Selasa, 13 Julai 2010

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan kenyataan-kenyataan mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai alat kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) adalah satu tuduhan dangkal dan biadab Umno-BN.

Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tuduhan itu dibuat untuk “membunuh karakter” Anwar daripada terus membangkitkan isu-isu berkaitan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Tuduhan alat CIA adalah berat dan biadab dan ia dilakukan selepas beberapa isu dibangkitkan Anwar yang mahu mendapat perhatian rakyat dan ia gagal dijawab secara tepat oleh Umno-BN.

“Ini termasuklah isu APCO Worldwide yang kini disambung kontrak, penglibatan Asiasoft dalam maklumat perisikan negara, dan yang terkini ialah isu mengenai potensi Felda untuk bankrap berikutan penurunan prestasi kewangan yang membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Anwar akan dikenakan tindakan sewajarnya jika didapati mengancam keselamatan negara sekiranya mempunyai kaitan dengan CIA.

Hishammuddin bagaimanapun berkata pihaknya belum mempunyai maklumat dan perlu bergantung kepada bukti untuk mengambil sesuatu tindakan.

“Tak tahulah sama ada (alat) CIA atau tidak, tetapi kita tengok banyak rahsia dia sudah terbongkar,” katanya.

Seorang penulis blog terkenal di New York, Elaine Meinel Supkis mendakwa ketua pembangkang itu merupakan alat ciptaan CIA bagi menjaga kepentingan dan perancangan sulit Amerika Syarikat di Malaysia.

Shamsul Iskandar menjelaskan, strategi untuk “membunuh karakter” Anwar mudah dibaca iaitu dengan mewujudkan persepsi negatif terhadap beliau di kalangan masyarakat Melayu.

“Melihat kepada potensi pilihan raya umum yang akan diadakan pada tahun ini, taktik busuk ini dicatur walaupun longgar.

“Selain itu, tuduhan-tuduhan negatif terhadap Anwar jelas tidak berasaskan bukti yang kukuh termasuk konspirasi kes liwat yang semakin menemui jalan buntu.”

Beliau berkata dakwaan fitnah itu dibuat kerana kegagalan Umno untuk meyakinkan rakyat dalam beberapa isu yang membangkitkan kemarahan rakyat.

“Imej Anwar dibunuh sehabisnya, pimpinan Pakatan Rakyat dilaga-lagakan dengan isu-isu lapuk, akhbar Pakatan Rakyat seperti Suara Keadilan, Harakah dan Roket kini berhadapan dengan masalah pembaharuan permit.

“Mungkin ini adalah sesuatu yang membanggakan hasil daripada nasihat APCO Worldwide untuk memburukkan imej Anwar,” katanya.

Tiada ulasan: