KUALA LUMPUR 7 Jun: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
tidak pernah takut untuk diheret ke mahkamah selagi Umno masih berkuasa
dan perkara itu adalah mustahil disebabkan polis serta institusi
kehakiman negara turut dikuasai parti itu, kata Setiausaha Agung
KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
“Memanglah
dia (Mahathir) tidak takut kerana selagi Umno memerintah, amat mustahil
untuk polis menyiasat apatah lagi mengheret dia ke mahkamah.
“…Dr Mahathir yang saya kenali mempunyai dua ketakutan iaitu yang
pertama takut pada kebangkitan rakyat terutama bila rakyat turun ke
jalan raya bagi membantah secara aman penyelewengan atau salah laku
kerajaan, pasti polis akan diarahkan bertindak kasar,” jelasnya kepada Keadilan Daily.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang mengulas kenyataan Mahathir
kononnya beliau tidak gentar untuk ke mahkamah sebagai reaksi kepada
Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk mendedahkan skandal kewangan
sepanjang 22 tahun pemerintahannya.
Tambah Saifuddin, ketakutan kedua Mahathir pula ialah apabila legasi
atau perkara yang dilakukan sepanjang pemerintahannya terbongkar.
“Contohnya seperti wang Petronas yang digunakan beliau (Mahathir)
bagi membayar hutang anaknya, Mirzan semasa krisis ekonomi 1997 hingga
1998, tapi pastinya tidak akan ada siasatan polis selagi Mahathir masih
ada,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kebelakangan ini, Mahathir paling
banyak mengeluarkan kenyataan seolah-olah beliau yang menentukan hala
tuju dan strategi Umno untuk menang pilihan raya.
“Mahathir sebenarnya takut melihat kejatuhan Hosni Mubarak di Mesir
serta Suharto di Indonesia yang terus diheret ke muka pengadilan dan
dijatuhkan hukuman.
“Perkara yang sama akan berlaku pada Mahathir jika berlaku peralihan
kuasa dan desakan rakyat untuk menuntut keadilan,” kata Saifuddin lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan