Sabtu, 23 April 2011

MB Kedah - saya dah kata, jangan ganggu pentadbiran saya tapi depa nak kacau juga.

Khabar buruk untuk perasuah di Kedah

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri sama sekali tidak akan berkrompromi perbuatan rasuah malah tidak akan melindungi mana-mana individu yang terbabit gejala itu."Saya akan terus perangi rasuah lebih-lebih lagi jika melibatkan pejabat saya. Datang berbincang boleh, tapi kalau nak rasuah saya halau keluar!

"Saya tidak akan lindungi sesiapa sahaja yang terbabit. Kita akan pastikan sifar rasuah dan ini melibatkan ajaran agama serta amanah rakyat kepada kita!"

Demikian amaran keras dan penegasan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Razak di hadapan lebih 300 kakitangan dan pegawai kerajaan negeri sewaktu perhimpunan bulanan di Wisma Darul Aman 18 Februari lalu.

Selain membanteras gejala itu, Ustaz Azizan dalam ucapannya menyatakan bahawa tugasnya selaku pemimpin pentadbiran negeri adalah untuk memastikan kesenangan para kakitangan untuk bertugas dan membela kebajikan rakyat di negeri ini.

Beliau menegaskan, menjadi tanggungjawab beliau sebagai ketua kerajaan berjumpa dengan kakitangan untuk memberi nasihat dan bimbingan penambahbaikan agar pentadbiran kerajaan menjadi lebih baik dan terurus.

"Allah memilih manusia sebagai khalifah yakni pemimpin dan kita semestinya memimpin dan mentadbir dunia dengan penuh amanah agar menjadi makmur dan sejahtara.

"Kita sebagai pengurus dan pentadbir kerajaan perlu menanamkan sikap bertanggungjawab dan memegang amanah sebagai pemimpin.

"Segala tindak tanduk kita perlu dikawal oleh iman dan akal yang waras. Allah menilai kerja kita mengikut niat masing-masing," tambahnya lagi.

Beliau berkata kejayaan kerajaan negeri yang bebas defisit, mendapat sumber pendapatan yang menguntungkan dan mempunyai simpanan rezab merupakan hasil daripada kerjasama semua pihak khususnya para pegawai serta kakitangan yang meneruskan dasar belanja berhemah dan berjimat cermat yang berterusan.

"Saya bersama kepimpinan Exco merasakan mentadbir kerajaan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab kepada rakyat. Untuk menjayakannya bukan hanya terletak di bahu kami tetapi di bahu semua kakitangan.

"Kelembapan pengurusan akan mendatangkan kerugian kepada kerajaan dan saya berharap semua kakitangan dapat menjalankan tugas dengan cekap, cepat dan pantas agar membuahkan hasil yang baik kepada kerajaan," katanya.

Berhubung laporan kewangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkaitan penggunaan wang syarikat GLC Seri Temin Development Corporation (M) Sdn. Bhd. (STDC) untuk kegunaan Umno, Ustaz Azizan tidak mempertikaikan keuntungan yang diperolehi sebaliknya mempersoalkan cara wang itu dibelanjakan.

"Yang kita persoalkan salah guna wang syarikat semata-mata untuk Umno. Jika digunakan untuk kebajikan rakyat tak mengapa tetapi untuk parti...mana boleh.

Antara laporan yang dibuat ialah wang syarikat tersebut digunakan pada 2007 untuk Mesyuarat Perwakilan Umno Padang Terap sejumlah RM10,000, lawatan Pemuda Umno ke Indonesia RM10,000 , lawatan Puteri Umno ke Indonesia RM5,000 dan sumbangan kepada Umno Kedah sejumlah RM200,000.

Selain itu duit syarikat itu turut digunakan untuk sumbangan petugas BN pilihanraya kecil Ijok RM5,000, sumbangan T-shirt dan wang saguhati konvoi Pergerakan Pemuda Umno Padang Terap RM4,000 dan dan membekal cenderamata untuk perwakilan Umno Bahagian Padang Terap sejumlah RM26,150.00.

Ditanya berkaitan ulasan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Dato' Ahmad Bashah bahawa tindakan itu merupakan perkara kecil sahaja, Ustaz Azizan memberitahu itu adalah untuk SPRM yang menentukan kesalahan itu.

"Ia umpama pencuri yang biasa mencuri...dia kata kecil saja. Biar SPRM yang tentukan perkara itu.

"Itulah saya dah kata, jangan ganggu pentadbiran ini tapi depa nak kacau juga...jadi kita dedahkanlah tembelang depa selama ini," katanya ketika ditemui wartawan sejurus seusai perhimpunan itu.

Tiada ulasan: