Khamis, 8 Julai 2010

SIAPA HARUS RAKYAT PERCAYAI ?

Perdana Menteri Najib Razak menggesa orang ramai tidak mempercayai pengarang blog Malaysia Today Raja Petra Kamarudin kerana mendakwa beliau menulis berita-berita fitnah terhadap kepimpinan Umno.

Najib turut meminta rakyat tidak mempercayai dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam mengenai pembabitan Perdana Menteri, isterinya Rosmah Mansor dan kerabat keluarga Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Selain itu, sudah lumrah juga untuk Perdana Menteri menggesa rakyat tidak mempercayai pemimpin-pemimpin seperti Menteri Besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan tentunya Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dan seteru politik utama Umno.

Malah, seluruh jentera media arus perdana khususnya Utusan Malaysia digerakkan untuk menanam persepsi di kalangan rakyat bahawa orang-orang ini - dari Raja Petra sampai kepada Anwar Ibrahim TIDAK boleh dipercayai.

Terbaru, Najib meminta rakyat tidak mempercayai Suara Keadilan, akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat yang melahirkan rasa khuatir Felda akan bankrap jika wangnya terus disalah-urus.

Dalam tempoh lima tahun lalu, rizab tunai Felda sudah pun susut lebih enam puluh peratus.

Duit RM4 bilion tinggal RM1 bilion.

Jika semua pihak yang dinyatakan di atas tidak boleh dipercayai, persoalan yang harus diajukan kepada Perdana Menteri ialah SIAPA harus rakyat percayai?

Bolehkah rakyat mempercayai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz yang mendedahkan Kabinet meluluskan pembinaan Parlimen baru RM800 juta di Putrajaya?

Apabila berdepan dengan bantahan rakyat, Nazri kemudian mendakwa beliau tersalah memberi maklumat.

Bagaimana pula kewibawaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan?

Haruskah rakyat menelan bulat-bulan penjelasan beliau yang mendakwa simpanan tunai Felda RM2 bilion digunakan untuk penanaman semula oleh peneroka?

Kenyataan itu adalah pembohongan semata-mata kerana peruntukan untuk penanaman semula datang dari sebuah tabung berasingan yang dibiayai oleh peneroka sendiri, kata bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong yang bertanggungjawab ke atas Felda semasa beliau dalam Kabinet.

Bagaimanapula dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang gagal memberikan penjelasan bagaimana rekod kemasukan Altantuya Shaariibuu yang mati dibom ke negara ini “tiba-tiba” hilang dari rekod Jabatan Imigresen? Adakah beliau boleh dipercayai?

Dan akhir sekali, apakah rakyat boleh mempercayai Najib sendiri, selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri?

Pemimpin utama negara ini memberitahu Parlimen, beliau tidak pernah menjanjikan projek untuk mendapatkan undi pada mana-mana pilihan raya kecil.

Hakikat, seperti yang terpacar dalam rakaman-rakaman video ialah Najib menjanjikan RM5 juta kepada penduduk di Sibu untuk projek banjir jika mereka memenangkan calon BN pada PRK Mei lalu.

Umpan sama diberikan kepada pengundi Cina dan peneroka Felda semasa PRK Hulu Selangor beberapa minggu sebelum itu.

Najib adalah juga pemimpin Melayu yang berjanji mempertahankan kesucian agama Islam dan kebajikan seluruh rakyat lain tanpa mengira agama dan bangsa.

Namun pada masa sama beliau meluluskan lesen judi sukan yang bertentangan dengan agama Islam dan mendatangkan masalah sosial dan jenayah kepada masyarakat yang terjebak dengan amalan buruk itu.

Apabila Pakatan Rakyat dan rakyat bangkit menentang, Najib secara tiba-tiba berkata lesen itu ditarik balik.

Hari ini apabila isu itu reda, Najib sekali lagi memberitahu Parlimen pihaknya bersedia memberikan semula lesen judi sukan jika ada rancangan untuk menghalalkan amalan itu di negara ini.

Kenyataan yang mengelirukan dan putar belit. Siapa yang mempunyai kuasa untuk menghalalkan judi sukan jika bukan kerajaan pemerintah.

Namun pendirian kabur dan berdolak dalih sudah saban kali di perlihatkan oleh Najib dalam mengumumkan keputusan-keputusan kerajaan.

Justeru, rakyat keliru, mana satu Najib yang harus dipercayai?

Patutkah mereka berpegang kepada seorang Perdana Menteri yang mudah membuat janji dan kemudiannya bingkas mengubah kata-katanya?

Ini belum lagi dikupas janji-janji Najib untuk memansuhkan hak pemilihan 30 peratus di dalam Model Ekonomi Baru sebelum menjajanya ke Amerika Syarikat.

Sekembali dari berjumpa dengan Presiden Barack Obama, segala peruntukan itu dikekalkan dalam RMK-10, selepas dikritik oleh Perkasa dan mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimana pula dengan kelewatan Najib mengkritik serangan Zionis ke atas misi kemanusiaan kapal laut yang berkesudahan dengan pertumpahan darah.

Ataupun tindakan Umno-BN mengupah syarikat Apco Worldwide yang dipimpin bekas pegawai-pegawai risikan Zionis dengan kos RM77 juta.

Negara semakin condong ke arah menjadi tali barut kuasa-kuasa tertentu, dan Malaysia akan “bankrap” nilai-nilai moral dan kemanusiaannya jika rakyat meletakkan kepercayaan kepada pemimpin yang hanya pandai menanam tebu di bibir dan menyembunyikan hakikat sebenar.

Jelas, rakyat mempunyai kesukaran untuk memberi pertimbangan kepada gesaan Najib supaya tidak mempercayai orang dan pihak tertentu.

Ini kerana kenyataan Perdana Menteri ibarat meludah ke langit. Bak kata Karam Singh Walia, paku dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih.

Itulah akibatnya apabila tukang “nasihat” sendiri dibelit dengan kredibiliti rapuh lagi mencurigakan.
KONTROVERSI: NILAI TANAMAN SEMULA FELDA, NAJIB NYATA BERBOHONG BILA KENYATAAN NYA BERCANGGAH DENGAN PENDEDAHAN AHMAD MASLAN
Ramai yang terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri Najib Razak tentang isu Felda pada pelancaran Hari Peneroka 2010 di perkarangan MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak di Sungkai . Kenyataan yang dibuat seolah-olah tanpa merujuk kepada menteri yang berkenaan iaitu Ahmad Maslan.

Beliau dengan bangga mengatakan bahawa Felda telah membuat pelaburan bijak untuk kesejahteraan rakyat dan merupakan sebuah institusi yang berjaya tetapi dituduh bankrap oleh mereka yang sebenarnya bankrap idea, moral dan prinsip perjuangan. Najib juga berkata pihak yang mendakwa Felda bankrap telah membuat tuduhan liar yang tidak berasas serta melakukan satu dusta. katanya.

Beliau juga menegaskan mereka yang membuat tuduhan itu juga tidak memahami prinsip perakaunan dan perniagaan. Kononnya, pembangunan Felda adalah warisan perjuangan pusaka tetapi cuba dihina, difitnah dan dicemari imejnya. "Kita ada RM4 bilion kita labur, bukan joli katak bukan songlap. kita melabur untuk kesejahteraan peneroka,""Tak bankrap...bukan Suara Keadilan yang tentukan," katanya. Soalnya sekarang, siapa yang mendedahkan di lobi parlimen berkenaan rizab tunai Felda susut daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada RM1.45 bilion pada 2009.

Bukankah kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Penerangan UMNO si Ahmad Maslan?. Maka, kenapa Najib mengatakan ianya satu fitnah?. Jumlah nilai menyusut mencecah berbilion menunjukkan pihak pengurusan agensi terbabit telah gagal sebenarnya menunjukkan bahawa mereka tidak memahami prinsip perakaunan dan perniagaan. Maknanya Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah Felda gagal mengurus tadbir agensi itu dengan sempurna.

Maka, apakah menjadi kesalahan jika kita mahu mengatakan Felda Muflis atau Bangkrap dengan kehilangan nilai risab yang begitu banyak itu?. Salahkah rakyat untuk menilai kegagalan itu sebagai satu kesilapan?. Maka kenapa isu "Felda Bangkrap" yang dijadikan sebagai isu untuk mengelirukan golongan peneroka. Sepatutnya, isu kehilangan rizab tunai itu yang wajar diperbesarkan sebenarnya.

Najib Tipu Peneroka Soal Belanja Tanam Semula

Sesuatu yang amat menarik untuk diperkatakan ialah dalam sedar atau tidak, angka-angka dijadikan bahawa "lawak" untuk Najib menipu para peneroka di Sungkai. Sama ada dia sedar apa yang diucapkannya itu kita tidak pasti. Namun, apa yang jelas Najib telah sewenang-wenangnya mengelirukan rakyat tentang duit-duit Felda yang digunakan itu sebenarnya.

Dalam sidang media di lobi parlimen sebelum ini juga, Ahmad Maslan mendedahkan bahawa RM2 bilion wang dibelanjakan untuk tanaman semula. Biar pun jawapan itu mengelirukan kerana semua peneroka telah dibuat caruman RM40 sebulan sejak 30 tahun lalu sebagai Makanya purata setiap peneroka mempunyai "tabung tanaman semula".RM17,000 untuk digunakan bagi tujuan tersebut. Makananya kenapa RM2 bilion itu digunakan pula?.

Bukankan ini menjadi kemusykilan kepada sebahagian besar peneroka?. Mana datangnya duit RM2 bilion itu?. Apakah ia sekadar tempelan untuk menunjukkan itu yang dibelanjakan oleh Felda atas menyusutnya rizat tunai sebanyak RM2.7 bilion itu?. Mungkin juga ia ada kebenaran, sedangkan hakikatnya jauh sama sekali. Semua orang boleh bercerita kepada rakyat tentang berapa wang yang digunakan untuk menolong rakyat. Namun bukti jelas angka itu hanya direka cipta untuk menyedapkan halwa telingan peneroka mendengarnya.

Akhirnya, bagai ditakdirkan maka Najib telah mencipta satu lagi angka baru untuk tujuan tanaman semula ketika berucap di Sungkai baru-baru ini. Antara lain kata Najib, Felda juga telah membelanjakan RM2.4 bilion untuk tanaman semula. "Kalau pokok dah tua mana nak keluar buah (sawit) atau susu (getah)," katanya. Inilah bukti pembohongan yang nyata dilakukan oleh Najib dan Ahmad Maslan untuk menutup kelemahan yang ada sebenarnya. Mereka mencipta angka-angka tertentu bagi membuktikan kononnya wang tersebut dibelanjakan ke jalan yang benar. Padahal, entah ke mana perginya wang itu pun kita tidak tahu. Bukan mahu menfitnah atau menuduh yang bukan-bukan. Tetapi itulah hakikatnya.

[Najib boleh berbangga mengatakan itu dan ini ketika melancarkan Hari Peneroka di Sungkai baru-baru ini. Namun, beliau juga harus sedar bukan semua peneroka boleh tertipu dengan kenyataannya itu. Felda dizaman Tun Razak memang jelas berhasrat untuk membela nasib rakyat terutamanya orang-orang Melayu. Namun, sejak Najib bertanggungjawab terhadap Felda maka berbagai idea mengarut telah diperkenalkan termasuk menutup peluang generasi kedua untuk menyertai Felda lagi. Beliau menjadikan Felda sebagai bisnes korporat dengan menggunakan duit penerokan sewenang-wenangnya. Felda Plantations diwujudkan untuk membolehkan agensi itu menjadi seperti estet dan bukan lagi tanah rancangan seperti diilhamkan oleh arwah bapanya dulu. Itu belum termasuk Felda Technoplant yang banyak menipu serta menindas peneroka. Kini penerokan terhimpit antara jasa ayahnya dengan penipuan yang dilakukan. Justeru itulah mereka terus memberontak sekarang ini].

Rabu, 7 Julai 2010

RM41 juta untuk projek 'gajah putih' Putrajaya

Ahli parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong hari ini membidas kerajaan kerana membelanjakan terlau banyak wang rakyat bagi dua projek 'gajah putih' di Putrajaya.

“(Astaka Morocco dan Monumen Alaf Baru) tidak ada fungsi dan dibina semata-mata untuk memuaskan fantasi (bekas perdana menteri) Dr Mahathir (Mohamad),” katanya di lobi parlimen.

“Perangkaan...menunjukkan purata 20 pengunjung yang melawat Astaka Morocco setiap hari, jumlah itu terlalu kecil berbanding dengan jumlah wang yang dibelanjakan.”

Menjawap soalan Liew di Dewan Rakyat, sebelum itu, Timbalan Menteri, Wilayah persekutuan, Datuk M Saravanan berkata Astaka Morocco dibina pada kos RM20 juta dan RM250,000 dipibelanjakan setiap tahun untuk penyelenggaraannnya.

Ini termasuk 'pembersihan khas' untuk kolam dan juga tulisan khas yang dipamerkan di dinding serta ukirannya di pintu. Tahun lalu, 8,500 melawat monumen berkenaan.

Saravanan berkata Monumen Alaf Baru yang dirasmikan pada 2003, pula menelan perbelanjaan RM21 juta untuk dibina dan kos penyelengaraannya pula adalah RM93,000 setiap tahun.

Bagaimanapun kementerian tidak mengetahui jumlah pengunjung ke monumen itu kerana ia terletak di kawasan yang terbuka.

Menurut Saravanan, kedua-dua monumen berkenaan dibina bagi menarik orang ramai mengunjungi Putrajaya manakala Monumen Alaf Baru dikatakan mempunyai nilai sejarah.

“Memandangkan kedua-dua monumen itu telah dibina, adalah lebih baik ia dijadikan tempat untuk rakyat. Sebagai contoh, artis boleh mempamerkan seni dan bakatnya di sini. Sekarang ini, tempat ini dibiarkan kosong,” katanya.

Liew juga menggesa kerajaan supaya berunding semula dengan Putrajaya Holdings, yang sekarang ini menyaksikan kerajaan terpaksa membayar RM1 bilion setiap tahun untuk bayaran sewa premis berkenaan.

“Ini hampir 0.5 peratus daripada bajet tahunan yang digunakan hanya untuk sewa, tidak termasuk penyelenggaraan, hanya kerana bagi memenuhi fantasi seseorang,” katanya.

As
taka Morocco, terletak di Taman Botani dan dibina bagi melambangkan keutuhan dipllomatik antara Malaysia dan Maghribi, khususnya berhubung rakyat dan kebudayaan kedua-dua negara.

Manakala Monumen Alaf Baru setinggi 68meter terletak di Precinct 2, Putrajaya. Rekabentuknya diambil daripada bunga raya dan melambangkan sejarah negara bermula daripada zaman kesultanan Melayu Melaka.


DAP KEMUKA USUL DEEPAK, ROSMAH TAJA BALA
Ahli parlimen Bakri, Er Teck Hwa hari ini memfailkan usul berhubung kenyataan peguam Americk Sidhu bahawa penyiasat persendirian, P Balasubramaniam mendakwa segala kos sara hidupnya di kota London dibayar oleh seorang usahawan permaidani, Deepak Jaikishan atas suruhan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Usul itu dibuat di bawah peraturan 18 mesyuarat Dewan Rakyat.

“P Balasubramaniam sebagai seorang saksi dalam kes pembicaraan pembunuhan Altantuya telah lari ke London dengan sebab-sebab yang tidak diketahui dan masih dikehendaki oleh SPRM untuk soal-siasat.

“Manakala Raja Petra Kamaruddin yang didakwa melanggar Akta Hasutan 1948 selepas mendedahkan artikel 'Lets send the Altantuya murders to hell' turut lari ke sana juga.

"Artikel tersebut telah menghuraikan hubungan YAB Perdana Menteri dengan Altantuya Shaariibuu sehingga kes pembunuhan tersebut berlaku yang kononnya Altantuya tahu sangat kes-kes skandal yang melibatkan YAB Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Er, kes pembunuhan Altantuya adalah satu isu yang hangat dibincangkan dan kini menjadi bahan gurauan di media antarabangsa sehingga menjejaskan imej negara.

“Sungguhpun kes ini telah selesai dibicarakan di mahkamah, tetapi susulannya ialah kerajaan Mongolia telah menawarkan tajaan sepenuhnya kepada bapa Altantuya, Setev Shaariibuu supaya mengemukakan dakwaan ke atas kerajaan Malaysia yang dikatakan bertangguhjawab atas kematian anaknya.

“Lebih-lebih lagi dilaporkan bahawa pihak media luar negara seperti TVB, Hong Kong telah merancang dan akan menyiarkan satu cerita bersiri berkaitan kes pembunuhan Altantunya ini di seluruh saluran TV dunia yang turut memalukan kita,” kata Er.

Menurut wakil DAP itu, nama isteri perdana menteri yang didakwa sebagai “dalang dalam kes pelarian Balasubramaniam yang bersangkutan dengan kes Altantuya diungkitkan dalam kenyataan Malaysia Today ini akan dibaca melalui laman web seluruh dunia yang akan memberikan sesuatu impak yang negatif kepada imej negara.”

“Saya minta dewan membahaskan isu ini untuk menjelaskan kesahihan kenyataan tersebut yang bertujuan untuk mengembalikan kewibawaan negara kita,” katanya.


BALA, RAJA PETRA ADA KUNCI RAHSIA KABINET NAJIB?

Penyiasat peribadi, Balasubramaniam kemungkinan mempunyai 'anak kunci peti rahsia' kes pembunuhan gadis Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ada sesuatu disembunyikan dari kita, seolah-olah Bala ini pegang ‘kunci peti rahsia’ tak kiralah kes Altantuya atau rahsia aktiviti isteri orang nombor satu negara.

Sekiranya tidak takkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membatalkan niat menghantar tiga pegawai penyiasat (IO) ke London untuk bertemu Bala.

Dalam pada itu mempersoal keengganan SPRM itu kononnya atas nasihat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patai.

Tengah malam pun, SPRM sanggup buat rayuan di mahkamah supaya mereka boleh siasat, takkan dalam isu Bala ini, mereka ikut Peguam Negara dengan serah soalan pada peguam Bala saja.

Pihak berwajib patut menyiasat 40 peratus pendedahan pemilik sesawang Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK) seperti yang diakui oleh Datuk Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kenapa tak siasat kebenaran dalam tulisan RPK ini sedangkan Mukhriz sendiri mengaku bahawa 40 peratus adalah benar.

Disebabkan itu kita berasa hairan dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis memburu 'Raja Blogger' terbabit semata-mata.

Pergi siasat dulu siapa bunuh Altantuyaa, siapa jual kedaulatan negara pada Singapura dan Brunei, siapa bunuh Teoh Beng Hock kerana RPK dedah itu semua.

Melihat tindakan kerajaan dalam menghadapi pendedahan RPK itu, kita tidak menolak kemungkinan bahawa 'Raja Blogger' itu mungkin mempunyai 'kunci pendua' peti rahsia yang melibatkan salah laku pemimpin tertinggi tertentu dalam kerajaan.

Kalau tidak ada kunci peti rahsia seperti Bala pun, dia mungkin pernah lihat (peti rahsia) atau mungkin ada kunci pendua yang sangat ditakuti oleh kabinet Perdana Menteri kita.

Tuntas dari itu kerajaan disaran supaya turut menyiasat beberapa pendedahan Bala dan RPK berhubung pemimpin tertentu.