Isnin, 6 September 2010


IKLAN KONTROVERSI : KEMENTERIAN PENERANGAN PATUT DIPERSALAHKAN

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan adalah pihak yang patut dipersalahkan dalam kontroversi penyiaran iklan sempena Hari Raya tahun ini oleh TV3, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Pada 12 Disember 2005, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu, Datuk Shaziman Abu Mansor memberitahu Dewan Negara bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama rapat dengan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk memastikan kesemua bahan siaran ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan di TV swasta negara ini," kata beliau.

Dari jawapan Shaziman itu, kata Mahfuz, jelaslah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan adalah pihak yang patut dipersalahkan kerana pengakuan telah dibuat di dalam Dewan Negara bahawa kesemua bahan siaran ditapis terlebih dahulu oleh SKMM dan LPF sebelum disiarkan oleh TV swasta negara ini.

Sambil berterima kasih kepada umat Islam yang membantah iklan penuh kontroversi itu, beliau menyifatkan perkara itu mungkin berlaku kerana sikap keterlaluan yang amat jelas diperlihatkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam memantau apa sahaja bahan dalam Internet yang tidak disenangi oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Kerana sikapnya yang amat jelas memperlihatkan beliau sibuk sangat hendak menjadi polis di dalam Internet, Rais ternyata tidak melakukan pemantauan yang sepatutnya terhadap iklan yang dengan jelas membangkitkan kemarahan umat Islam itu walaupun TV3 menayangkannya berkali-kali sejak Khamis lalu.

"Jika Rais sendiri pernah menonton iklan itu, mungkin sensitivitinya sudah terlalu tumpul sehingga kita tidak mendengar sebarang bantahan atau tindakan darinya dan TV3 ternyata mengambil inisiatif sendiri untuk menghentikan penyiaran iklan itu.

"Maklumlah, Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad adalah syarikat-syarikat berkaitan Umno atau Umno linked companies dan Rais mungkin tidak ada hasrat langsung untuk melakukan pemantauan secara on air terhadap bahan-bahan yang disiarkan oleh media yang dimiliki oleh syarikat-syarikat berkaitan Umno," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu sambil membangkitkan jawapan Shaziman di Dewan Negara itu turut menyatakan bahawa pemantauan siaran TV dan radio swasta juga dilaksanakan oleh SKMM melalui pemantauan secara on air.

Tetapi, kata Mahfuz, jika iklan sedemikian disiarkan oleh media-media alternatif di dalam Internet, Rais dan Umno pasti akan histeria serta merta.

"Apa yang berlaku itu jelas membuktikan bahawa para pemimpin Umno menilai sesuatu perkara itu dari sudut kepentingan politik mereka.

"Kalau orang lain melakukan sesuatu yang tidak mereka senangi, mereka akan histeria serta merta dan jika diberikan penjelasan yang bersumberkan nas dan sirah Rasulullah sekalipun, mereka akan beria-ia pula memutar kata-kata untuk menegakkan benang basah.

"Tetapi kalau kroni mereka yang melakukan perkara yang dibantah dengan meluas oleh umat Islam, tidak ada langsung sebarang laporan mengenai bantahan dari para pemimpin Umno jauh lagi sebarang tindakan," katanya sambil menuntut siasatan dibuat terhadap penyiaran iklan itu.

Sejak Khamis lalu, TV3 menyiarkan iklan sempena Hari Raya yang menggambarkan seorang 'Pak Haji' mengajak kanak-kanak menaiki beca ajaib sehingga melintasi bulan.

Ia seolah-olah menyamai watak Santa Claus menaiki kereta salju yang dipacu oleh sekawan rusa kutub membawa hadiah Hari Natal untuk kanak-kanak.

Iklan tersebut juga menampilkan babak kemunculan pelita melalui bunga teratai yang dikatakan menyamai fahaman agama Buddha.

Iklan tersebut diterbitkan oleh Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos penerbitan RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer atau computer generated imaging (CGI).

Bagaimanapun, dengan mengambil kira rungutan dan rasa tidak senang penonton, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan memberitahu, iklan tersebut telah pun dihentikan pada pukul 9 malam Sabtu lalu selepas lima kali disiarkan.

TV3 juga memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam kerana penyiaran iklan itu.

Tiada ulasan: