SHAH
ALAM 3 Julai: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata,
laporan lengkap mengenai kedudukan kewangan Universiti Selangor (Unisel)
akan dibentang awal Ogos depan sebaik audit selesai dijalankan.
Menurut beliau, kerajaan negeri sedang menunggu laporan berkenaan yang kini dalam proses akhir audit.
“Amat malang kerana kedudukan kewangan Unisel lima tahun lalu tidak
diaudit sepenuhnya. Sebab itulah saya minta ia diaudit penuh,” katanya
dipetik Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Dialog Bajet Selangor 2013 di Subang Jaya semalam.
Kenyataan itu sekaligus membuktikan Khalid sedia menyahut cabaran
Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mahu
pendedahan itu dilakukan bagi membuktikan Unisel tidak menanggung
kerugian besar.
Kelmarin, Noh dilapor berkata, Unisel bakal menjadi gajah putih
angkara kerakusan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) mempolitikkan
pendidikan dan menjadikan universiti itu sebagai alat politik mereka.
Sebaliknya, pentadbiran Umno di Selangor sebelum 2008 menyebabkan
Unisel dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kusi) menjadi beban kewangan
buat kerajaan negeri dengan belanja bulanan sebanyak RM2.3 juta.
Ini kerana, Unisel dibina berdasarkan konsep ć…‹uild Operate
Transfer?(BOT) dengan kontrak selama 20 tahun menyebabkan ia terpaksa
membayar sewa bulanan sebanyak RM300,000 sebulan.
Malah, Unisel turut membayar sebanyak RM2 juta sebulan untuk satu
pinjaman yang dibuat beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-12
berlangsung.
Perkara itu didedahkan Timbalan Pengarah Biro Mahasiswa Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Affandi Malik, April lalu.
Affandi mendakwa, kontrak membina Unisel yang dimeterai sewaktu BN
mentadbir Selangor diberi kepada Jana Niaga Sdn Bhd, sebuah syarikat
milik keluarga dan kroni Datuk Seri Dr Khir Toyo.
Malah, bangunan yang dibina juga tidak sempurna mengakibatkan
universiti sendiri terpaksa berbelanja ratusan ribu ringgit untuk
pembaikan, katanya.
Bangunan asrama Unisel juga hanya menerima sijil selamat diduduki (CF) selepas Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, katanya.
Beliau yang juga mantan Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar
Unisel sesi 2008-2009 turut mendedahkan bahawa Unisel membuat pinjaman
sebanyak RM150 juta sebelum PRU 12 pada 2008.
Bagaimanapun, Khir yang merupakan mantan Menteri Besar menafikan
Selangor semasa di bawah BN tidak menghadapi masalah kerana universiti
itu mendapat sumber kewangan sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan