Memaparkan catatan dengan label KENYATAAN RASMI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KENYATAAN RASMI. Papar semua catatan

Selasa, 24 Mei 2011

KENYATAAN RASMI

KENYATAAN MEDIA
23 MEI 2011

Khairy bersandiwara, sokong kenaikan harga barang ketika Abdullah jadi PM

Saya merujuk ucapan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin seperti yang dilaporkan oleh media. Antara lain, Khairy menggesa Pemuda Umno seluruh negara membuat usul menentang kenaikan harga minyak kerana membebankan rakyat, mencadangkan kerajaan menyemak semula perbelanjaan untuk program PLKN yang berjumlah RM600 juta dan mencadangkan kerajaan melakukan penjimatan perbelanjaan.

Secara luarannya ucapan beliau dilihat menentang penarikan subsidi dan kenaikan harga petrol dan barang keperluan oleh kerajaan.

Ucapan ini nampak seolah-olah lunak, tetapi sebenarnya tidak lebih dari sebuah sandiwara untuk berlagak jaguh rakyat terutama ketika pilihanraya umum semakin dekat.

Ini kerana pada tiga tahun lepas, Khairy membuat kenyataan yang jauh sama sekali bertentangan dengan kenyataan beliau hari ini.

Saya menyemak ucapan Khairy di Dewan Rakyat pada 23 Jun 2008 ketika membahas usul kenaikan harga petrol dan barangan yang dikemuka Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dalam ucapan tersebut, Khairy direkod hansard sebagai berkata, "walaupun pahit dan mengundang pelbagai reaksi negatif rakyat jelata, (namun) keputusan kerajaan menstrukturkan (menarik balik) subsidi merupakan satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dielakkan".

Beliau juga berkata dengan menaikkan harga minyak dan harga barangan keperluan, kerajaan membuat keputusan yang bertanggungjawab, beramanah dan jauh memandang ke hadapan.

Beliau menambah, walaupun rakyat terpaksa memikul beban hari ini, penstrukturan semula subsidi ini membawa system yang lebih adi ldengan subsidi yang progresif. Harus diingat, petikan ucapan di atas adalah ketika bapa mertua beliau, Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri.

Soalan saya, kenapa Khairy sebagai seorang pemimpin utama parti Umno mengubah pendirian prinsipnya hanya dalam masa tiga tahun.

Kenapa ketika bapa mertuanya menjadi Perdana Menteri, Khairy menyokong penarikan subsidi dan kenaikan harga barang, sedangkan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, Khairy terpaksa meminjam hujah Pakatan

Rakyat yang konsisten menentang kenaikan harga barang dan penarikan subsidi kepada rakyat?

Saya percaya ini, sikap sebenar Khairy adalah ketika bapa mertuanya menjadi perdana Menteri dan sikapnya tidak pernah berubah, kecuali untuk mengabui mata rakyat dan berlagak hero menjelang pilihanraya ke 13.


Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung KEADILAN
23 Mei 2011

Ahad, 6 Mac 2011

KENYATAAN RASMI

MENGAPA ANWAR IBRAHIM DIBICARAKAN?

Sebab mengapa Anwar Ibrahim duduk di dalam kandang tertuduh setiap hari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada masa ini dengan menghadapi perbicaraan jenayah sememangnya difahami oleh mereka yang benar-benar waras. Anwar sedang dalam usaha untuk membuat perubahan-perubahan asas terhadap sistem pentadbiran negara ini dan juga ke atas wacana politik nasional. Perubahan ini semestinya menghakis pengaruh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pastinya akan menyingkirkan dari kekuasaan.

Pemimpin dan kerajaan BN sememangnya tidak peduli tentang kewajaran perubahan ini yang memberi manfaat kepada rakyat. Apa yang mereka pentingkan adalah kelangsungan politik mereka sahaja. Selain hanya obsesi ke atas kelangsungan ini, mereka juga mengabaikan perkara-perkara yang memberikan manfaat kepada negara. Reformasi yang dibawa oleh Anwar akan menghapuskan ketidakcekapan pengurusan ekonomi dan pembaziran yang diakibatkan dari gejala rasuah dan kronisme; bebas dari kawalan institusi politik yang sepatutnya bersifat bebas; dan mengembalikan kebebasan politik kepada rakyat yang dirampas oleh kerajaan BN selama lebih 50 tahun.

Struktur, imperatif dan para personaliti BN membuatkan ianya mustahil bagi mereka untuk melaksanakan perubahan dan memulihkan diri mereka. Maka mereka mengetatkan cengkaman ke atas negara yang sedang bergelut untuk bergerak ke depan menuju kebebasan dan kemakmuran untuk semua, dan menggunakan cara tertentu untuk melumpuhkan sesiapa yang berjuang untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat. Maka setiap hari Anwar didudukkan di dalam kandang tertuduh, dan nasib negara digantung tanpa tali.

Adalah sesuatu yang tidak asing lagi buat rejim yang zalim untuk merencana pendakwaan fitnah terhadap musuh-musuh politik mereka. Dalam tahun 1930-an, Stalin merancang beberapa siri perbicaraan yang menyaksikan penyingkiran semua yang mengancam kekuasaan beliau. Pada 1995, Ken Saro Wiwa, seorang tokoh pengkritik yang dihormati di dalam kerajaan Nigeria telah didakwa dengan pertuduhan rekaan oleh tribunal tentera dan dijatuhi hukuman mati walaupun dikecam masyarakat antarabangsa.

Pada 2009, ikon demokrasi Burma, Aung San Suu Kyi telah dijatuhi hukuman tiga tahun penjara dengan kerja berat selepas didakwa dalam perbicaraan palsu atas pertuduhan tidak masuk akal iaitu mengingkari perintah tahanan rumah.

Dengan mencontohi tindakan-tindakan ini, Kerajaan BN mendakwa Anwar Ibrahim. Rakyat cuba diperbodohkan dengan perbicaraan ini yang dibalut dan disamarkan secara formal dengan perendahan undang-undang. Sebagai ketua pendakwaan, Pejabat Peguam Negara mestilah berubah secara komprehensif, dan kuasanya yang besar mesti dikaji. Pihak tertinggi polis dan kerajaan mestilah bertanggungjawab terhadap pencabulan perundangan awam dan pembaziran wang rakyat akibat dari perbicaraan ini.

Tiada negara yang bergelut atas nama Kebebasan boleh ditekan sebegitu lama. Jalannya mungkin panjang dan sukar, namun saya menyeru setiap rakyat negara bertuah ini agar melihat semua ini. Kita berhutang dengan diri sendiri dan generasi akan datang.

N SURENDRAN
NAIB PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT