Selasa, 21 Jun 2011

Nasib baik Umi Hafelda tak faham maksud Yu Gi...

Para pembaca yang budiman, aku rasa agak ramai pembaca yang agak kabur tentang konsep dan falsafah negara kebajikan. Apabila parti PAS mengajukan negara kebajikan sebagai raison d'ĂȘtre atau matlamat dan garis perjuangan parti, kelihatan musuh utama rakyat Malaysia - United Malays National Organisation – menjadi sasau.

Secara mengejut, tiba-tiba benggolan-benggolan dari United Malays National Organisation menjadi sasau dan mamai. Entah pelesit mana yang datang merasuk. Dengan mengejut secara tiba-tiba Mahathir Mohamad, Najib Razak, Nazri Aziz, Utusan Malaysia dan PERKASA meluahkan cinta berahi mereka terhadap para ulama PAS.

Aku perhatikan, tanpa segan silu mereka 'frust menonggeng' dan tergolek menangis, merayu dan meraung apabila negara Islam tidak lagi dijadikan agenda politik oleh PAS. Dengan penuh sasau mereka ingin memeluk dan mencium para ulama PAS, terutama yang telah kalah dalam pemilihan baru-baru ini.

Cerita sedih ini menjadi lucu apabila Ibrahim Ali merasa kesucian agamanya tercemar apabila PAS mengajukan negara kebajikan. Zul Nordin tersedak hingga tercabut kopiah apabila diberitahu bahawa Mohamad Sabu telah berjaya menduduki kerusi pucuk pimpinan PAS. Utusan Malaysia tidak putus-putus air liur bergebang tentang bagaimana PAS telah menjadi kuda DAP.

Nampaknya kemunculan pimpinan baru dalam PAS ini telah menjadikan United Malays National Organisation kelam kabut dan sampar-larau tak tentu arah tujuan. Ada benggolan yang meminta PAS meninggalkan agenda Islam. Ada benggolan yang berkata PAS telah belot kerana kononnya meninggalkan agenda Islam.

Lawak-lawak seram ini semakin menjadi-jadi. Aku terguling-guling dan ketawa terbahak-bahak hingga tercabut tiga helai bulu hidung apabila terbaca berita tentang Mahathir berfatwa dengan surah dan ayat-ayat Quran.

Bayangkan Mahathir, kaki kelentong ini telah bersalin kulit menjadi seorang lebai. Lebai Mahathir ini telah mula berlabon dengan ayat-ayat Quran. Paling lawak apabila lebai ini menerangkan kepada jemaah suraunya bahawa pimpinan baru dalam PAS ini bermaksud kemenangan untuk Karpal Singh. Macam mana si Karpal ini masuk dalam kes ini, aku pun tak faham.

Aku perhatikan kempen anti-PAS ini akan diteruskan. Kempen ini bertujuan untuk mengharu-birukan PAS dan para penyokong PAS. Kempen yang berjangka panjang ini bertujuan agar muncul tim serpihan 'ulama' dalam PAS. Benggolan-benggolan dalam United Malay National Organisation akan bernazar jika parti PAS retak dan pecah.

Malam membakar fail


Kenapa ini berlaku?

Biar aku terangkan di sini tentang pensejarahan latar belakang agar kita semua dapat memahami realpolitic yang sedang berlaku di hadapan mata kita. Semuanya bermula pada malam kemenangan pilihan raya yang lalu. Ingat tak malam itu? Jangan lupa malam itu juga dikenali sebagai malam membakar fail di pejabat kerajaan Shah Alam.

Pada malam itu United Malays National Organisation melihat kekalahan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan. Kekalahan di Selangor adalah satu pukulan hebat. Negeri terkaya di Malaysia telah terlucut. Sesudah membakar fail-fail, dengan cepat dan tangkas bermula kerja-kerja jahat.

Khir Toyo menelefon. Beberapa pucuk pimpinan PAS telah dihubungi. Tujuannya untuk melahirkan apa yang dipanggil 'kerajaan perpaduan'. Pekara ini bukan lagi rahsia. Apa yang aku tulis ini bukan fitnah. Semua telah terbarai. Semuanya telah diketahui umum. Apa yang aku lakukan ini hanya merakamkan sejarah ini secara hitam putih putih untuk ingatan cucu cicit kita nanti.

Semenjak malam itu, mimpi berahi United Malay National Organisation untuk kembali berkuasa di Selangor tidak putus–putus. Dalam masa yang sama beberapa benggolan PAS terus dirangsang oleh mimpi berahi untuk menjadi menteri besar dan meniduri jawatan menteri pusat jika kerajaan perpaduan dapat diwujudkan.

Benda yang dipanggil 'kerajaan perpaduan' ini dikenali juga dengan nama manjanya 'Yu Gi'. Yu Gi ini bermakna unity government. Anasir-anasir yang menyokong Yu Gi dalam PAS ini terus bergerak. Di Selangor, ia amat aktif sekali hingga anasir Yu Gi ini berjaya menyingkirkan Saari Sungip dan Khalid Samad dari pucuk pimpinan PAS Negeri.

Selama tiga tahun bahtera PAS terumbang ambing akibat dari kerja-kerja jahat anasir-anasir Yu Gi. Dalam masa yang sama benggolan United Malay National Organisation terus 'memukul telefon' berhubung dengan anasir-anasir Yi Gi dalam PAS. Hubungan sulit terus dilakukan. Cinta kasih sayang mereka terus dibakar. Akhirnya gerak kerja anasir Yu Gi dalam PAS ini telah berjaya menggangu gugat kerja-kerja politik Pakatan Rakyat.

Nafsu dan berahi anasir Yu Gi ini terus dibelai. Justeru pelbagai bentuk kenyaataan telah dibuat. Pucuk pimpinan United Malays National Organisation telah membuat kenyataan tentang betapa indahnya jika Melayu bersenggama dengan Melayu. Betapa gah dan luasnya politik ketuanan Melayu jika Melayu dapat berpadu-padu dengan Melayu.

Sesudah petang Krismas


Aku tersenyum melihat bagaimana pada awalnya kenyataan dan jemputan dari benggolan United Malays National Organisation ini agak berlapik. Tetapi semua ini berakhir pada petang cuti hari Krismas yang lalu. Pada petang itu satu pertemuan sulit di mana Najib, Muhyiddin Yassin, Nik Aziz Nik Mat dan Hadi Awang telah diadakan. Perjumpaan ini menjadi pancit apabila Nik Aziz minta diri berundur.

Kisah Nik Aziz menggagalkan projek Yu Gi ini menjadi gelak ketawa dalam internet. Bayangkan kata-kata Nik Aziz dengan loghat Kelantannya:

"Ambo tok seeh (tidak mahu) padu-padu ni… ambo (saya) minta diri dulu… Ambo nok gi hospital."

Cuba bayangkan bagaimana rupa Najib dan muka Muhyiddin ketika Nik Aziz bangun dan beredar. Betapa sedih dan pilu rasa hati Abang Nasa apabila semua rancangan untuk menubuhkan 'kerajaan perpaduan' gagal. Mimpi Abang Nasa untuk menjadi menteri kabinet jatuh berderai-derai, tergolek-golek.

Sesudah petang Krismas itu, jemputan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan ini mula diajukan tanpa berlapik-lapik. Jemputan ini datang bertalu-talu. Semua bersuara menjemput PAS untuk mendirikan kerajaan perpaduan. Hinggakan Lokman Adam seorang jurufikir ulung United Malay National Organisation sendiri sanggup membuat jemputan secara terbuka di satu forum di Kota Bahru.

Nampaknya hanya Ummi Ufilda sahaja yang tidak menjemput PAS untuk berpadu-padu dengan United Malays National Organisation. Ini mungkin kerana Ummi tidak memahami makna unity government kerana ia disebut dalam bahasa Inggeris.

Cita-cita dan niat United Malays National Organisation untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan dengan PAS ini bertujuan untuk memastikan kerajaan yang ada sekarang akan terus berkuasa. United Malay National Organisation yang semakin terpencil dan terpinggir memerlukan tabung oksigen dari PAS.

Lalu gendang ketuanan Melayu dimainkan untuk memanggil Melayu bertandak. Tetapi sayangnya, memukul gendang Melayu ini aku rasa telah membosankan. Selama 50 tahun gendang Melayu ini telah dipukul. Dari hari ke hari sambutan semakin hambar. Tak ramai anak muda dan berongeng dan bertandak. Bukan sahaja gendang ini memekakkan telinga, malah untuk anak-anak muda gendang Ketuanan Melayu ini tidak dilihat cool.

Cerita puntianak, drakula

Kini jelas, United Malay National Organsiation semakin hilang akal. Ini bukan lagi gila talak. Ini betul-betul jadi gila. Sejarah pilihan raya kecil memperlihatkan mereka kalah teruk dan dilihat terdesak. Undi orang Cina dilaporkan akan seratus-peratus pergi kepada Pakatan Rakyat. Undi Melayu hanya datang dari warga emas dan mak cik Felda. Hanya ada satu berita baik untuk United Malay National Organisation. Pengundi pimpinan Reezal Merican dan Abdeel Azeez masih tetap setia. Syukur.

Muktamar PAS yang baru berlalu dahulu bagitu bersejarah sekali. Ia membawa perubahan lanskap politik yang hakiki. Aku berpendapat, selesai sahaja muktamar PAS, pintu Yu Gi telah tertutup.

Anasir-anasir Yu Gi jelas terpelanting dari pucuk pimpinan. Abang Nasa diberitakan menangis kerana telah ditikam oleh 'geng' sendiri. Sebuah syarikat pun tak ada peluang untuk mengucapkan syabas kepada Hasan Ali kerana dia sendiri telah tercabut kuasa dari PAS Selangor.

Untuk menyeronokkan cerita, biar aku buka cerita puntianak dan drakula. Mengikut kisahnya, Count Dracula yang meracau sesudah mati hanya dapat dibunuh dengan tikaman salib. Legenda Dracula ini tak jauh bezanya dengan cerita puntianak orang Melayu. Mengikut kisah cerita, minah puntianak akan berhenti menggangu kampung apabila tengkoknya dipaku.

Tentu tuan pembaca yang budiman akan bertanya, Apa sangkut pautnya puntianak dan drakula dengan politik tanah air kita? Mari sini ambo nak royak. Dengar baik-baik.

Apabila abang Mat Sabu menang dan menduduki tempat kedua dalam PAS, ini samalah seperti paku akan akan memaku si puntianak yang bernama Yu Gi. Puntianak Yu Gi yang meracau meroyan ini akan dikuburkan. Yang tinggal sekarang hanyalah pelesit tidak berjenjang.
Tak faham?

Kalau tak faham tunggu minggu depan.

Oleh Hishamuddin Rais -

Tiada ulasan: