"Posted by Anak Sungai Derhaka
Ini adalah ulasan tentang kekalahan BN di Sibu, ditulis oleh seorang blogger pro-UMNO yang kecewa dengan kekalahan BN di sana.. beliau adalah Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Perak. Beliau melahirkan kekecewaannya terhadap PAS yang kononnya sanggup bersekongkol dengan musuh Islam (kafir) iaitu DAP dalam menumbangkan BN.
Menurutnya PAS seakan-akan mahu sahaja menjerit kegembiraan dengan menyanyikan lagu, "Kami Telah Membunuh Syaitan yang Besar". Baginya inilah hakikat iman bagi manusia yang menjadikan politik dan demokrasi melebihi daripada perintah Allah dan Rasul-Nya.
Dalam melahirkan kekecewaannya itu beliau terlupa ketika UMNO/BN mengalahkan PKR di Hulu Selangor, calon dari PKR Dato Zaid Ibrahim itu adalah seorang yang berugama Islam dan berbangsa Melayu manakala calon dari UMNO/BN itu sendiri adalah seorang bukan Islam iaitu kafir..
Beliau terlupa dalam keriuhan UMNO/BN meraikan kejayaan calon dari MIC itu sebenarnya mereka juga merayakan kejayaan mereka bersekongkol dengan bukan Islam demi mengalahkan saudara seagama mereka sendiri.
Beliau terlupa yang menjadikan politik dan demokrasi melebihi daripada perintah Allah dan Rasul-Nya itu adalah UMNO sendiri..
Terlupa tentang selama ini bahawa ini para pemimpin UMNO sendiri yang telah menolak perintah Allah dan Rasul-Nya dan meletakkan jauh kebawah..
Terlupa bahawa selama ini pemimpin-pemimpin UMNOlah yang telah menghina hukum-hukum Allah dan mempersenda Sunnah Nabi SAW..
Beliau terlupa tentang siapa yang diawal pemerintahannya telah meluluskan 10 lesen judi dan telah meluluskan pula lesen Judi Bolasepak baru-baru ini, tindakan yang jelas menentang hukum Allah dalam mengharamkan judi.
Dalam mengatakan PAS telah bersengkongkol dengan musuh Allah kerana berkerjasama dengan DAP dalam PRK Sibu beliau terlupa UMNO sendiri telah bekerjasama dan membayar YAHUDI musuh utama Islam untuk membina kembali imej pemimpin mereka...
Dalam melahirkan kekecewaannya itu beliau menulis “ bersoraklah penyokong-penyokong PAS atas kemenangan DAP di Sibu, "Hore, Hore, Hore, kita menang, kita menang - UMNO kalah", maka kita pun bergembira sakan melihat saudara sendiri berjaya ditumbangkan, lantas tergadailah Islam, ibu pertiwi dan bangsa sendiri,”
Kecewanya beliau hingga menjadikannya buta dalam mengenali siapakah yang bertanding di Sibu, UMNO atau SUPP? PAS atau DAP.. Islamkah kedua-dua calon yang bertanding itu?
Dan BN telah kalah di Sibu tetapi tergadaikah Islam dibumi yang Islam menjadi minority itu?
Tergadaikah ibu Pertiwi selain dibagi free kepada jiran terdekat, Singapura mendapat Batu Putih dan Brunei mendapat 2 telaga minyak..
Itulah penyokong UMNO, bagi mereka Islam dan Allah adalah diperlukan mereka untuk mendapatkan kembali sokongan Melayu dan Islam dan Allah juga diperlukan bagi menjinakkan PAS agar mahu berkerjasama dengan mereka yang hampir karam…
Ulasan Saya
1. Sejak kemenangan DAP di Sibu semalam - saya melihat golongan yang paling gembira dan bahagia ialah PAS. Mereka - seolah-olah melompat-lompat keriangan, tatkala melihat BN tumbang di Sibu. Malah, PAS seakan-akan mahu sahaja menjerit kegembiraan dengan menyanyikan lagu, "Kami Telah Membunuh Syaitan yang Besar". Inilah hakikat iman bagi manusia yang menjadikan politik dan demokrasi melebihi daripada perintah Allah dan Rasul-Nya.
2. Musuh umat Islam yang utama dijadikan rakan - manakala saudara seIslam sendiri dianggap seolah-olah seperti syaitan atau seperti manusia yang tidak beriman. Bukankah Allah sudah mengingatkan kita semua melalui firman-Nya di dalam surah al-Maidah ayat 55-56 yang bermaksud, "Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan sesiapa yang menjadikan Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itulah yang pasti menang." Ayat ini sudah sangat jelas - sesungguhnya Islam tidak akan menang dan bangkit semula selagi kita meminggirkan orang-orang yang beriman. Dan sesungguhnya PAS sama sekali tidak akan berjaya menegakkan Islam melalui lidah para pemimpin DAP! PAS juga jangan bermimpi di siang hari kononnya Islam semakin baik dan diterima di bawah Pakatan Rakyat.
Ini semua pembohongan yang jijik dan sengaja dibuat atas nama perjuangan Islam. Apakah kita menyangka bahawa Islam akan menang dengan cara menjadikan DAP yang jelas menolak dan memusuhi Islam sebagai pembantu untuk menjatuhkan saudara semuslim kita? Apakah kita yakin sesungguhnya perjuangan kita diredhoi Allah apabila kita sanggup bersengkongkol dengan musuh Allah atas nama demokrasi dan peti undi bagi menghalalkan perbuatan kita menjatuhkan saudara seIslam kita sendiri? Apakah ini namanya perjuangan Islam tatkala kita sendiri mengetahui, sesungguhnya PAS di dalam Pakatan Rakyat, bersama DAP dan PKR langsung tidak mempunyai sedikit pun ruang dan peluang untuk melaksanakan Islam di negara ini? Tetapi, mengapa PAS masih terus berdegil dan bongkak?
Walaupun semua ahli PAS dan kepimpinan PAS tahu dan sangat arif, sesungguhnya adalah mustahil untuk mereka melaksanakan Islam (sama ada hudud, dll) di negara ini melalui kerjasama antara DAP dengan PKR. DAP dan PKR bukan parti Islam - mereka merupakan parti sekular yang menolak Islam.
Dalam surah Ali Imran ayat 28 pula Allah berfirman yang bermaksud :"Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang kafir menjadi pemimpin (pelindung) dengan meninggalkan orang mukmin. Barangsiapa berbuat sedemikian, nescaya lepaslah ia daripada pertolongan Allah, kecuali kerana muslihat yakni memelihara diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap dirinya (siksa-Nya), dan hanya kepada Allah kamu dikembalikan." Soalnya sekarang, mengapa PAS mengambil DAP sebagai penolong/pemimpin serta meninggalkan orang-orang UMNO yang jelas beriman kepada Allah? Bukankah sudah jelas kekafiran DAP dan prinsip mereka terhadap Islam? Dan mengapa PAS masih mahu lagi bersama dengan DAP?
Dan di dalam surah Al-Mumtahanah, ayat 1, Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, jangalah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi wali (pembantu), kamu hubungkan kepada mereka kasih sayang, padahal mereka telah kafir (menyangkal) kebenaran yang datang kepadamu." Bukankah PAS tahu bahawa DAP begitu anti dengan hukum hudud dan negara Islam? Jadi mengapa PAS tetap berdegil untuk meneruskan kerjasama dengan DAP? Malah yang lebih pelik, mengapa PAS masih tetap mahu menjadikan DAP sebagai wali (pembantu) bagi menghancurkan saudara seagama (UMNO) semata-mata mahukan kuasa? Bukankah PAS tahu bahawa DAP telah menyangkal kebenaran yang terkandungan di dalam al-Quran dengan menolak hukum Hudud dan negara Islam? Jadi apakah alasannya lagi untuk PAS meneruskan hubungan kasih-sayangnya dengan DAP?
Dalam hal ini adalah jelas, selagi umat Islam menjadikan musuh Allah (kaum kafir) sebagai penolong untuk menegakkan kalimah tauhid, maka selagi itulah umat Islam akan gagal dan kecewa. Sehingga kini, tiada satu pun negara Islam yang berjaya menegakkan daulah Islamiyyah selagi mereka bersengkongkol dengan musuh Allah. Hal yang sama juga tidak terlepas daripada PAS, selagi PAS mengabaikan peringatan Allah ini, maka PAS harus bersiap sedia menggali lubang kuburnya sendiri.
Lantaran itu, bersoraklah penyokong-penyokong PAS atas kemenangan DAP di Sibu, "Hore, Hore, Hore, kita menang, kita menang - UMNO kalah", maka kita pun bergembira sakan melihat saudara sendiri berjaya ditumbangkan, lantas tergadailah Islam, ibu pertiwi dan bangsa sendiri, lantaran disebabkan kejahilan dan kebodohan kita memahami erti demokrasi, peti undi dan Islamisasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan