Rabu, 11 Januari 2012

Melayu juga yang tertipu.

Akhirnya pada 9 Januari 2012, perbicaraan terhadap Anwar yang dituduh meliwat Saiful Bahari sampai ke kemuncaknya. DS Anwar Ibrahim didapati tidak bersalah.

Pelik tetapi benar, kerana perbicaraan yang sepatutnya ditakrifkan sebagai ‘No Case’ pada tahap awal lagi telah begitu berpanjangan sehingga membazirkan berjuta juta wang rakyat dan Negara. Yang lebih menyedihkan kita, kes ini telah memporak-perandakan budaya Melayu dan Negara kerana melalui kes ini juga anak-anak kecil mendapat tahu apa itu liwat dan sodomi dan apa itu pelincir.

Kalau direnungkan lama-lama sikit, kita akan terimbau kes skandal Anwar dikatakan telah meliwat seorang pelacur dan video itu telah diedarkan oleh tiga orang bergelar datuk. Yang diketuai oleh Datuk Seri yang pernah dikaitkan dengan kes merogol anak gadis bawah umur. Implikasi kes rogol itu telah memenjarakan Lim Guan Eng (sekarang ini Ketua Menteri Pulau Pinang) kerana mempertahankan hak seorang nenek yang cuba mendapatkan keadilan untuk cucunya yang dirogol itu.

Masyarakat dunia global sudah lama mencemuh kes perbicaraan Anwar Ibrahim kerana mereka sudah lama faham bahawa itu adalah manipulasi politik yang tidak mahukan Anwar naik menjadi seorang Perdana Menteri.

Apapun, keputusan mahkamah yang membebaskan Anwar Ibrahim adalah satu tamparan hebat kepada beberapa puak masyarakat Melayu dan parti BN. Selama ini Anwar Ibrahim dan kes ‘rekaan’ meliwat Saiful Bahari sudah menjadi modal politik yang amat berbisa kepada beberapa pemimpin UMNO dan BN. Begitu juga kepada berpuluh-puluh NGO (Badan Bukan Kerajaan) yang pro UMNO; kepada apa yang disebut sebagai PEKIDA dan PERKASA.

Yang paling tersenak dengan keputusan mahkamah itu ialah kumpulan penjahanam PKR yang dianggotai oleh Ezam Mohd Nor, Dr. Chandra Muzaffar, dan yang paling aktif terkini ialah Zulkifli (Tempoyak) Nordin. Mereka ini telah dibuai mimpi dengan kemewahan yang dinaungi oleh Najib dan UMNO untuk terus bernafas lega dengan memburuk-burukkan Anwar Ibrahim.

Paling menjijikkan di kalangan mereka ini ialah Zul Tempoyak yang baru-baru ini mengugut anak-anak muda agar tidak berdemonstrasi dengan kumpulan 901 kerana dia dan Ibrahim Ali mahu bertindak menyekat dan menentang anak-anak muda itu.

Cuma Zul terlupa menyatakan bagaimana dia mendapat gelaran Datuk selepas keluar daripada PKR dan hidup mewah laksana seorang jutawan, sedangkan rakyat Kulim Bandar Baru yang diwakilinya hidup seperti lama juga. Yang penting sekali tanyalah Zul apakah dia pernah menyerahkan penyata akaun pilihan raya di Kuala Langat dahulu?

Walau bagaimana pun, keputusan kes Anwar dan Saiful akan membuka mata rakyat marhaen kepada banyak perkara:

1) Sistem kepolisan (Policing system) di Malaysia di mana pihak PDRM berdolak-dalik untuk menyekat himpunan aman di hadapan mahkamah yang membicarakan kes Anwar Ibrahim - daripada tidak boleh dan dianggap haram hingga menjadi boleh. Implikasinya beratus kumpulan NGO dan cawangan UMNO membuat laporan polis membantah demonstrasi itu. Bayangkan bebanan tak berbaloi anggota polis yang menerima laporan bantahan itu .

2) Keadaan kucar-kacir dalam kampus pusat pengajian tinggi kerana perbalahan disebabkan ada pihak yang mahu berdemonstrasi dan ada pihak yang tidak mahu ikut serta. Yang mahu berdemonstrasi adalah golongan yang tahu bahawa masyarakat mahasiswa adalah pelapis pentadibir Negara dan bukan budak-budak sekolah menengah lagi.

3) Percanggahan pendapat di kalangan ibu bapa dan golongan dewasa seiras pendapat golongan mahasiswa. Hinggakan masyarakat Melayu itu sendiri menjadi kucar-kacir dan pening kepala, keliru siapa yang patut mereka sokong.

4. Keputusan mahkamah ini juga memperkuatkan wibawa TG Nik Aziz dan sebahagian besar anggota PAS dan juga parti komponen PR. Kegemilangan PAS baru sahaja digerhanakan oleh kisah pemecatan Datuk Dr. Hassan Ali kerana melanggar disiplin parti.

Semalam, Hassan Ali telah membuat pengumuman akhbar dan menyalahkan penyingkirannya itu adalah didalangi oleh Anwar Ibrahim menyebut dua kali nama Anwar Ibrahim sebagai dalang utama. Dia juga mengaku tidak pernah ikut serta mana-mana perjumpaan yang melibatkan perjuangan Keadilan untuk membela Anwar Ibrahim Malam semalam, Hassan Ali telah membuat pengisytiharan bahawa dia percaya dengan kes Anwar meliwat Saiful.

Memang jelas Hassan Ali menggunakan perkataan ‘membela Islam’ banyak kali setiap kali berdepan dengan kamera TV. Cuma dia kurang arif tentang apa yang disebut sebagai disiplin parti. Sebagai bekas Timbalan Ketua Pengarah Biro Tata Negara, nampaknya Hassan Ali terlalu dibuai mimpi dengan segala janji muluk UMNO dan BN.

Yang Paling Nyata

Yang paling nyata, kes mahkamah Anwar Ibrahim-Saiful sudah menjadi satu senjata berkuasa tinggi yang cuba digunakan oleh BN dan UMNO untuk mengumpan para pengundi memihak kepada mereka.

Ini diperkuatkan oleh pelbagai subsidi dan imbuhan yang dihamburkan oleh Najib Tun Razak atas nama meringankan beban hidup rakyat marhaen. Soalnya sekarang, apakah itu ubat paling mujarab untuk meringankan beban hidup rakyat? Bayangkan pada bulan November 2011 satu tin susu pekat yang paling murah di kedai ‘supermarket’ adalah berharga RM1.90 sen. Tetapi sekarang harga susu pekat yang paling murah ialah RM2.49 sen.

Najib Mungkin Sudah Lama Tahu

Saya percaya Najib Tun Razak mungkin sudah lama tahu keputusan mahkamah yang mahu diisytiharkan dalam kes liwat Anwar-Saiful. Kalau kita renungkan semula keputusan mahkamah selama ini, tentu ada fakta lain terutamanya fakta luaran yang menyebabkan Najib akur dengan keputusan hakim. Apakah fakta itu. Adakah ia membabitkan perkara lain yang lebih besar?

Contoh terbaik dalam hal ini ialah beberapa kes dalam fail ICJ (International Court of Justice), yakni Mahkamah Antarabangsa Dunia yang berpusat di The Hague, Netherlands. Khabarnya mahkamah ini mahu membicarakan beberapa pemimpin tertinggi BN melibatkan penyelewengan wang dan emas bungkal yang dilarikan daripada Malaysia satu ketika dahulu.

Saya juga difahamkan bahawa pembebasan Anwar Ibrahim daripada penjara dahulu adalah atas desakan Bank Dunia yang mempunyai banyak bukti bagaimana harta rakyat marhaen di Negara ini telah dilarikan keluar Negara oleh satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri, dengan persetujuan seorang Ketua Hakim Negara, yang sudah lama bersara.

Mengikut sumber yang amat dipercayai ada seramai tiga belas orang tokoh dalam BN yang mahu didakwa oleh ICJ kerana penyelewengan wang marhaen Malaysia. Kesemua mereka masih hidup. Anwar Ibrahim amat mengenali mereka semua. Inilah punca sebenar kenapa Anwar Ibrahim mesti disumbat dalam penjara.

Saya rasa sudah sampai masanya Anwar Ibrahim berkata benar dan menceritakan kisah bagaimana sepuluh kontena emas daripada perbendaharaan cuba diseludup untuk dilarikan keluar Negara. Mujur hanya enam kontena dapat lolos dan enam kontena lagi dapat disekat dan dipulangkan kepada Bank Negara. Anwar harus bersuara lantang dalam hal ini kerana masih ada beberapa pegawai tinggi Bank Negara yang hidup walaupun sudah lama bersara daripada jawatan mereka, yang tahu akan cerita ini.

Anwar Ibrahim juga harus bersuara dengan kisah bagaimana seorang isteri Perdana Menteri dapat mengumpulkan lima billion dollar di luar Negara sehingga dapat dikesan oleh Bank Dunia dan dipulangkan semula ke Negara ini.

Mungkin selepas kes liwat ini Anwar Ibrahim harus bersuara lantang menceritakan kisah bagaimana seorang Menteri Kewangan boleh menyimpan wang baru bernilai RM320 juta di rumahnya (disimpan dalam sebuah kolam takungan ‘septic tank’ khas) tetapi dapat dikesan oleh penyiasat Bank Dunia. Wang baru itu tidak didaftarkan tetapi dicetak dengan tujuan untuk menukarkannya dengan wang yang sudah didaftarkan. Mujur si malaun itu tidak sempat menyambung tugasnya sebagai Menteri Kewangan Negara.

Kesian Najib

Keputusan Mahkamah menyulitkan lagi tugas Najib sebagai Perdana Menteri yang mahu menang lagi dalam PRU-13 ini. Kemenangan itu adalah amt penting kepada banyak pihak. Terutama sekali ialah kepada Tun Mahathir Mohamad yang selama ini menjadi dalang pemerintahan Malaysia selepas dia bersara. Dia tahu selagi UMNO memerintah kebobrokan pemerintahannya tidak akan terdedah.

Selagi UMNO dan BN berkuasa maklumat bebas akan tetap terkongkong. Rakyat tidak akan tahu banyak perkara yang sepatutnya mereka tahu.

Kerana maklumat yang terhad inilah makanya orang Melayu akan terus tertipu tanpa menyedari bahawa ekonomi Melayu adalah yang tercorot di antara Melayu, Cina dan India. Orang Melayu akan terus dibuai mimpi bahawa ketuanan Melayu itulah satu-satunya senjata yang akan menyelamatkan orang Melayu akhirnya.

Manusia boleh merancang, Allah juga perancang yang terunggul, Selama kes liwat Anwar berlegar di mahkamah, orang Melayu telah menjadi berpuak-puak atas nama ideologi dan martabat.

Pada 1998, seorang blogger veteran yang menggunakan nama pena ‘Marhaintua’ telah menulis: “Saat kepupusan UMNO dan BN akan menjadi ketara apabila Melayu luar bandar terutamanya di rancangan tanah keluar berdemonstrasi dan tindakan itu disokong pula secara lantang oleh pelajar-pelajar universiti.”

Inilah klimaks kepada satu kesedaran betapa orang Melayu sudah lama tertipu.

Sebut kata UMNO.. : Penyelewengan boleh ditutup dengan ‘bayar balik’

http://uploadingit.com/file/vi39hc9xvrcpukk5/Dato%20Seri%20Jamil%20Khir%20Baharom.JPGMENJADI pemimpin (baca: Menteri), seseorang itu bukan sahaja perlu bersih tetapi perlu dilihat bersih. Dalam konteks ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato’ Seri Jamil Khir Baharom yang memilih untuk menerima perlantikan menjadi anggota kabinet pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, sepatutnya tahu kehidupan “baru” yang dipilihnya ini.

Tiada siapa tahu apakah Jamil Khir ini menjadi ahli Umno atau tidak, tetapi apabila dia dilantik menjadi Menteri Di JPM oleh Najib, bekas pegawai tentera ini sepatutnya sempat melihat sejarah kerusi yang disandangnya itu adalah kerusi panas yang akhirnya menjunamkan seseorang ke dalam longkang!

Pernah berlaku, dakwaan mengaitkan menteri di kedudukan Jamil Khir ini didakwa terlibat dengan penyelewengan dalam pembangunan tanah milik Lembaga Tabung Haji.

Hingga kini, Tabung Haji dikatakan terpaksa membayar sewa bangunan pejabatnya sedangkan tanah yang didirikan bangunan itu adalah milik Tabung Haji.

Mungkin kisah ini sudah dilupakan tetapi beberapa orang menteri yang sejawatan dengan Jamil Khir semuanya pergi seperti kata pepatah “mati tak berkubur”. Tiada siapa mengenang pemergian mereka dari kerusi menteri, lantas daki yang mereka tinggalkan, kini nampaknya melekat di tubuh badan Jamil Khir.

Laporan Audit yang mengatakan sejumlah RM63,650 digunakan untuk mendahulukan bayaran kos guaman adalah wang zakat, cukup menyedihkan. Kos guaman zakat bukan termasuk dalam asnaf yang dibenarkan untuk mendapat hak dari wang zakat.

Jamil Khir dan mereka yang sibuk mempertahankan isu ini, usah berlagak pandai.

Penggunaan wang ini adalah salah. Bila salah, ia tetap salah walaupun kini ia sudah dibayar semula selepas menerima geran kerajaan.

Amatlah malang jika Jamil Khir yang sering muncul di kaca tv sebelum menjadi menteri kerana menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam tidak dapat membezakan penyalahgunaan wang zakat dengan isu sudah diganti balik.

Sejarah Umno membuktikan, mereka yang duduk di kerusi menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama ini digelar sebagai “menteri nikah kahwin”.

Dalam filem Musang Berjanggut lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, menteri yang terkurung dalam tong dan digelar musang berjanggut ialah Menteri Nikah Kahwin.

Buat pertama kali dalam sejarah Umno, seorang menteri yang dihantar balik ke negeri dan hanya dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri adalah dari kalangan Menteri Nikah Kahwin.

Ini menunjukkan pemimpin Umno yang juga Perdana Menteri tidak mempunyai cukup kepercayaan kepada seorang menteri yang dilantik menjaga hal ehwal agama Islam di negara ini.

Boleh dikatakan, mereka yang dilantik menjadi Menteri Di JPM, yang bertanggungjawab kepada hal ehwal agama Islam dilantik dari kalangan Senator.

Maknanya, tiada seorang pun di kalangan ketua Umno bahagian dalam Umno yang bertanding dalam pilihan raya, apabila menang, dilantik menjadi menteri menjaga hal ehwal agama kecuali seketika, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di tempat itu.

Apakah Umno tidak pernah mempunyai pemimpin yang berlatar belakangkan agama? Atau, Umno memang tidak mempunyai kepercayaan kepada mereka yang berkelulusan bidang agama menjadi ketua bahagian dan dipilih bertanding dalam pilihan raya di peringkat Parlimen?

Ada Menteri Di JPM ketika berkhutbah di Masjid Negara, diboo para jemaah kerana menggunakan mimbar untuk bercakap isu politik ketika itu. Semua ini berlaku ke atas seseorang yang memegang jawatan Menteri Di JPM yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam.

Hari ini, timbul cerita Jamil Khir buat rumah besar dan sudah dinafikannya. Timbul juga cerita duit zakat digunakan untuk mencetak buku-buku untuk tujuan mempertahankan satu-satu pihak yang lebih kepada propaganda Umno.

Apa yang menarik, Jamil Khir sebagai Menteri Di JPM tentunya bercita-cita bertanding dalam pilihan raya. Kebetulan dia adalah orang Kedah dan banyak juga program yang disusunnya di kawasan kelahirannya, Yan.

Timbalan Menteri Di JPM, yang bekerja di bawah Jamil Khir ialah Dato’ Dr Mashitah Ibrahim juga orang Kedah dan pernah menjadi Ahli Parlimen Baling.

Kedua-dua menteri dan timbalan menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam ini adalah Senator.

Jika mereka terpilih bertanding, dari segi sejarah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, belum tentu mereka akan dilantik semula ke jawatan yang sama walaupun mereka menang pilihan raya.

Ada seorang Menteri Di JPM apabila diberi peluang bertanding di Parlimen Parit Buntar, ditakdirkan menang, dia hanya dilantik menjadi Pengerusi MARA.

Ada seorang Menteri Di JPM, diberi peluang bertanding di Parlimen Besut, bila menang, dia hanya dilantik menjadi Penasihat Agama kepada Perdana Menteri.

Jadi, janganlah sesiapa terkejut andai Jamil Khir, jika diletak bertanding di Parlimen Yan, jika menang sekali pun tidak dilantik untuk mengekalkan kerusi yang disandangnya sebelum pilihan raya.

Dr Mashitah Ibrahim sendiri pernah menang bertanding di Parlimen Baling dan kemudian dilantik menjadi Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, kemudiannya digugurkan dari menjadi calon tetapi selepas pilihan raya dilantik menjadi Timbalan Menteri Di JPM melalui tiket Senator.

Atas catatan sejarah Umno ini, ramai yang melihat Jamil Khir seolah-olah mahu “memungah” apa yang ada sebelum dia mengulangi nasib seniorseniornya, terpilih bertanding tetapi belum tentu menang. Dan jika menang pun, belum tentu dapat semula kerusi yang sedang disandangnya sekarang.

Itulah sebabnya, sebagai bekas seorang pegawai tentera, Jamil Khir harus lebih berdisiplin. Jangan dia jadi seperti orang Umno yang lain, bila dapat kerusi menteri, menerima derma RM100,000 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi untuk melaksanakan program di kawasan sendiri.

Jamil Khir yang membenarkan dirinya dilihat sebagai salah seorang yang tidak bersih dan tidak berdisiplin walaupun datang dari latar belakang pasukan beruniform.

Jika Jamil Khir dilihat lebih teruk dari mereka yang berlatar belakangkan parti politik, akhirnya timbul persepsi bahawa menteri yang ada ini memang sering terlibat dengan penyelewengan.

Bolehkah sesiapa yang mencuri terlepas dari dakwaan dan hukuman jika dia memulangkan semula barang yang dicurinya? Bolehkah sesiapa yang telah menyalah gunakan wang pejabat, mengembalikannya semula apabila penyalagunaannya itu terdedah?

Bolehkah sesiapa yang terlibat dalam politik wang ketika pemilihan Umno, dimaafkan apabila mereka mengutip semula wang yang sudah diberikan kepada perwakilan sebagai tanda dia sudah insaf, dilepaskan dari tindakan disiplin dan hukuman?

Umno sedang memperlihatkan satu aksi yang cukup meloyakan dan penyelewengan nampaknya boleh ditutup dengan “bayar balik” setelah ditimbulkan dalam Laporan Audit Negara.