentingan mereka adalah perosak sistem ini. Pernah anda lihat pemimpin Pembangkang diberi ruang untuk bercakap hatta 10 minit bagi menjawab tuduhan mereka? Bagaimana pula dengan program ceramah pihak Pembangkang, sering diganggu dengan berbagai alasan dan cara. Semua tahu apa SPR buat selama ini di mana `Kampung Baru' pun tersenarai sebagai Pengundi. Pendatang pun boleh mengundi? Dan...banyak lagi.




Kedua, Menjahanamkan Sistem Pentadbiran. Terbaru, apa yang berlaku kepada Prof Dr Aziz Bari? Bagaimana pihak pentadbiran Universiti pun mahu diganggu kerana kepentingan mereka. Semua tahu seringkali di dalam program politik mereka, kakitangan kerajaan dikerah hadir untuk meramaikan jumlah kehadiran. Siapa yang tidak tahu bagi pihak mereka, sekolah bebas digunakan untuk mereka bercakap soal `keris tanpa sarung' atau `Dacing Baghdad'. Dan...banyak lagi..




Ketiga, Menjahanamkan Maruah Negara. Maruah negara menjadi busuk bila Perancis membuka fail tentang kes rasuah `Scorpene' melibatkan pemimpin utama mereka. Kisah pembunuhan Altantuya rakyat Monggolia, sehingga kini membusukkan nama negara kerana masih gagal menentukan mengapa Altantuya dibunuh dan atas arahan siapa? Sebuah akhbar di luar negara sering melaporkan kisah isteri seorang pemimpin negara ini yang suka bermewah-mewah di luar negara. Ini menjahanamkan maruah negara. Dan, banyak lagi....




Keempat, Menjahanamkan Sejarah Negara. Siapa boleh berikan jawapan tepat samada British itu dianggap sebagai Pejuang Kemerdekaan atau mereka yang menentang British? Jika benar British itu pengkhianat atau penjajah, siapa pula yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong yang dimiliki oleh British ketika itu? Siapa yang sebut Tok Janggut itu pengkhianat? Pemimpin utama mereka baru-baru ini sebut, Komunis sekarang sudah baik? Adakah kerana ingin berbesan dengan rakyat negara komunis maka secara `automatik' Komunis pun menjadi baik? Dan, banyak lagi...




Kelima, Menjahanamkan Jati Diri Bangsa. Berlaku sudah lama, sehingga jati diri tulisan Jawi pun mereka hapuskan. Berapa banyak lagi yang tinggal tanah rezab Melayu? Jika di Selangor, cuba tanya Satim Diman tentang kisah tanah rezab Melayu yang terjual ini. Siapa yang pernah memperkenalkan pengajaran Sains dan Metamatik di dalam Bahasa Inggeris? Siapa tahu nama UMNO itu singkatan dari bahasa Melayu kah atau Bahasa Inggeris? Mana jati diri? Dan, banyak lagi....




Akhirnya, yang keenam, Menjahanamkan Kemakmuran Negara. Semenjak bila negara ini tidak makmur? Bukankah pemimpin negara sering berkata negara kita makmur? Cuba tunjuk di mana kawasan atau negeri di negara ini sekarang sedang berperang atau berlaku kekecohan? Mereka hanya dakwa akan berlaku huru-hara jika parti mereka tewas dan tidak lagi berada di Putrajaya. Ertinya, sekarang ini masih wujud lagi kemakmuran. Di Empat buah negeri yang berada di tangan Pembangkang sekarang berlaku perang atau huru-hara kah? Yang melakukan huru-hara di negeri-negeri tersebut siapa? Mahu tahu cuba tanya Umno atau geng-geng songkok tinggi.



Kesimpulannya, KJ (Ketua Jahanam) ingin memberitahu bos mereka bahawa cukup-cukuplah jangan memperbodohkan rakyat lagi. Kesemua `Enam Jahanam' yang disebut oleh `Ketua Jahanam' (KJ) itu memang tepat ke atas pemimpin-pemimpin yang sekarang ini sedang berlonggok di dalam `kandang' Place Where Talking Cow (PWTC). Syabas KJ./

DAP: Serangan jijik Umno bukti tandus modal politik, tebal fitnah

DAP menyifatkan Umno sudah membuktikan ia ketandusan modal politik tetapi tebal dengan fitnah selepas pemimpin dan perwakilannya menggunakan kata-kata jijik dan berbaur perkauman dalam perhimpunan tahunan mereka kali ini.

Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng (gambar) berkata, nyata semua ibu bapa di Malaysia akan berasa jijik dengan bahasa yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin Umno.

“Jelas perbuatan mereka mencerminkan cara pemikiran Umno yang bukan sahaja ketandusan modal tetapi dipenuhi dengan fitnah, kebencian, permusuhan dan ketakutan,” kata beliau dalam satu kenyataan dengan merujuk bahawa

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin adalah antara yang paling lantang sekali dengan kenyataannya bahawa PAS dan PKR sudah menjadi bapok dan pondan, di samping melabelkan semua penyokong DAP sebagai bangsat.

“Untuk menyokong dakwaannya, Shaik menuduh kerajaan negeri Pulau Pinang tidak membenarkan perarakan tahunan Maulidur Rasul serta menyasarkan tindakan terhadap peniaga-peniaga Melayu.

“Kedua-dua dakwaan ini adalah fitnah semata-mata,” kata Lim.

Jelas beliau, statistik menunjukkan bahawa daripada semua tindakan penguatkuasaan majlis terhadap peniaga-peniaga, 70 peratus daripada tindakan di pulau dan 85 peratus di Seberang Perai telah diambil ke atas peniaga-peniaga bukan Melayu.

“Shaik juga mungkin dapat menipu rakyat dari luar Pulau Pinang, tetapi warga Muslim di Pulau Pinang semua tahu bahawa perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang bukan sahaja dibenarkan tetapi disambut dengan lebih meriah sekali oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang,” katanya lagi.

Dengan sikap tidak mempedulikan pilihan demokratik pengundi, katanya, Shaik telah berakhir dengan saranan supaya Umno mengembalikan dominasi Melayu di Pulau Pinang.

Malah katanya, sekali lagi Umno telah menunjukkan belang sebenarnya bahawa kuasa rakyat tidak penting dan 1 Malaysia itu hanya slogan kosong untuk menipu rakyat Malaysia untuk menyokong BN dan Umno.

“Seorang rakan NGO telah memberitahu saya, serangan ganas Umno di persada kebangsaan ini jelas menunjukkan bahawa kempen pilihan raya mereka tidak akan berdasarkan pertandingan idea tetapi satu perlumbaan berdasarkan isu-isu perkauman, seks, fitnah dan bahasa kotor.

“Mungkin aksi memalukan oleh wakil pemuda ini adalah gara-gara perangai Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, yang telah memangsakan anak saya yang berumur 15 tahun dengan ‘tweet’ yang berbunyi ‘mungkin di roboh Kampung Buah Pala sebab nak ganti dengan Kampung Buah Dada’, yang bertujuan untuk memfitnah anak saya bahawa kononnya dia telah mencabul rakan sekolahnya dan saya telah membayar RM200,000 sebagai sogokan untuk menutup skandal itu,” katanya.

Penggunaan isu-isu perkauman, seks, fitnah dan bahasa kotor sebenarnya adalah untuk menyembunyikan kekurangan dan ketakutan Umno, kata beliau.

Tambah beliau, bermula dengan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan diekori oleh Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan ucapan jihadnya, serangan-serangan ke atas sasaran mudah seperti Kristian, Cina, Pengerusi Bersih Datuk S. Ambiga, DAP dan juga penyokong DAP adalah satu tindakan terdesak untuk mengalih perhatian umum daripada kegagalan Umno untuk menangani masalah-masalah sebenar seperti rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.

“Langsung pula tidak disebut tentang skandal lembu dan kondo yang membabitkan keluarga seorang menteri persekutuan.

“Soalan patut ditanya kenapa pak cik biasa di kampung tidak pernah diberi peluang yang serupa?” katanya sambil menegaskan, “tidak pula disoal kenapa duit daripada pinjaman RM250 juta boleh diberi dua tahun sebelum perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua pihak.” Kata beliau lagi, semua hanya ingin menutup skandal di mana duit yang sepatutnya digunakan untuk penternakan lembu telah digunakan untuk membeli bukan sebuah tetapi dua buah kondominium mewah.

“DAP tidak akan bertindak balas terhadap dasar perkauman, seks, fitnah dan bahasa kotor Umno.

“DAP akan menumpukan perhatian terhadap reformasi pilihan raya, melawan rasuah melalui kepimpinan berintegriti, memupuk keadilan untuk semua dengan mendaulatkan undang-undang, menjunjung demokrasi dan hak asasi serta menggalakkan tatakelola pentadbiran yang baik berdasarkan kecekapan, kebertanggungjawapan dan ketelusan,” kata beliau lagi.