Jumaat, 16 November 2012

PR akan terpaksa melalui kepayahan untuk membersihkan negara


oleh Aspan Alias


Jika BN berjaya merampas kembali kerajaan Selangor dalam PRU ini, projek kondominium Dolomite Park Avenue setinggi 29 tingkat di Batu Caves akan dibatalkan. Inilah janji Najib kepada kaum India semasa berucap di Batu Caves semalam. Pengumuman Najib ini dengan terang menunjukkan betapa selekehnya BN kerana memberikan janji pembatalan projek yang diluluskan oleh kerajaan BN sendiri pada tahun 2007 dahulu. Cara Najib berjanji itu seolah-olah ia merupakan satu ‘deal’ yang hebat sedangkan ia hanya membatalkan projek yang BN sendiri telah luluskan.

Pembangunan projek itu tidak ada kena mengena dengan kerajaan PR sekarang ini kerana Menteri Besar BN Mohd Khir Toyo lah yang meluluskan projek itu dahulu. Najib menjadikan kesalahan kerajaan BN dahulu untuk mendapatkan sokongan kaum India dalam pilihanraya yang akan datang ini. Sepatutnya Najib mesti memohon maaf kepada kaum India kerana kerajaan BN telah membuatkan kaum India naik radang dengan pembangunan yang diluluskan oleh kerajaan negeri pimpinan Mohd Khir Toyo dahulu.

Walaubagaimana pun Kerajaan Selangor pimpinan TS Khalid telah mengarahkan projek itu dihentikan buat sementara untuk menyelesaikan masalah yang diwujudkan oleh BN Selangor dahulu. Saya mencadangkan supaya kerajaan Selangor sekarang membatalkan sahaja pembangunan kondominium itu kerana BN tidak akan dapat melakukannya kerana rakyat Selangor akan tetap bersama pimpinan PR di negeri itu dalam pilihanraya yang akan datang ini. TS Khalid perlu memikirkan cara yang baik untuk pembatalan projek ini.


Kita perlu berterima kasih kepada TS Khalid kerana mempunyai hati dan niat untuk membantu cara bagaimana hendak menyelesaikan masalah pembangunan ini walaupun itu merupakan projek yang diluluskan oleh kerajaan BN Selangor dahulu. Syarikat pembangunan itu tentulah telah berbelanja banyak wang kerana seperti yang kita tahu syarikat itu tentunya telah berbelanja wang yang banyak dalam sistem kerajaan BN yang rasuah dahulu. Maklum sajalah, di bawah pentadbiran BN kalau bayar bayar 'fulus' baru permohonan projek-projek lulus. Tentulah segala kelulusan akan memakan belanja jutaan ringgit pendahuluan untuk ramai pegawai-pegawai pengutip tol dalam kerajaan BN di mana-mana.

Ini merupakan perkara yang terpaksa beliau lakukan untuk melakukan pembersihan ke atas segala kekotoran yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini. Rakyat tahu kerajaan PR terpaksa melakukan segala pembersihan ini kerana maklum sajalah BN telah melakukan kerja-kerja yang tidak betul ini sejak lima dekad dahulu. Bayangkan betapa beratnya amanah yang terpaksa dipikul oleh PR setelah mendapat mandat untuk menguasai Putrajaya dalam PRU yang akan datang.

Tetapi itu sememangnya menjadi jangkaan kita pun. Bukan kerja mudah untuk menyelesaikan segala kekusutan yang diwujudkan oleh kerajaan Persekutuan BN selama ini. Selepas mendapatkan mandat itu nanti kita boleh mengagak betapa peritnya kerajaan persekutuan PR buat beberapa tahun awal pentadbirannya nanti.

Itulah sebabnya jika rakyat serius untuk melihat pembersihan ke atas kekotoran yang dilakukan oleh BN sejak tiga dekad yang lalu, mereka (rakyat) perlu memberikan tugas dan tanggungjawab itu kepada Pakatan Rakyat untuk melakukannya. Justeru itu, yang diperlukan hanyalah kepercayaan dan mandat dari setiap rakyat yang insaf kepada Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, DAP dan PKR dalam pilihanraya ini.

PR perlu segala sokongan untuk melakukan pembersihan ini kerana seperti projek kondominium yang diluluskan oleh kerajaan BN Selangor dahulu, tentulah ia berpaksikan kepada kegiatan rasuah yang besar. Kalau tidak masakan projek di atas tapak yang terlalu hampir kepada tempat suci masyarakat Hindu itu boleh diluluskan tanpa ragu dan silu.

Ramai di kalangan pimpinan PR yang saya temui bersetuju dan sependapat yang tugas awalan PR apabila menduduki Putrajaya itu amat rumit dan memerlukan kepakaran yang lebih beserta kesabaran yang optima untuk melakukan pembaharuan itu. Ada yang berkata PR akan menghadapi kerja rumit seolah-olah seperti membersihkan tandas awam di stesen-stesen bas.

Janji-janji Najib selama ini untuk membersihkan keadaan tidak mungkin tercapai kerana beliau adalah ketua kepada kerajaan yang sarat dengan kekotoran rasuah dan kerja-kerja lain yang menjijikkan itu. Mana mungkin ‘mop’ yang kotor boleh membersihkan lantai yang kotor.

Pihak yang layak untuk melakukan pembersihan itu hanyalah pihak Pakatan Rakyat, kerana PR telah menunjukkan bukti bagaimana mereka (PR) telah melakukan pembetulan dan pembersihan yang dilakukan di negeri-negeri tadbiran mereka. Apa yang diperlukan oleh PR ialah untuk mereka diberikan tanggungjawab untuk mentadbir Putrajaya dan negeri-negeri yang masih ditadbir oleh kerajaan BN sekarang ini. Mandat ini amat penting bagi menentukan pembersihan itu boleh dirasai oleh setiap negeri dan rakyat di dalam negara persekutuan kita ini.

Mahu tidak mahu negara perlukan perubahan seperti yang lazim berlaku di negara-negara demokrasi yang lain. Kita belum lagi mengalami perubahan seperti itu sejak merdeka dan itulah yang menyebabkan kerajaan yang diberi mandat terlalu lama seperti kerajaan BN ini telah hilang hidayah untuk mentadbir dengan baik. Parti ini sudah menjadi sebuah organisasi yang kufur nikmat dan menjauhi diri mereka dari kehendak masa dan zaman sekarang ini.

Tiada ulasan: