Rabu, 18 Mei 2011

Petrol RON95: Kerajaan tak peduli beban rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan memang tidak pernah memegang janji berhubung soal kenaikan barangan dan terbaru petrol RON 95 yang dijangka mengalami nasib yang sama, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Abdul Rahman Yusof.

Menurutnya, kerajaan tidak pernah memikirkan bebanan rakyat yang terpaksa menanggung implikasi daripada kenaikan petrol terhadap barangan lain.

“Kerajaan tidak pegang janji kerana menterinya sendiri mengumumkan supaya rakyat bersiap sedia untuk menghadapi kenaikan petrol RON95 yang rata-ratanya digunakan rakyat kelas pertengahan dan rendah.

“Implikasi kenaikan petrol akan memberikan kesan yang besar kerana semua barangan keperluan dinaikkan harga. Mangsanya adalah rakyat yang terpaksa menanggung beban selain menambahkan hutang isi rumah,” kata Abdul Rahman ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Dalam pada itu, beliau turut mengecam kerajaan yang acap kali menaikkan harga barangan keperluan dan petrol sedangkan gaji rakyat tidak dinaikkan.

“Pendapatan rakyat tidak dinaikkan, tetapi yang naik harga barang keperluan. Alasan kerajaan untuk mengurangkan subsidi kerajaan, tapi subsidi kepada syarikat kroni seperti Penjana Tenaga Bebas (IPP) tidak ditarik.

“Sekiranya mahu kurangkan subsidi, sepatutnya kerajaan kurangkan subsidi kepada syarikat kroni supaya rakyat tidak dijadikan mangsa dengan menanggung kenaikan harga. Tapi yang berlaku sebaliknya kerana kerajaan mementingkan kroni-kroni mereka,” kata beliau.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan akan mengkaji semula semua harga produk petroleum termasuk petrol RON95 bulan depan bagi menentukan harga sedia ada akan kekal atau sebaliknya.

Beliau berkata kajian semula oleh kementerian itu bersama-sama agensi lain seperti Kementerian Kewangan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) akan menentukan sama ada harga sedia ada kekal atau dinaikkan berdasarkan tanggungan subsidi kerajaan.

Sebelum ini kerajaan memberi jaminan harga petrol RON95 akan ditangguhkan sama ada berlaku kenaikan ataupun tidak sehingga selepas pilihan raya umum.

Tiada ulasan: