KUALA LUMPUR: Pengerusi Biro pendidikan Pusat KEADILAN, Abas Awang menyifatkan kegagalan universiti di Malaysia disenarai 400 universiti terbaik dalam majalah Times Higher Education (THE) disebabkan akar umbi universiti itu sendiri.
Ini berikutan, katanya, Naib Canselor sesebuah universiti hanya menjadi ‘pak angguk’ sekali gus mendorong golongan pensyarah terkongkong dan tidak berfikiran terbuka.
“Tenaga pengajar memainkan peranan penting. Pelajar akan bagus kalau pensyarahnya bagus. Ini yang kita ada profesor kangkung yang membodek. Dan untuk lebih memajukan pendidikan negara profesor kangkung seperti ini mesti di’hapus’.
“Naib Canselor dilantik oleh kerajaan. Ini tidak patut berlaku. Pelantikan Naib Canselor harus berdasarkan kelayakan, bukannya ‘kesungguhan’ mereka mematuhi kata-kata pemerintah,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.
Tiada universiti di Malaysia disenarai dalam majalahTHE yang memuatkan nama 400 universiti terbaik di dunia sedangkan universiti jiran serantau termasuk enam di Hong Kong dan dua dari Singapura disenarai. Universiti Mahidol di Thailand juga disenarai dalam kategori 351-400.
Mengulas lanjut, Abas berkata, kongkongan terhadap sesebuah universiti terutama darisegi penglibatan dalam politik menyebab pelajar tidak berfikiran terbuka.
“Pelajar tidak dapat mengembangkan pemikiran. Kebebasan perlu diberi sama ada dari segi pemilihan fakta pembelajaran dan
pemilihan penyelidikan perlu lebih terbuka.”
Abas turut membidas sesetengah universiti yang terlalu fokus kepada pembelajaran teori semata-mata dan mutu pensyarahnya yang tidak mempunyai ilmu dikehendaki pasaran semasa.
“Pelajar dibebankan banyak teori sehingga tidak seimbang dan gagal mempraktikal di alam pekerjaan. Pensyarah janganlah guna nota lama yang tidak lagi relevan. Ia membuatkan pelajar tidak dapat manfaat ilmu dalam kerjaya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan