Sabtu, 14 Mei 2011

Kerajaan dituntut dedah pembelian kilang ‘Raja Gula’ oleh Felda – Azan


KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak untuk mengumumkan jumlah transaksi pembelian Malayan Sugar Manufacturing Co Sdn Bhd (MSM) yang sebelum ini dimiliki oleh Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok.

Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, pembelian itu dilakukan menerusi anak syarikat Felda, iaitu Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH).

Individu terkaya di Malaysia, Robert kuok tahu industri gula tidak lagi mendatang keuntungan akibat bekalan gula murah dan subsidi yang semakin kurang

“Felda ialah sebuah syarikat berkepentingan kerajaan. Mengapa jumlah pembelian tersebut tidak diumumkan secara terbuka? Agensi mana yang dilakukan untuk membuat penilaian aset dan liabiliti syarikat tersebut,” soal Azan.

Azan Ismail mendakwa, kerajaan seolah-oleh menyembunyikan perkara tersebut dari pengetahuan rakyat, sehinggalah rentetan dari siri kenaikan barangan keperluan termasuk kenaikan harga gula sebanyak 20 sen yang diumum kerajaan semalam.

Menurut laporan media, FGVH turut membeli Kilang Gula Felda Perlis Sdn Bhd, sebidang tanah seluas 5,800 hektar di Chuping, Perlis dan 20% pegangan Tradewinds (M) Bhd dengan anggaran jumlah RM 1.5 billion.

Difahamkan kini, Robert Kuok, yang juga jutawan pertama di Malaysia kemudiannya membeli syarikat CSR Limited, iaitu pengeluar gula terbesar di Australia.

“Sekarang ini, jika Felda mahu mengimport gula dari Australia, agensi tersebut akan membeli dari syarikat yang dimiliki oleh Robert Kuok.

“Ini tidak memberikan makna kepada Felda kerana pada akhirnya nanti, sekiranya ada kenaikan harga gula di negara ini, maka Felda akan dipersalahkan.

“Sedangkan, keuntungan awal telah dikaut oleh orang yang sama, iaitu kroni Barisan Nasional dan pernah mendapat faedah dari monopoli gula selama puluhan tahun di negara ini.

“Felda belum tentu mendapat keuntungan, kerana gula adalah barangan kawalan. Jika ada pun, sudah tentu ia ‘disedut’ oleh pihak ketiga yang menjadikan nilai terkumpul tersebut sebagai dana pilihan raya bagi pihak Barisan Nasional,” tambah Azan.

Dalam pada itu, Azan Ismail mendakwa, kerajaan cuba mewujudkan suasana tenteram di kalangan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu dengan mendakwa, pembelian syarikat gula tersebut oleh Felda menunjukkan kerajaan prihatin terhadap agensi yang banyak memberikan faedah kepada orang Melayu itu.

“Orang Melayu jangan terperangkap dengan tindakan kerajaan ini. Pembelian kilang gula milik Robert Kuok oleh Felda tidak memberi jaminan bahawa nasib orang Melayu lebih terbela.

“Kita tidak tahu siapa yang berkepentingan di dalam transaksi tersebut yang akan mengaut keuntungan. Apatah lagi proses pembelian FGVH tidak diumumkan secara terbuka.

“Sebab itu, kita tuntut dokumen tersebut didedahkan kepada umum,” ujar Azan.

Tiada ulasan: