KUALA LUMPUR 1 Mei: Pengumuman gaji minimum oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak hanya bersifat sandiwara bagai memancing undi
menjelang pilihan raya, kata Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis
Malaysia (PSM), Choo Chon Kai.
“Selain paras gaji minimum yang diumumkan jauh kurang daripada apa
yang dituntut oleh gerakan masyarakat, pelaksanaan tersebut hanya akan
berlaku selepas enam bulan dan kemunginan besar akan ditunda lagi
seperti yang berlaku kepada pegawal keselamatan.
“Kalau kerajaan Umno BN benar-benar ingin melaksanakan gaji minimum,
sepatutnya ia dilakukan sekarang. Apabila hak pekerja dituntut, maka
taktik melambatkan menjadi lumrah pemerintah,” katanya pada kenyataan
hari ini.
Beliau menyifatkan tindakan terbaru Najib itu yang bakal senasib
dengan pengumumannya sebelum ini berhubung gaji minimum untuk pegawal
keselamatan.
Malah katanya, kerajaan BN sebelum ini tidak berniat untuk melindungi
hak pekerja bahkan sanggup menggadaikannya demi menjaga keuntungan
kroni dan pemodal besar.
“Tuntutan pekerja di Malaysia yang perlu ditunaikan segera demi
menjamin kesejahteraan hidup adalah gaji minimum RM1,500, jaminan kerja,
kawalan harga barang, kebebasan menubuhkan Kesatuan Sekerja, bebas
daripada beban cukai GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), perumahan
selesa dan penghentian penswastaan perkhidmatan asas.
“Semua tuntutan tersebut tidak mungkin jadi realiti dengan kerajaan
Umno BN sekarang yang hanya tahu merompak rakyat biasa untuk kapitalis,”
kata Chon Kai.
Malam tadi, Najib mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi
sektor swasta sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam untuk Semenanjung
manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula RM800 atau RM3.85 sejam.
Perdana Menteri berkata, gaji minimum itu akan meliputi semua pekerja
termasuk pekerja asing dalam semua sektor ekonomi, kecuali perkhidmatan
domestik seperti pembantu rumah dan tukang kebun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan