Khamis, 21 Jun 2012

Pemandu teksi lebih perlukan permit dari tayar



KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan kerajaan BN gagal memahami keperluan pemandu teksi apabila memberi empat tayar percuma berbanding permit.

Menurutnya, pemberian berupa one-off tidak mampu merubah apa-apa nasib yang sedang membelengu pemandu teksi yang sejak dahulu menagih permit.

"Kerajaan tak tahu keutamaan dan keperluan yang dikehendaki rakyat. Mereka bukan minta tayar, mereka minta permit.

"Bagi tayar tak selesai masalah, permit masih kena bayar kepada syarikat," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan bantuan Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1M).

Melalui bantuan itu pemandu teksi diberi voucher bernilai RM520 untuk menukar tayar teksi di kedai terpilih.

Jika harga tayar lebih mahal, mereka perlu membayarnya dengan duit poket sendiri.

"Kalau kereta waja, RM500 tak cukup untuk ganti empat tayar," kata Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Tayar jadi gula-gula politik

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar kanan) mendakwa pemberian tayar itu tidak lebih dari gula-gula pilihan raya.

Beliau juga memberi jaminan, permit teksi akan diberikan kepada pemandu jika Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah negara.

“Ada ketua Umno cawangan pegang 250 permit teksi. Bekas menteri ada 30 permit teksi. Ketua Pemuda Umno (bahagian) ada 15 permit teksi. Buat apa ini?

“Tapi Umno jawab apa? Dia bagi empat tayar. Saya hendak tanya pemandu teksi, kamu nak permit teksi atau empat tayar?” katanya.

Murad diugut diugut ejen BN, dakwa Saifuddin



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan, bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid (gambar) telah diugut untuk membuat akuan bersumpah mengaitkan Anwar Ibrahim dengan tuduhan RM3 bilion, lapor KeadilanDaily.

“Murad ini kita tahu, dua tiga hari lepas telah didatangi oleh ejen-ejen kerajaan, ugut dia lagi. Kita tahu nama pegawai ini, ugut dia jangan sesekali membuat kenyataan penafian.

“Walaupun dia (Murad) telah mengunjungi Permatang Pauh (Anwar) ketika menerima rawatan di Munich dan minta maaf kerana dia telah dipaksa, keluarganya diugut..kita tahu semuanya. Tapi tak mengapa, teruskan permainan,” kata Saifuddin.

Beliau berkata demikian dalam Dewan Rakyat ketika memohon laluan semasa perbahasan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh di Parlimen hari ini.

“Saya minta izin kepada Permatang Pauh, terima kasih. Oleh kerana sebelah sana (Ahli Parlimen BN MP BN) tak berani bangun, maka saya bangun. Kerana ia cabaran terbuka,” katanya selepas MP BN gagal berdiri apabila dicabar Anwar membangkitkan isu tersebut.

“Saya berpendapat, kita harus tunggu cabaran daripada Pekan (Datuk Seri Najib Razak) dan Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk kita dedahkan pula. Berani tak mereka membuat cabaran terbuka seperti ini?" soal Saifuddin.

Terdahulu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang mencabar MP BN berdiri membangkitkan isu tuduhan kononnya beliau menyorokkan RM3 bilion.

Berikutan kegagalan kesemua MP BN menyambut cabaran Anwar itu menyebabkan Saifuddin yang juga Setiausaha Agung KEADILAN menyambung hujah menangkis tuduhan tersebut dengan membacakan pengakuan bersumpah bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Idris.

Jumaat, 15 Jun 2012

Katak apa kejadahnya mahai sampai RM2juta nie...

Agen tawar RM2 juta beli MP Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini menayangkan video pendek yang didakwa bukti cubaan agen Umno Barisan Nasional (BN) membeli Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Rakaman sepanjang 3 minit 41 saat itu mengandungi perbincangan antara lima orang di sebuah restoran di ibu negara.

Mereka terdiri daripada dua orang agen yang membuat tawaran, dua orang wakil ahli parlimen (MP) Pakatan Rakyat dan seorang driver kepada agen.

Khalid turut mendedahkan salah seorang agen tersebut adalah bekas ketua AMK Kedah, Zamil Ibrahim yang kini mengaku dirinya sebagai pemimpin Parti Kesejahteraan Tanah Air (Kita).

Antara kandungan perbincangan itu, salah seorang dari wakil ahli parlimen Pakatan itu berkata "Dua juta tak berapa cukuplah".



Lalu disambut oleh seorang lagi agen yang dinamakan Mr. X berkata "kita punya maksimum is like that...".

Kemudian kedengaran Zamil mencelah dengan berkata "kita dapat syiling sahaja...cuma itu Pak Zahrain...".

Rakaman perbincangan itu diakhiri dengan Mr. X berkata "Mula-mula dia dah bagi, lepas tu dia increase...tapi dalam Barisan Nasional sudah ada dah, ini price mana standardized,".

Lalu Zamil mencelah dengan berkata "Directlah!".

Menurut Khalid, rakaman yang didedahkan hari ini (gambar bawah) adalah sebahagian daripada rakaman sepanjang 3 jam.

Menurutnya perbincangan itu dirakam dua tahun lepas selepas beberapa ahli parlimen dari PKR melompat termasuk Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim dan juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.

"Video ini membuktikan bahawa pembelian ahli parlimen Pakatan Rakyat memang dijalankan oleh agen-agen yang bertindak bagi pihak Umno.

"Sebelum ini kita tidak ada bukti, tapi sekarang kita ada bukti dan kita mintak orang yang dinamakan (Zamil) memberi respons," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga turut mempersoal kemewahan yang diperolehi Zamil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Zamil katanya kini tinggal di banglo mewah di Kelab Cinta Sayang di Sungai Petani dan memiliki beberapa kereta mewah.

Sedangkan kata Saifuddin, beliau hanya mengenali Zamil dengan latar belakang seorang penjual burger, dan isterinya hanya penjual alat kosmetik tradisional.

"Dengan latar belakang itu, tidak diketahui dia ada perniagaan yang dapat laba tinggi," katanya.

Selasa, 12 Jun 2012

KEADILAN persoal mengapa kes video VK Lingam tidak disiasat


KUALA LUMPUR 11 Jun: Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah menempelak Umno BN kerana tidak mengambil tindakan terhadap kes video klip VK Lingam walaupun siasatan Suruhanjaya Diraja membuktikan adanya unsur rasuah dalam pelantikan hakim negara.
Ahli Biro Politik KEADILAN itu berkata, isu tersebut tidak boleh ditutup begitu sahaja kerana ia melibatkan kredibiliti dalam pelantikan hakim negara.
“Laporan Suruhanjaya amat jelas pihak yang dinamakan terlibat dalam amalan rasuah dan mempengaruhi pelantikan hakim. Syor yang jelas juga telah dibuat oleh anggota suruhanjaya itu.
“Beberapa tahun sudah berlalu, kenapa keputusan atau syor daripada suruhanjaya itu tidak dipedulikan?” soalnya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Sivarasa berkata, pihak yang terlibat seharusnya dikenakan tindakan tegas kerana mencemarkan institusi kehakiman.
“Ia memberi gambaran yang cukup negatif di kalangan rakyat mengenai kedudukan institusi kehakiman dan peranan peguam. Penilaian antarabangsa mengenai kehakiman di negara kita masih rendah.
“Salah satu puncanya adalah wujud campur tangan daripada pihak tertentu dalam pelantikan hakim,” katanya.
Pada 2008, Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kesahihan skandal video VK Lingam.
Keputusan suruhanjaya tersebut mengesyorkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; dua bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin; Peguam Kanan, Datuk VK Lingam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Adnan Mansor dan tokoh perniagaan, Tan Sri Vincent Tan disiasat berhubung peranan mereka dalam pelantikan hakim.
Suruhanjaya itu juga mengesyorkan supaya mereka disiasat di bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan dan kerana menghalang proses keadilan.
Bagaimanapun, Umno BN enggan mendakwa mereka yang terlibat kononnya siasatan tidak menunjukkan sebarang kes penyalahgunaan kuasa.

Akaun rahsia Anwar: Taktik BN alih isu skandal Scorpene

KUALA LUMPUR 12 Jun: Gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan semua akaunnya bagi menjawab dakwaan Ketua Umum KEADILAN itu mempunyai 20 akaun rahsia berjumlah RM3 bilion dilihat melucukan.
Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah menyifatkan Muhyiddin benar-benar sudah kekeringan idea sehingga terpaksa mengungkit isu lama yang telah ditutup sebagai modal politik.
Katanya, jika benar Anwar mempunyai akaun itu tentulah Dr Mahathir Mohamad tidak perlu bersusah payah membicarakan musuh politiknya atas tuduhan salah guna kuasa dan liwat.
“Kes ini telah disiasat oleh BPR (Badan Pencegah Rasuah kini Suruhan jaya Pencegahan Rasuah Malaysia) 13 tahun lalu dan terbukti ia tidak berlaku. Kalau benar akaun itu wujud, sangat mudah Dr Mahathir menjatuhkan Anwar pada 1998. Tetapi Anwar tidak didakwa atas tuduhan ini sebaliknya tuduhan lain yang sukar dibuktikan,” ujarnya.
Tegas Sivarasa, gesaan itu dibuat semata-mata untuk mengalihkan isu skandal Scorpene melibatkan Datuk Seri Najib Razak, Razak Baginda serta beberapa menteri kanan BN yang sedang dibicarakan di Perancis.
“Untuk meluluskan pembelian kapal selam melibatkan dana berbilion ringgit, ia perlu diputuskan oleh Perdana Menteri. Siapakah Perdana Menteri ketika kontrak ditandatangani pada 2002?
“Sudah tentu Dr Mahathir, Najib dan beberapa orang kanan kerajaan BN ketika itu sedang kepanasan sekarang. Jadi  mereka gunakan isu-isu recycle untuk mengalih tumpuan rakyat,” bidasnya.