Khamis, 19 Mei 2011

Ratusan ribu guru diperbodoh jua akhirnya...

Versi dikemaskini: 'Berita gembira' yang kononnya dinanti-nantikan lebih 400 ribu warga pendidik sempena sambutan Hari Guru 2011 akhirnya muncul dengan berita basi mengenai peluang kenaikan pangkat yang hanya melibatkan beberapa ribu guru sahaja.

Kalau mengikut apa yang dinyatakan oleh Najib, jelas membuktikan satu pembohongan: "Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun,".

Untuk pengetahuan Najib, yang bertungkus-lumus di bilik darjah adalah merupakan guru-guru biasa, Gred DG44 ke bawah, yang tidak menyandang sebarang pangkat atau jawatan pentadbiran seperti Guru Kanan atau pun Guru Penolong Kanan. Tak berapa kerat sangat guru biasa yang bertungkus-lumus dalam kelas termasuk guru-guru yang mengajar di Tingkatan Enam, menyandang Gred DG48.

Kononnya kerajaan Najib bersimpati kepada 'guru-guru yang bertungkus-lumus di dalam bilik darjah, tetapi insentif yang diumumkan hanya akan memberi faedah kepada golongan profesional, pengurusan dan pentadbiran Gred DG48 ke atas, BUKAN kepada golongan ratusan ribu guru biasa yang bertungkus-lumus di dalam bilik darjah yang berada pada Gred DG44 ke bawah!

Mereka yang berpeluang menikmati kenaikan pangkat pula, bukanlah sepenuhnya dilaksanakan secara automatik tetapi perlu melalui beberapa karenah birokrasi malah ada yang berhadapan tindakan pilih kasih di pelbagai peringkat pengurusan. Janganlah seronok sangat....

Kononnya juga, guru-guru juga berpeluang 'menikmati' kenaikan gaji tahunan - sedangkan kita tahu bahawa semua kakitangan kerajaan tanpa mengira jabatan, 'menikmati' kenaikan gaji tahunan melainkan kes-kes tertentu dan terpencil hingga menyebabkan gaji mereka ditahan. Bagi golongan yang telah mencapai tahap gaji maksimum, apa yang dapat mereka nikmati melainkan kekal pada tahap gaji yang sama untuk beberapa tahun sebelum bersara.

Memetik kata-kata Dr. Halimah Ali yang mengulas isu ini:

"Adakah amalan guru yang 'bernasib baik' naik pangkat adalah di antara kaedah yang tersirat dan TIDAK TERSURAT selama ini ialah hanya guru-guru yang diperhambakan oleh UMNO/BN untuk tujuan politik mereka seperti menggunakan ruang sekolah untuk UMNO mengadakan mesyuarat agung atau program UMNO/BN."

Maka tak hairanlah jika sehari-dua selepas 'pengumuman yang menggumbirakan guru-guru' ini, telah muncul lelucon di kalangan para pendidik yang mengatakan, "Ada pengetua yang jatuh pengsan kerana terkejut sebab baharu sahaja mereka menerima kenaikan pangkat, kini peluang kenaikan pangkat datang sekali lagi!". Maklumlah, golongan ini baharu sahaja dinaikkan daripada Gred DG44 ke DG48, kini ditawarkan kenaikan ke gred yang lebih tinggi dalam tempoh waktu yang singkat. Yang penting, kesanggupan dan kesediaan golongan ini menjadi hamba kepada umno/BN seperti yang diulas oleh Dr. Halimah Ali.

Akhirnya, berita gembira yang dinanti-nanti, yang diumumkan sempena Hari Guru, hanyalah berita basi yang hanya dapat memanfaatkan sebilangan kecil warga pendidik yang 'bernasib baik'. Maaf ya, cikgu pun tertipu dengan 'berita gembira'. Pengumuman Perdana Menteri amat jauh daripada kesediaan kerajaan Pakatan yang menjanjikan kenaikan gaji RM500 sebulan kepada kesemua warga pendidik dalam tempoh 100 hari berjaya mengurus dan mentadbir Putrajaya.

Ayoh ratusan ribu guru yang telah terpedaya dengan pengumuman Najib, mari bersama-sama Rakyat Malaysia meletakkan Pakatan Rakyat ke Putrajaya pada PRU-13 nanti. InsyaAllah dalam tempoh 100 hari, guru-guru akan dapat menuai hasilnya pada setiap bulan. Ini belum termasuk semakan dan penyelarasan gaji dan perkhidmatan yang kita percaya akan dilakukan dengan cara yang lebih adil, saksama dan telus oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Najib, kalau nak tipu dan bohong ahli-ahli umno karat dan sebahagian penduduk Felda, bolehlah. Tapi, kalau guru-guru pun ditipu dan diperbodohkan seolah-olah guru-guru ini adalah ahli-ahli umno yang dungu, silap besarlah! Dan yang telah ditipu dan diperbodohkan, bukan setakat seribu atau dua ribu orang guru, tetapi ratusan ribu guru-guru, agak-agakla..

Kepada para pemimpin Pakatan Rakyat, secara teknikalnya, Najib telah pun menyerahkan 'tempayan emas' untuk dimanfaatkan dalam PRU-13. Pandai-pandailah menguruskannya....

Kepada para pendidik yang telah membaca artikel ini, kongsikan dengan seberapa ramai rakan di Facebook dan kumpulan-kumpulan sosial yang anda sertai. Cetak dan sebarkan di kalangan rakan pendidik di sekolah. Warga pendidik perlu kembali ke era di mana para pendidik adalah merupakan agen perubahan dalam masyarakat setempat. Suara pendidik lebih dihormati. Lakukanlah apa yang sepatutnya demi Agama dan negara.


Grafik tema Hari Guru PR: Blog
Dr. Halimah Ali

Berkaitan:

Insentif Guru : Kesatuan Sekerja Kecewa

KUALA LUMPUR 17 MEI : Beberapa kesatuan sekerja perkhidmatan guru mendesak kerajaan meneliti semula insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, yang disifatkan sebagai tidak memenuhi permintaan dan keperluan utama warga pendidik keseluruhan peringkat.

Desakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) lahir daripada rasa tidak puas hati terhadap insentif yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada keseluruhan guru.

Laporan Berita Harian hari ini memetik mereka kecewa kerana enam tuntutan yang dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada pertemuan 28 April lalu tidak diberi perhatian termasuk tuntutan kenaikan gred guru besar di sekolah kurang murid.

Selain itu, tuntutan supaya kerajaan mewujudkan jawatan gred DG40 iaitu gred tertinggi dalam Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD), selain memperluaskan gred DGA38 kepada semua guru besar dan pengelola kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) gagal dilakanakan.

Mereka mendakwa kerajaan juga tidak memberi perhatian terhadap tuntutan gred jawatan pegawai pelajaran daerah di sebanyak 139 PPD membabitkan gred DG52 serta pelaksanaan nisbah seorang guru dengan tujuh murid khususnya bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah.

Dalam perutusan sempena Hari Guru semalam, Najib berkata, sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan perguruan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya ‘time-based’ perlu diberi nafas baru.

“Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun.

“Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya,” katanya.

Oleh itu kata beliau, kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

“Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan,” kata Najib.

Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

Najib berkata, mereka juga boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

“Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.

“Untuk ini, kerajaan bersetuju menambah lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru,” kata beliau.

Selanjutnya, Najib menambah, sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.

Sementara itu, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan.

Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

Dalam pada itu, Presiden NUTP Hashim Adnan berkata insentif yang diberikan tidak membabitkan guru yang mengajar di sekolah rendah dan menengah, walhal permintaan sudah beberapa kali disuarakan sebelum ini.

Dipetik akhbar harian itu, beliau berkata, NUTP kecewa kerana kenaikan gred hanya dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan, menyebabkan pengetua dan GPK yang bersara tahun ini tidak dapat menikmati insentif berkenaan.

Yang Dipetua GMGBM Ruslan Madon pula berkata apa yang diperjuangkan gabungan itu sejak empat tahun lalu gagal direalisasikan sedangkan kenaikan gred bagi guru besar sekolah kurang murid jika dilaksanakan hanya membabitkan RM5 juta stahun.

Sementara itu, Presiden KKGLMSM Jamale Paiman memberitahu pihaknya berharap kerajaan mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan 160,000 PPPLD daripada jumlah keseluruhan 430,000 guru terjamin.

Tiada ulasan: