Selasa, 1 November 2011

Bila kena Batang Hidung sendiri..



Jika kita meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2010, kita akan melihat terlalu banyak ketirisan yang berlaku dalam Jabatan-Jabatan Kerajaan yang ditadbir oleh Kerajaan UMNO/BN.


Malah beberapa peralatan yang dibeli oleh Jabatan Kerajaan itu layak untuk disenaraikan dalam Guiness Book of Record kerana terlalu mahal dan paling mahal di dunia.

Nak diletakkan 100% kesalahan itu ke bahu kakitangan bawahan bukanlah satu tindakan yang wajar.

Ini kerana mereka mungkin hanya menjalankan tugas dan mereka juga mungkin terlalu menurut pertintah dalam pada itu mereka juga mungkin mencontohi apa yang pemimpin atasan mereka lakukan..

Kan orang tua-tua ada berkata… busuknya seekor ikan itu bermula dari kepala.. kepalanya siapa?? Takkan Anwar Ibrahim kot….

Bacalah.. Puad Zarkashi mempertikaikan Laporan Ketua Audit Negara kerana mendedahkan terlalu banyak pembaziran yang dilakukan oleh Kerajaan UMNO/BN..


*******************

Elak tanggapan negatif

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Laporan Ketua Audit Negara 2010 sepatutnya lebih bersifat komprehensif dengan menjelaskan secara terperinci bagaimana sesuatu perkara itu diklasifikasikan sebagai perbelanjaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia penting bagi mengelakkan tanggapan negatif rakyat bahawa berlaku penyelewengan dan salah laku oleh pegawai atau kakitangan kementerian serta agensi dalam perbelanjaan yang dilaporkan.

"Sebagai contoh, Kementerian Pelajaran dikatakan berbelanja melebihi peruntukan sebenar bagi perbelanjaan pengurusan 2010.

"Hakikatnya, kementerian telah mendapat peruntukan tambahan kerana peruntukan yang diterima untuk perbelanjaan tersebut termasuk elaun perjalanan guru tidak mencukupi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2010 bahawa sembilan kementerian atau jabatan berbelanja RM3.73 bilion melebihi peruntukan keseluruhan yang diluluskan.

Sembilan kementerian itu adalah Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Mohd. Puad turut hairan bagaimana laporan berkenaan projek bekalan air bersih di luar bandar menerusi program Perigi Tiub (Tube Well) hanya menyentuh dua syarikat iaitu Rossington Consolidated Sdn. Bhd. (RCSB) dan Duta Sierra Development Sdn. Bhd.

Katanya, sebuah lagi syarikat iaitu Azair Sdn. Bhd. juga mempunyai kelemahan dan patut ditegur dalam melaksanakan program tersebut di Sabah dan Sarawak.

Berhubung laporan bahawa hanya dua daripada 300 makmal komputer sekolah rendah yang dirancang dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Sabah berjaya disiapkan, beliau berpendapat Ketua Audit Negara sepatutnya membuat pendedahan yang lebih telus.

Katanya, ini termasuk mendedahkan bahawa masalah yang berbangkit adalah berpunca daripada pihak kontraktor yang tidak bertanggungjawab dan ingin mengaut keuntungan semata-mata.

"Bagaimanapun, setiap laporan Ketua Audit Negara perlu diambil secara positif walaupun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mendesak pihak berkuasa terutama SPRM mengambil tindakan segera menyiasat kes penyelewengan dalam perbelanjaan di jabatan kerajaan seperti yang didedahkan dalam laporan audit itu.

Tsu Koon berkata, langkah itu akan membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadi lebih telus.

"Siasatan perlu dilakukan segera terutama bagi kes berkaitan pembelian barang yang dibayar dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran. Perkara ini sudah menjadi buah mulut orang ramai," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali Parti Gerakan di sini hari ini.

Tsu Koon memberi contoh, pendedahan laporan audit mengenai harga tiga barang yang dibeli oleh Jabatan Taman Laut Malaysia berjumlah RM56,350 amat mengejutkan ramai pihak sedangkan harga pasarannya tidak semahal itu.

Najib disambut dengan demontrasi di Perth Australia

Kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Perth Australia disambut dengan demontstrasi anti beliau oleh rakyat Malaysia di negara itu.

Najib bersama isterinya, Datin Seri Rosmah berlepas ke Perth untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), pada Rabu lalu.

Dengan berpakaian ‘T’ Shirt kuning- warna tema bagi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), mereka menyambut Najib dan rombongannya yang menghadiri sidang tersebut.

Lebih 300 ratus rakyat Malaysia bersama-sama rakan Australia mereka berhimpun di luar konsulat Malaysia di Perth, sebagai tanda solidariti bersama tuntutan Bersih 2.0.

Himpunan itu diadakan sebagai memperingati rakan senegara mereka di Malaysia yang dilayan dengan buruk sewaktu keluar ke jalan raya pada 9 Julai lalu.

Mereka mengetahui layanan buruk polis terhadap peserta himpunan Bersih apabila stesen televisyen Australia SBS menyiarkan rakaman keganasan polis memukul peserta himpunan dan menggunakan air kimia serta gas pemedih mata.

Selain SBS, rakaman keganasan polis sewaktu himpunan itu turut disiarkan CNN, Al Jazeera, dan BBC.

Himpunan rakyat Malaysia di luar konsulat Malaysia itu dilihat sesetengah pihak sebagai satu lagi tamparan buat Najib di peringkat antarabangsa.

Najib sebelum ini sudah mencuri tumpuan antarabangsa dengan skandal pembelian kapal selam Scorpene di Perancis.

Skandal kapal selam itu kini disiasat di mahkamah Perancis dan Najib dijangka akan disepina memberi keterangan kerana pembelian kapal selam berlaku sewaktu beliau menjadi Menteri Pertahanan.

Anak perempuan Najib belanja RM180,000 di Australia?

Akhbar Australia melaporkan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membelanjakan kira-kira RM180,000 atau AU$60000 untuk barangan jenama di David Jones- sebuah gedung terkemuka di negara itu.

Najib dan isterinya minggu lalu berlepas ke Perth mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Rombongan berkenaan turut disertai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M.Kayveas.

Menurut laporan akhbar West Australian, kesempatan menghadiri persidangan Komanwel itu memberi peluang kepada rombongan berkenaan berbelanja.

“Beberapa peniaga di bandar, memperoleh untung besar, apabila seorang wanita pertama diketahui membeli $150,000 untuk mutiara di West Australia, sementara anak perempuan perdana menteri Najib Razak dipercayai membelanjakan & $60,000 di David Jones,” petik akhbar itu.

Richard Muirheand, State Director bagi CHOGM 2011 berkata, masa berbelanja dan aktiviti lapang telah diatur untuk delegasi di luar jadual CHOGM.

Pencuri pilih anjing penjaga

Laporan Ketua Audit Negara masih diperdebatkan. Pendedahan terhadap salahlaku kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tertentu terus mendapat perhatian ramai. Seminggu dua ini rakyat Malaysia asyik bermain dengan angka dan fakta yang dikutip daripada laporan itu.

Khabarnya akhbar-akhbar berbahasa Cina menampilkan isu ini secara besar-besaran selama beberapa hari berturut-turut. Sekali gus ia menenggelamkan "gegak-gempita" belanjawan 'one-off' Najib Razak. Sememangnya, sejak dahulu, laporan media Cina lebih bebas dan objektif. Beruntunglah masyarakat Tionghua berbanding pembaca Melayu, yang sentiasa diperbodohkan akhbar-akhbar utama berbahasa kebangsan!

Isu kelewatan pembentangan laporan audit, yang tertangguh dua minggu daripada tarikh Bajet 2012, masih belum terjawab. Mungkin kerajaan bimbang laporan audit tersebut akan mencuri tumpuan berbanding belanjawan yang diakui Muhyiddin Yassin sebagai bajet pilihan raya.

Selain itu, amalan mengemukakan laporan kepada jemaah menteri sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong turut ditimbulkan. Justeru, ramai mula mempersoalkan tahap kebebasan Jabatan Audit Negara -- yang terletak di puncak piramid akauntabiliti kewangan -- daripada pengaruh parti pemerintah.

Menurut buku panduan Asas-Asas Panduan Integriti, terbitan Institut Integriti Malaysia dan UNDP, jabatan audit yang tidak bebas seolah-olah seperti menyuruh si perompak melantik pengawal keselamatan.

Dalam buku Strategi Membanteras Korupsi, terbitan Transparency International Indonesia, ditekankan jika jabatan audit dapat dipengaruhi parti pemerintah, ia ibarat meminta pencuri memilih anjing penjaga. Sedangkan yang diperlukan adalah audit yang kuat dan efektif, yang merupakan teman yang sangat berharga bagi pemerintah dan rakyat untuk mengurangi pemborosan dan penyelewengan besar-besaran.

"Negara memerlukan anjing penjaga kewangan yang pandai menyalak dan menggigit," buku itu memetik artikel dalam Economic and Political Weekly, India.

Ia turut menegaskan, agar benar-benar efektif, Jabatan Audit Negara harus bebas mengelola anggaran perbelanjaannya sendiri dan menerima serta menugaskan tenaga-tenaga staf yang profesional. Biasanya ada tenaga profesional dan berpengalaman yang dapat ditarik daripada sektor swasta, apa lagi jika gaji yang ditawarkan menarik.

Malah, sekiranya jabatan audit dikira masih bebas dan berwibawa sekalipun, apakah yang rakyat boleh harapkan daripada siri pendedahan tentang kes-kes salahlaku terutama yang berpunca daripada perolehan perolehan jabatan-jabatan kerajaan dengan harga yang jauh lebih tinggi itu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar sendiri pernah membangkitkan kelemahan ketara ini pada 9 Oktober 2005: "Rakyat Malaysia diacah-acah dengan laporan Ketua Audit Negara tentang salah urus dan kedudukan kewangan dalam sektor awam ... Dalam sesetengah kes, Ketua Audit Negara mengesyorkan supaya siasatan lebih lengkap dijalankan. Persoalannya, siapa yang akan menyiasat ... dan bertanggungjawab kepada siapa?

"... wujud sinisme bahawa tindakan berani Ketua Audit Negara itu tidak akan mengubah apa-apa. Perkara ini kemudiannya akan dilupakan dan pesalah akan mengulangi perbuatan mereka. Bukankah masalah ini pernah berlaku sebelum ini? Adakah sesiapa yang telah dikenal pasti dan dihukum atas kepincangan terang-terangan ini, pada tahun lepas, atau pada tahun-tahun sebelumnya ...?"

Mengenai respons Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuka membuka fail bagi menyiasat 36 kes salahlaku seperti didedahkan laporan audit baru-baru ini, saya bersetuju dengan rumusan Lau Weng San, Setiausaha Organisasi DAP Selangor.

"Bagaimana rakyat boleh mengharapkan SPRM untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah apabila kes-kes yang telah dilaporkan sejak lima tahun yang lalu pun belum lagi diambil tindakan oleh SPRM?" tegas Adun Kampung Tunku itu.

Blogger terkenal, A Kadir Jasin turut menyentuh laporan audit: "Kelemahan pengurusan kewangan awam, biar sekecil mana pun, tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi dalam suasana kewangan negara yang semakin terhad dan mencabar." Beliau mengaitkan hal itu dengan kegagalan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) Perdana Menteri.

"Apatah lagi, Perdana Menteri sendiri, sebagai Menteri Kewangan, adalah ketua turus kewangan negara. Jadi, kalau ada autoriti mutakhir yang perlu dipersalahkan kerana kelemahan pengurusan kewangan awam, hendak tidak hendak, orang itu adalah Perdana Menteri sendiri kerana beliau adalah Menteri Kewangan," tulisan Kadir dipetik.

Tambahnya, "elok disebutkan yang dua daripada agensi yang akan disiasat Jawatankuasa Akaun Awam Dewan Rakyat (PAC) -- ekoran Laporan Ketua Audit Negara -- terletak di bawah Kementerian Kewangan iaitu Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri."

Dalam pada itu, saya segera teringat perbualan bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, pagi Jumaat lalu, di Petaling Jaya. Bukan kali pertama beliau melahirkan kerisauannya, malah ia diluahkan dalam ketiga-tiga pertemuan mutakhir saya dengannya, dalam tempoh sebulan ini.

Tema bicaranya adalah soal integriti, yang baginya, seperti dipandang enteng, termasuk oleh aktivis dan pimpinan Pakatan Rakyat, termasuk parti Islam PAS. "Saya bimbang jika sesama rakan Pakatan pun, dalam aspek integriti sewaktu mentadbir kerajaan negeri, kita tertinggal dek DAP," katanya.

"Masyarakat Barat lebih serius menjunjung prinsip mulia itu. Integriti, akuantabiliti, perangi rasuah dan budaya berhemat membelanjakan wang rakyat, cukup dijaga mereka. Malang sekali, kita jauh terkebelakang. Paling sedih apabila kita tidak memanfaatkan kesempatan sepenuhnya sewaktu berkuasa untuk menunjukkan teladan unggul itu," ujarnya, sambil meminta saya menekankan hal ini dalam tulisan-tulisan saya.

Mat Sabu mahu teladan unggul peribadi mulia, Nabi Muhammad s.a.w., ketika berkuasa di Madinah, yang berjaya mengislamkan lebih suku juta umat, berbanding tidak sampai 500 orang di Makkah, dijejaki rahsianya. Bagi beliau, kejayaan itu adalah kerana tarikan contoh gemilang Nabi yang ditunjukkan baginda semasa memerintah.

"Soalnya, apa yang kita lakukan sewaktu diberi amanah ketika berkuasa? Apakah ia makin membuatkan masyarakat bukan Islam tertarik dengan agama suci ini, atau bagaimana" soalnya.

II. Pengundi Melayu

Era Umno-BN makin menghampiri nokhtah. Sekurang-kurangnya itulah tanggapan aktivis Pakatan Rakyat. Lambat atau cepat BN akan beralih daripada takhta kuasa. Namun, bagi saya, persoalannya, apakah ia dapat ditumbangkan dalam PRU13 ini, atau kita terpaksa menanti 5 tahun lagi?

Faktor masa cukup penting dan begitu kritikal. Sekali peluang terlepas, situasi boleh berubah. Kesempatan yang ada
mungkin tidak datang lagi.

Dalam kolum sebelum ini saya menyentuh isu media baru yang memecahkan monopoli maklumat. Soalnya (banyak sangat pertanyaan), apakah dengan penguasaan maklumat maka secara automatik ia turut merubah persepsi rakyat, khususnya pengundi Melayu, terhadap BN?

Dikatakan talian hayat Umno kini bergantung kepada peneroka Felda, kampung tradisi, undi pos dan masyarakat Bumiputera Sabah/Sarawak. Bahasa mudahnya, terikat kuat dengan sentimen orang Melayu-Islam.

Ya, bagaimana penerimaan pengundi Melayu di wilayah berkenaan kepada PAS? Maaf, saya masih menaruh curiga sebelum berani meramalkan perubahan besar bakal berlaku.

III. 10 hari pertama Zulhijjah

Sewaktu 10 hari terakhir Ramadan lalu, saya terkesan dengan pesanan seorang ustaz, bahawa selain mengejar keberkatan di bulan puasa, jangan pula lupa kesempatan terbaik untuk mengabdikan diri kepada Allah pada bulan Zulhijjah.

Selepas mendengar siaran radio Ikim, pagi 1 Zulhijjah lalu, isteri saya turut mengingatkan hal sama, merujuk tazkirah penceramah jemputan. "Jangan hanya tumpu kepada kerja Harakah sampai ke subuh, tapi tak sempat solat malam," ingatnya sentiasa.

Untuk berkongsi ilmu dengan pembaca, saya cuba membelek buku-buku agama, tetapi tidak terjumpa yang dicari. Alhamdulillah, sebaik melayari laman web zaharuddin.net, saya terpandang bahan yang cukup bermakna:

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan Nabi s.a.w: "Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu. " Allah SWT berfirman: "Demi fajar dan hari-hari yang sepuluh" (maksud Al-Fajr: 1).

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. Ia juga disebut Nabi: Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hamba-Nya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini."

Dr Zaharuddin Abd Rahman seterusnya menghuraikan amalan-amalan utama yang digalakkan sepanjang 10 awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya:

1. Zikir: Iaitu memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar. Ia bersumber hadis riwayat At-Tabrani yang diakui sohih Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya: "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu." (maksud Al-Hajj: 28)

Ibn Abbas r.a. mentafsirkan erti "hari-hari tertentu" adalah 10 hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama.

2. Berpuasa: Amat digalakkan berpuasa pada 1-9 Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. Nabi bersabda: "Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah." (Riwayat Muslim)

Nabi s.a.w. juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain.


4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

5. Bertakbir: Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Ali k.w. menunjukkan bahawa permulaan takbir iaitu bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga tashriq.

6. Menyembelih korban.

Isnin, 31 Oktober 2011

Aziz Bari: Mahathir punca kelewatan LKAN

Kelewatan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara adalah kerana kelemahan institusi yang disebabkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi perdana menteri, kata pakar perlembagaan negara Profesor Abdul Aziz Bari.

Pakar undang-undang UIA itu berkata Mahathir telah meminda perlembagaan persekutuan pada tahun 1993 dengan melucutkan raja-raja daripada kekebalan mereka dan menyediakan peruntukan bagi kerajaan untuk "memberi arahan" kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ini dilakukan dengan cara memasukkan Artikel 40 (1A) dalam perlembagaan yang menyatakan bahawa Seri Paduka perlu bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.

"Pada dasarnya ini merupakan legasi yang ditinggalkan oleh pentadbiran Mahathir, yang mahu monarki disenyapkan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Menurut beliau, pada masa yang sama, negara mempunyai seorang eksekutif yang tidak memperdulikan kuasa badan yang lain dan monarki yang tidak pasti peranannya.

Kenyataan Abdul Aziz itu dibuat bagi mengulas kelewatan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara yang tertangguh dua minggu. Laporan itu biasanya dibentangkan pada hari yang sama dengan pembentangan Bajet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Bajet 2012 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu.

Kelewatan itu dikatakan kerana jemaah menteri mahu meneliti laporan berkenaan sebelum ia dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana kebimbangan bahawa laporan audit tersebut akan mencuri tumpuan berbanding Bajet 2012.

Menurut Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, mengemukakan laporan kepada jemaah kabinet sebelum diperkenan oleh Seri Paduka adalah amalan yang diguna-pakai sejak 1982, iaitu sejurus selepas Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Kata beliau, ia bertujuan untuk membolehkan kabinet membiasakan diri dengan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan itu dan menjelaskannya di Dewan Rakyat.