Rabu, 18 Mei 2011

Mansuh tol: Kerajaan dituntut perjelas pampasan pemegang konsesi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) dituntut memberikan penjelasan sama ada pampasan berjumlah RM 180 juta akan diberikan sepenuhnya kepada pemegang konsesi, berikutan pemansuhan kutipan tol di plaza tol Cheras dan Petaling Jaya di Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat (Metramac).

Sekiranya pampasan diberikan, bermakna pemegang konsesi mendapat ‘durian runtuh’ tanpa perlu menunggu tujuh tahun perjanjian konsesi yang hanya akan tamat pada 31 Mei 2018, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.

“Perkara ini diibaratkan seperti ‘telunjuk lurus, kelingking berkait. Pemansuhan tol dari satu sudut dilihat seolah-olah menguntungkan rakyat. Namun sebenarnya tidak, kerana kerajaan perlu membayar pampasan kepada pemegang konsesi.

“Menurut anggaran, perolehan yang bakal diterima oleh Metramac Corporation Sdn Bhd dari kutipan tol bagi tempoh 7 tahun adalah RM 180 juta. Manakala, kos pembinaan lebuh raya ini berjumlah RM 125 juta dan mula dibuka kepada lalu lintas semenjak 1 Ogos 1995,” kata Azan.

Menurutnya lagi, sekiranya diukur dari tarikh perjanjian konsesi antara kerajaan dengan Metramac Corporation Sdn Bhd yang ditandatangani pada 13 Februari 1992, beliau yakin pemegang konsesi telah mendapatkan kembali modal kos pembinaan.

“Jadi, adalah tidak munasabah sekiranya kerajaan masih ingin meneruskan bayaran pampasan,” kata Azan kepada Keadilandaily.com

Justeru, Azan menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan sekiranya wujud imbuhan atau percubaan untuk menyalahguna dana awam.

Dalam pada itu Azan mengesyaki sekiranya wujud pembayaran pampasan, tidak mustahil ia merupakan kaedah terbaru Barisan Nasional mendapatkan dana bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Apakah mungkin wujud imbuhan dalam transaksi tersebut, apatah lagi dalam suasana politik negara yang cenderung untuk diadakan pilihan raya?” soalnya yang turut menyatakan komitmen untuk membangkitkan isu itu dalam sesi Dewan Rakyat akan datang.

“Rakyat jangan tertipu dengan pengumuman-pengumuman politik seperti ini. Pemansuhan tol yang diumumkan ini tidak didatangkan dengan rasional dan kajian terperinci. Mungkin sahaja wujud elemen-elemen penyelewengan.

“Pemansuhan tol yang diumumkan Menteri Kabinet dilihat cara baru Najib untuk melepaskan tanggungjawab dan tidak kelihatan ‘terlalu’ meniru ‘Buku Jingga’. Kemudian dia keluar negara dan menyerahkan tugas pengumuman tersebut kepada orang lain,” ujar Azan.

Menurut Azan, banyak cadangan Pakatan Rakyat yang terkandung dalam Buku Jingga ditiru bulat-bulat, termasuk antaranya konsep Skim Rumah Pertama kepada golongan muda.

“Tidak hairan, Najib akan meneruskan ‘sikap’ menirunya itu,” ujar Azan.

Tiada ulasan: