Isnin, 6 Disember 2010

YANG RAKYAT TERBEBAN IALAH MENANGGUNG BN

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan kenaikan harga Petrol RON95, diesel dan petroleum gas cecair sebanyak 5 sen menjadikan RON95 kini RM 1.90 sen seliter, diesel kepada RM1.80 sen seliter dan LPG menjadi RM 1.90 sekilogram manakala gula menjadi RM 2.10 sekilogram dengan kenaikan sebanyak RM0.20.

Dengan kenaikan ini maka lengkaplah pesta kenaikan harga barang yang diusahakan kerajaan BN. Dua hari sudah, kerajaan menaikkan harga Petrol RON97 sebanyak 15 sen tidak sampai dua bulan kenaikan sebanyak 5 sen.

Seperti biasa, kerajaan menggunakan ayat penyelarasan semula serta mengurangkan perbelanjaan negara. Dikatakan, kenaikan ini mampu mengurangkan perbelanjaannya sebanyak RM 1.18 bilion serta mengimbangi defisit kewangan negara. Kerajaan menyatakan tidak mampu menampung subsidi kepada rakyat dengan harga lama, maka dengan sebab itu harga petrol dan barang keperluan terpaksa dinaikkan. Lebih menyakitkan hati, sesetengah pemimpin negara menyatakan bahawa kenaikan ini tidak akan membebankan rakyat dan harga petrol Malaysia masih rendah berbanding dengan negara jiran yang lain.

Faktanya, kenaikan petrol sudah pastinya menjejaskan kehidupan rakyat. Apabila gula dinaikkan, petrol dinaikkan, maka apakah tidak ada sebab bagi peniaga menaikkan harga barang perniagaan mereka. Hampir semua kenderaan menggunakan minyak petrol dan diesel, dan hampir semua makanan perlukan gula. Apakah ada alasan bodoh pemimpin negara yang bercakap kerana mahukan rakyat sihat dari penyakit diabetes maka kerajaan perlu menaikkan harga gula. Mungkin juga ada kenyataan pemimpin negara yang mahukan keselamatan rakyat di jalan raya, maka harga petrol dan diesel terpaksa dinaikkan. Adakah pemimpin mahukan rakyat berbasikal ke tempat kerja, atau menggunakan perkhidmatan awam bagi mengurangkan kos mereka, sedangkan mereka selesa menaiki kenderaan rasmi kerajaan ke mana-mana.

Jika dibandingkan dengan negara jiran, Malaysia adalah antara negara yang kaya dengan hasil bumi termasuk minyak. Namun malang bagi rakyat Malaysia, kerana tidak berhak menikmati kekayaan hasil bumi yang kaya ini. Mengapa kerajaan tidak membandingkan Malaysia dengan negara pengeluar minyak dunia seperti Arab Saudi, Iran, Venezuela, Qatar dan lain-lain. Perlukah Malaysia mengikut harga pasaran minyak antarabangsa? Mengapa rakyat perlu menjadi korban hanya semata-mata kerajaan tidak mampu menampung subsidi negara. Seolah-olah menaikkan harga minyak petrol dan diesel dan barang keperluan adalah jalan akhir setelah hampir semua langkah telah diambil bagi ‘membela’ rakyat. Sedangkan untuk menguntungkan pihak tertentu, kerajaan sanggup dan mampu berbelanja lebih. Menara Wawasan dibina dengan nilai RM 5 bilion, entah belum tentu menguntungkan rakyat jelata. Lebih baik perbelanjaan itu ditampung kepada subsidi minyak. Sebegitu juga dengan projek-projek mega, gergasi dan mewah, itu perlu dikurangkan dahulu buat menampung keperluan rakyat.

Memang betul rakyat tidak terbeban dengan kenaikan ini, kerana rakyat sudah tidak mampu berkata-kata lagi. Sudah kering air mata dan keringat rakyat bekerja siang dan malam mencari sesuap rezeki menampung kehidupan. Soal kenaikan gaji, elaun tambahan, gaji minimum tidak pernah menjadi perhatian utama kerajaan. Rakyat kini bukan sekadar tidak terbeban dengan kenaikan harga barang, tetapi tidak mampu menampung beban menanggung BN.


MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ

Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan


Kiriman Fadhil B. Osman

Pegawai Lajnah Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat

Perbandingan Harga Petrol Semasa

1. United Arab Emirates - $0.37/liter/ RM1.22 seliter
2. Baharin - $0.27/liter/RM0.89/liter
3. Qatar - $0.22/liter /RM0.72 /liter
4. Kuwait -$0.21/liter /RM0.69/liter
5. Libya - $0.14/liter / RM0.46/liter
6. Arab Saudi - $0.12/liter / RM0.39 /liter
7. Iran - $0.11/liter /RM0.36/liter
8. Nigeria - $0.10/liter / RM0.33/liter
9. Turkmenistan - $0.08/liter / $M0.26/liter
10. Venezuela - $0.05/liter / RM0.16 /liter
Malaysia..???????

SATU LAGI CARA UNTUK TIPU MELAYU

KENYATAAN RESMI

Model Ekonomi Baru dan Penarikan Subsidi: Bukti Dasar Barisan Nasional
Yang Berbolak Balik dan Berat Sebelah.


Kenaikan harga sebanyak 5 sen RON 95 merupakan kenaikan kali kedua
berturut-turut dalam masa 6 bulan. Pengumuman yang dibuat oleh Dato’
Seri Idris Jala juga meliputi penarikan subsidi terhadap beberapa
barang keperluan seumpama gula(kenaikan sebanyak 20 sen),
diesel(kenaikan sebanyak 5 sen) dan gas petroleum cecair(kenaikan
sebanyak 5 sen).

Manakala Barisan Nasional menegaskan peningkatan harga tersebut adalah
kecil dampaknya terhadap rakyat, namun hala tuju dasar negara yang
terbentuk kesan dari kenaikan tersebut tidak boleh dipandang ringan.
Barisan Nasional melalui PEMANDU telah membentangkan pada sesi Hari
Terbuka Rasionalisasi Subsidi bertarikh 27 Mei 2010, bahawa sudah ada
rancangan untuk menarik balik subsidi minyak jenis RON 95 pada setiap
6 bulan. Pengumuman semalam mengesahkan akan ada kenaikan harga pada
masa hadapan, berkemungkinannya kenaikan yang lebih besar jumlahnya
dari yang dicadangkan iaitu kenaikan 10 sen setiap 6 bulan.

Penarikan balik subsidi beberapa jenis barangan juga diusulkan
termasuklah subsidi gas yang berkait rapat dengan Janakuasa Bebas yang
dimiliki segelintir elit korporat dan kroni Barisan Nasional. Namun
sehingga kini kelihatannya kenaikan harga hanyalah terhadap barangan
keperluan dan pastinya rakyat keseluruhan yang merasa pedihnya,
bukannya kroni.

PEMANDU menganggarkan sejumlah RM 1.12 billion akan dijimatkan pada
tahun 2010 sekiranya subsidi gas untuk Janakuasa Bebas serta sektor
bukan tenaga dapat dikurangkan. Ini dapat dicapai sekiranya harga gas
untuk Janakuasa Bebas dan sektor bukan tenaga naik masing-masing RM
4.65 per mmbtu(million British unit haba) serta RM 2.52 per mmbtu.
Sehingga kini, kerajaan melalui PETRONAS, berhasil menyediakan subsidi
buat Janakuasa Bebas dan industri lainnya sejumlah RM 19 billion
setiap tahun kerana harga gas selepas subsidi hanyalah RM 10.70 per
mmbtu(untuk Janakuasa Bebas), harga yang dikira amat murah jika
dibandingkan dengan harga pasaran buat gas yang diimpot iaitu RM 38
per mmbtu (sekiranya negara terpaksa mengimpot akibat dari
kekuranganpengeluaran).

Oleh itu kita mahu Perdana Menteri dan pentadbiran beliau memberi
penjelasan mengapakah mereka terburu-buru untuk menarik balik subsidi
minyak, gula dan gas petroleum cecair, sedangkan kesan dari keputusan
tersebut hanya akan membebankan rakyat terbanyak. Pada masa yang sama
kita mempersoalkan tindakan mereka kerana kebijakan tersebut tidak
menjurus pula terhadap golongan elit korporat terutamanya mereka yang
rapat dengan pemerintah.

Tambahan pula sehingga kini kita hanya dihamburi janji sedangkan
perubahan yang dijanjikan hanya sekadar suatu wayang dan permainan
komunikasi terutamanya berkaitan sistem pengagihan subsidi. Kita
berpandangan Perubahan mesti disegerakan kerana ianya mustahak demi
memastikan bantuan dari pemerintah sampai kepada golongan
berpendapatan rendah sekaligus meringankan beban mereka berhadapan
dengan kos sara hidup yang meningkat.

PEMANDU begitu tangkas memastikan subsidi ditarik balik, akan tetapi
begitu perlahan mengungkapkan penyelesaian untuk mengagihkan semula
subsidi demi kepentingan rakyat terbanyak dan miskin.

Justeru kita ragu keberkesanan serta iltizam untuk melaksanakan
perubahan walaupun bahagian terakhir Model Ekonomi Baru baru sahaja
dibentangkan. Model Ekonomi Baru diwar warkan sebagai satu rancangan
untuk membawa perubahan terutamanya buat sistem ekonomi, namun sejarah
menjadi saksi apabila tiba waktu untuk melaksanakannya, mereka
sentiasa gagal.

Barisan Nasional cuba meyakinkan kita betapa penarikan balik subsidi
adalah perlu demi mengurangkan jurang defisit yang sebenarnya akibat
dari keborosan selama ini. Akan tetapi apa yang mereka cuba lakukan
hanya mengelak dari persoalan sebenar isu subsidi iaitu harga yang
tidak munasabah buat Janakuasa Bebas, kebanyakannya milik kroni.

Lebih menyedihkan, RM 126 juta yang berjaya dijimatkan dari penarikan
balik subsidi gula sebanyak 20 sen pada 16hb Julai lalu itu lebih
kecil jumlahnya jika hendak dibandingkan dengan bayaran kepada PEMANDU
sebagaimana yang dilaporkan Malaysiakini (pada 3hb Disember 2010). Di
mana letaknya keabsahan moral kerajaan memerintah ini yang mengambil
RM 126juta dari rakyat terbanyak demi untuk membayar RM 66 juta kepada
penasihat yang membantu menubuhkan sebuah unit kerajaan dan RM 65 juta
pula buat keseluruhan operasi PEMANDU untuk tahun 2010.

Pastinya saya mendengar pengumuman berkaitan dengan Model Ekonomi Baru
dengan rasa penuh curiga. Barisan Nasional akan cuba sedaya upaya
untuk mengelirukan rakyat dengan segala macam pengumuman kononnya demi
kebaikan sektor awam, namun pada masa yang sama boros membayar mereka
yang berkhidmat dalam PEMANDU dengan bayaran yang mampu menyaingi
sektor swasta.

Dokumen Model Ekonomi Baru menumpu mempromosi liberalisasi dan
pembatalan kawal selia, akan tetapi pada masa yang sama memberi lesen
kepada YTL untuk menjayakan projek 700MHz tanpa tender terbuka. Berita
ini pastinya mendapat cemuhan awam dan kalangan mereka dari industri
telekomunikasi.

Pastinya wujud corak ketidaktuntasan di antara pengumuman yang dibuat
dan pelaksanaan oleh pemerintah. Ini tidaklah mengejutkan kerana kita
sedar pemerintah kini taksub untuk mencipta ilusi indah hasil dari
bantuan firma perhubungan awam, yang mana upahnya dibayar dari dana
awam. Bagi mereka yang paling mustahak adalah untuk terus kekal
berkuasa.

Justeru Pakatan Rakyat bersama dengan rakyat keseluruhannya
bertanggungjawab untuk terus memerhati dan memastikan pemerintah
membuat keputusan demi kemaslahatan rakyat serta negara. Kita tidak
boleh gagal, kerana akibatnya ialah harga minyak RM 2.10 seliter dalam
masa setahun lagi.


ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
4HB DISEMBER 2010

Ahad, 5 Disember 2010

PEMANDU dah telan RM66 juta

Bukannya Pemandu Bas atau pemandu lori.. tapi PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan)Badan pemikir kerajaan..

Badan pemikir yang banyak berfikir bagaimana hendak menyusahkan rakyat jelata.. Bodoh punya pemikir, yang melantik pemikir yang bodoh itu pun semestinya bodoh juga..

Biarpun mereka boleh dianggap pemikir yang bodoh namun gaji lapan pengarahnya dikatakan dalam lingkungan purata RM39,000 setiap bulan manakala pengarah bersekutu pula dibayar purata RM23,300 setiap bulan.


RM66 juta dibelanja tubuh PEMANDU



Badan pemikir kerajaan - Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri, - dikatakan menelan perbelanjaan RM66 juta sebelum ia beroperasi dengan sebahagian besar wang itu dibelanjakan untuk bayaran kepada perunding asing.


Beberapa dokumen yang diperolehi oleh Malaysiakini mendedahkan perbelanjaan tahun lalu sebelum PEMANDU beroperasi adalah kenbanyakannya untuk membiayai “perunding luar”, termasuk firma perunding Amerika McKinsey and Co, yang mengaut RM36 juta.

Dokumen itu juga mendedahkan antara perunding luar negara dan tempatan yang dibayar oleh PEMANDU termasuk Hay Group (yang dibayar RM11 juta), Ethos & Co (RM1.5 juta) dan Alpha Platform (M) Sdn Bhd (RM1.5 juta).

Seorang “perunding luar” misteri yang hanya dikenali sebagai "Tarmidzi" pula menerima bayaran RM3 juta untuk kerja-kerja menubuhkan PEMANDU.

Menurut dokumen itu lagi, badan pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd, mencadangkan pembayaran bil RM21 juta, khususnya untuk kerja-kerja yang dilakukan oleh McKinsey dari April hingga September, 2009.

RM60 juta untuk ETP

Sementara itu, operasi PEMANDU dianggarkan berjumlah RM65.1 juta bagi seluruh tahun 2010, yang termasuk bayaran perunding strategik dan komunikasi serta penganjuran majlis program hari terbukan.

PEMANDU ditubuhkan pada 16 September 2009 bagi memantau Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Ia kini diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Dokumen lain menunjukkan unit pemikir ETP menelan perbelanjaan RM60 juta.

Projek ETP pada mulanya dianggarkan berjumlah RM78 juta tetapi menurut dokumen berkenaan, Kementerian Kewangan hanya meluluskan RM60 juta untuk pelaksanaannya.

Ini termasuk RM16 juta yang dibayar kepada perunding tujuh makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut dokumen itu lagi, anggaran kos bagi ETP untuk tahun 2011 dan 2012 adalah purata RM53 juta setiap tahun.

Dengan sebahagian besar dana berkenaan diperuntukan kepada makmal, jumlah yang tidak kurang kecilnya juga dikatakan untuk membiayai pengarah-pengarah yang merupakan antara 60 kakitangan PEMANDU.

Gaji lapan pengarahnya dikatakan dalam lingkungan purata RM39,000 setiap bulan manakala pengarah bersekutu pula dibayar purata RM23,300 setiap bulan.

Perdana Menteri pula dilaporkan hanya mendapat gaji RM22,800 sebulan.

Apabila dihubungi, seorang wakil kanan PEMANDU berkta beliau tidak boleh mengulas.

Malaysia pengeksport minyak

Indonesia pengimport minyak (minyak tak cukup)
Singapore pengimport minyak (takde minyak tp gaji rakyat besar)

Malaysia pengeksport minyak (jual minyak mahal...beli minyak murah untuk rakyat tp jual harga minyak mahal)

Dibawah ini adalah senarai harga petrol untuk 10 buah negara terpilih yang murah:

1. United Arab Emirates - $0.37/liter atau RM1.22 seliter

2.Baharin - $0.27/liter atau RM0.89 seliter

3.Qatar - $0.22/liter atau RM0.72 seliter

4.Kuwait - $0.21/liter atau RM0.69 seliter

5.Libya - $0.14/liter atau RM0.46 seliter

6. Arab Saudi - $0.12/liter atau RM0.39 seliter

7. Iran - $0.11/liter atau RM0.36 seliter

8. Nigeria - $0.10/liter atau RM0.33 seliter

9. Turkmenistan - $0.08/liter atau $M0.26 seliter

10. Venezuela - $0.05/liter atau RM0.16 seliter

Tu lah pasal..... sikit sikit bezakan dengan negara jiran...
tak mau pulak buat comparison tangga gaji pekerja awam di singapore.....
Contoh nyer.. pangkat kostable di singapura dan mesia.....
Kenapa tak berani compare gaji... kenapa compare minyak pulak ??

Yang paling best kalau dorang buat comparison bonus yang diberikan olih singapura dan mesia.... hehehehe

Ada berani kah ???

Compare dua perkara jer... yaitu bonus dan tangga gaji pekerja awam...

Sebagai contoh, petrol RON95 berharga RM2.46 seliter di Indonesia, RM4.36 di Singapura dan RM4.25 di Thailand, manakala harga diesel pula RM2.50 seliter di Indonesia, RM3.18 di Singapura dan RM2.96 di Thailand.

Harga LPG pula RM2 bagi satu kg di Indonesia, RM6.42 di Singapura dan RM1.93 di Thailand, manakala harga gula RM3.50 bagi satu kg di Indonesia, RM3.80 di Singapura dan RM2.80 di Thailand.

JAKARTA 7 Nov. - Selepas menerima pelbagai desakan, pemerintah Indonesia mengumumkan untuk menurunkan harga minyak petrol bersubsidi sebanyak 500 rupiah atau 18 sen seliter mulai 1 Disember ini.

Pada masa ini, harga petrol premium di negara yang mempunyai 230 juta penduduk ini ialah 6,000 rupiah atau RM2.18 seliter.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono membuat keputusan untuk menurunkan harga petrol premium daripada 6,000 rupiah kepada 5,500 rupiah seliter berikutan turunnya harga minyak mentah dunia sehingga AS$65 setong.

Kali terakhir Indonesia menaikkan harga minyak bersubsidi ialah pada 24 Mei 2008, iaitu sebanyak 28.7 peratus, daripada 4,500 rupiah menjadi 6,000 rupiah seliter.

Bagaimanapun harga diesel, minyak tanah dan solar tetap tidak berubah.

Menteri Kewangan dan Pemangku Menteri Ekonomi, Sri Mulyani Indrawi berkata, penurunan harga petrol itu dibuat bagi mengurangi beban rakyat dan meningkatkan daya beli masyarakat.

Bagaimanapun rakyat berpendapatan rendah menyifatkan penurunan harga minyak sebanyak 500 rupiah itu tidak memberi makna kerana harga barang tidak berubah.

Sejak 1 Dis harga minyak di Indon 5,500 Rupiah...nak tau dalam ringgit convert sendiri....

Lebih kurang harga di Malaysia...tp pengeluaran minyak Indon sekitar 40-60% selebihnya Indon kena Import..pun masih leh jual ngan harga yang sama ngan Malaysia ni yg tak perlu import minyak....tu la pilih la lagi BN tu


NAIK HARGA BUKTI EKONOMI NEGARA TENAT


KOTA BHARU, 4 Dis: Harga petrol dan diesel yang naik bermula hari ini masing-masing 5 sen untuk seliter, membuktikan ekonomi kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin tenat.

Sambil melahirkan rasa dukacita di atas perkara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut meminta kerajaan menarik balik slogan kerajaannya ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, kerana kenaikan harga minyak termasuk gula tidak menggambarkan ciri-ciri itu.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas merasmikan majlis khatam perdana Dun Chempaka di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik), di sini hari ini.

Tuan Guru turut berkata, pengumuman projek yang bakal dilaksanakan rakyat hanya ‘gula-gula’ untuk bersiapan pilihan raya umum yang akan datang.

“Hakikatnya kerajaan tidak ada duit, tetapi untuk mencanangkan kepada rakyat seluruhnya mereka masih mampu, terpaksa mencanangkan projek itu dan projek ini.

“Apa yang pasti bila harga minyak naik, bukan setakat gas dan gula sahaa akan naik, sebaliknya barang-barang keperluan utama lain juga akan naik,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya harga gula naik, rakyat boleh dinasihati agar kurangkan menggunakan bahan berkenaan.

“Tetapi kalau harga minyak naik, apa kita nak tipu rakyat lagi? Bandingkan dengan kerajaan lain?, ianya tidak sama sebab kita pengeluar minyak,” ujarnya lagi.

Sambungnya, akibat kenaikan harga minyak juga, gejala sosial seperti merompak, mencuri semakin berleluasa kerana ingin mendapatkan dana dengan cara mudah bagi menampung keperluan harian.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya menilai kemampuan kerajaan BN hari ini khususnya di bawah Najib yang semakin bermasaalah khususnya berkaitan ekonomi.

“Rakyat perlu menghukum kerajaan ini, khususnya pada pilihan raya umum nanti, itu saja caranya,”ujarnya.

Seramai 85 kanak-kanak mengikuti program khatam berkenaan. Sebanyak RM30 ditanggung oleh Dun Chempaka untuk seorang kanak-kanak, RM20 lagi ditanggung keluarga sendiri.

Beliau turut berkata, berkhatam mula diikuti oleh orang bukan Islam kini kerana mereka yakin ianya untuk kebersihaan

“Ini bererti Islam dah berjaya menunjukkan perkara yang betul hingga diikuti oleh bukan Islam,” ujarya lagi.