Rabu, 9 Mac 2011

Ucapan Ketua Pembangkang Parlimen

Yang diPertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Rakyat sekalian

PENDAHULUAN

Ucapan perbahasan Ketua Pembangkang pada kali ini mempunyai beberapa keunikan.

Pertamanya, ia jatuh pada tanggal 8 Mac yang terpahat sebagai tarikh keramat kematangan rakyat Malaysia menuntut reformasi yang memungkinkan wujudnya satu pakatan pembangkang persekutuan yang kuat untuk menyemak setiap tingkah laku kerajaan.

Dalam masa tiga tahun Parlimen Kedua Belas berlangsung, dengan kehadiran wakil-wakil rakyat dari Pakatan Rakyat satu persatu tindakan Barisan Nasional yang membelakangkan rakyat dihentikan. Bermula dengan desakan supaya pengenalan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan ditangguhkan sehinggalah beberapa syarat yang membela rakyat dicapai dahulu, sehinggalah pemansuhan judi bola yang cuba dilaksanakan secara senyap-senyap oleh Barisan Nasional.

Kematangan rakyat Malaysia yang dizahirkan di peti undi pilihanraya tiga tahun lalu membuka lembaran baru dalam sejarah negara kita. Dewan Rakyat pada hari ini adalah dewan yang diperkasakan dengan suara rakyat. Kehadiran wakil-wakil dari Pakatan Rakyat memberi makna kepada fungsi dan perjalanan Dewan Rakyat, bukannya dewan kosong yang jarang dikunjungi wakil-wakil Barisan Nasional sebelumnya.

Pun begitu, Barisan Nasional tetap mengintai ruang untuk menggunakan Dewan Rakyat pada hari ini bagi menutup suara rakyat. Apabila wakil-wakil rakyat mempersoalkan kewajaran membelanjakan ratusan juta ringgit untuk membayar syarikat asing yang ada kaitan dengan perisikan Yahudi bagi menjalankan kempen-kempen kerajaan, Ketua Pembangkang dan tiga wakil rakyat digantung.

Dalam suasana itu, kita kembali bersidang dengan hikmah yang jelas untuk dihayati. Suara rakyat yang dilambangkan oleh 8 Mac akan terus berkumandang di Dewan Rakyat tidak kira apa helah yang akan digunakan Barisan Nasional selepas ini.

SUARA RAYA RAKYAT SEBAGAI PEDOMAN

Dewan yang mulia, tempoh dua bulan sejak dewan ditangguhkan akhir tahun lalu menyaksikan perubahan mendadak dunia. Penggal Ketiga ditangguhkan dalam suasana dunia Islam di Timur Tengah masih di bawah telunjuk diktator-diktator yang telah berkuasa berdekad-dekad lamanya. Sewaktu dewan ditangguhkan dulu, tidak ada seorang pun yang berada di dalam dan di luar dewan ini, hatta mereka yang sering melawat ibu kota-ibu kota Timur Tengah pun akhir-akhir ini, yang dapat menduga bahawa diktator-diktator ini boleh ditumpaskan oleh rakyat mereka dalam masa sesingkat dua bulan.

Sumber: Gambar Reuters

Hosni Mobarak (gambar kanan) ada segala-galanya. Seluruh sistem negara dan kerajaan berada dalam genggamannya. Semua bentuk tentangan yang boleh mencabarnya telah dicantas. Aktivis politik yang tidak disukainya dipenjarakan sewenang-wenangnya. Corong-corong televisyen secara berterusan menyiarkan saban hari imej-imej seorang diktator yang harus ditakuti dan diikuti rakyatnya.

Mesir diperintah dibawah undang-undang darurat sejak tahun 1967. Dalam pilihanraya parlimen 2010 yang berlangsung serentak dengan sidang dewan ini Disember lalu, partinya menang 95% dari semua kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Makanya, tidak ada sesiapa pun yang boleh menyangka sebulan selepas itu Hosni Mobarak hilang tampuk pemerintahan dan dalam sekelip mata, Mesir yang ada hari ini adalah Mesir yang cukup berbeza.

Hosni Mobarak, isterinya dan keluarga terus menghilangkan diri seperti mana Ben Ali dan isterinya dan keluarga; pada waktu rakyat Mesir bangkit menuntut keadilan dan kebertanggungjawaban. Diktator-diktator yang sekian lama berkuasa ini tenggelam dalam sekelip mata di tengah-tengah gelombang suara rakyat yang tidak boleh dihentikan oleh sesiapa pun.

Apakah Hosni Mobarak tidak menguasai setiap aparatus kerajaan, tentera dan polis? Apakah pengendalian pilihanraya tidak dipesongkan supaya partinya menang besar dalam pilihanraya terbaru? Apakah Hosni Mobarak membenarkan sekelumit ruang pun bagi media melaporkan secara adil dan terbuka?

Namun apabila suara rakyat sudah menjadi suararaya, semuanya akan tenggelam. Keputusan pilihanraya yang diadu-domba akan hanyut bersama-sama pimpinan bobrok yang tidak pernah serik mencari manipulasi untuk menghalalkan penipuan di peti undi.

Sebab itu, penggal Dewan Rakyat kali ini perlu memandang serius perkembangan tidak sihat bersabit manipulasi pilihanraya dan ketelusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang semakin dipersoalkan. Selepas tsunami 8 Mac, kegilaan untuk memanipulasi perjalanan pilihanraya demi menjamin kemenangan Barisan Nasional semakin menjadi-jadi.

Hari ini, rakan saya dari Machang mendedahkan bagaimana 449 isteri anggota tentera dari Kok Lanas ditukar status menjadi pengundi pos, sedangkan mereka tidak pernah memohon atau membenarkan penukaran tersebut. SPR tidak dapat mempertahankan tipu helah menukar status undi dan terpaksa tunduk kepada tuntutan untuk membatalkan status undi pos tersebut.

Minggu lepas, rakan-rakan dari Perak telah mendedahkan peningkatan mendadak undi pos sebanyak 8,470 pengundi di 6 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenangi oleh pemimpin kanan Barisan Nasional Perak. Dari jumlah itu, peningkatan paling tinggi adalah di kerusi Menteri Besar sendiri iaitu 5,669 pengundi pos baru di Pangkor.

Manipulasi dan permainan kotor sebegini boleh sahaja diteruskan. Rakyat akan terus memerhati, tetapi jangan sampai keyakinan rakyat kepada saluran peti undi luntur dan bertukar kepada saluran suara raya rakyat yang diperturunkan di rapat-rapat umum.

Mutakhir ini, menteri-menteri dari sebelah sana amat ghairah memberi amaran kepada rakyat supaya tidak mengambil jalan suara raya rakyat seperti yang berlaku di Timur Tengah. YB Pekan berkali-kali memberi amaran bahawa keadaan di Timur Tengah dan Malaysia adalah berbeza.

Saya ingin mengajak semua ahli dewan supaya mengambil pedoman dari kebangkitan suara raya rakyat yang berlaku di seluruh dunia Islam. Dunia pada hari ini sudah berubah. Zaman penguasa memberi amaran kepada rakyat supaya mengikut telunjuknya sudah berakhir. Zaman kerajaan menjadi penguasa sudah berakhir dalam dunia Islam.

Ini zaman suara raya rakyat. Kita perlu hadam bahawa dalam arus ini, rakyat yang memberi amaran kepada penguasa, bukannya penguasa menakut-nakutkan rakyat dengan ugutan dipenjara, dihadapkan ke mahkamah atau digantung dari Parlimen.

SPR dan semua badan yang bertanggungjawab perlu mengambil pedoman dari kebangkitan rakyat di Timur Tengah. Jangan sampai pilihanraya umum hanya memuncakkan kemarahan rakyat dan kerajaan yang dipilih di saluran peti undi ditumbangkan oleh rakyat tidak sampai dua bulan selepas pilihanraya, kerana kerajaan yang dipilih dengan cara manipulasi undi adalah kerajaan yang tidak sah di mata rakyat.

PRESTASI EKONOMI YANG TERKEBELAKANG, DAYA SAING SEMAKIN BERKURANG

Tuan Yang diPertua, saya juga ingin melahirkan kebimbangan bahawa prestasi ekonomi negara dalam tahun 2010 disalahertikan oleh Barisan Nasional sehingga menutup isu-isu besar mengenai struktur dan kedudukan ekonomi negara yang memerlukan perhatian serius.

Angka pertumbuhan 7.2% perlu dibandingkan dengan pencapaian jiran-jiran kita dan bukannya dinilai secara bersendirian. Singapura dan Indonesia contohnya masing-masing berjaya mencatatkan pertumbuhan 14.5% dan 6.1% dalam tahun 2010. Kedua-dua jiran kita ini mengatasi pertumbuhan Malaysia; apatah lagi apabila pertumbuhan Indonesia adalah berdasarkan angka pertumbuhan asas yang lebih tinggi kerana Indonesia tidak mengalami penguncupan ekonomi dalam tahun 2009 seperti mana Malaysia dan Singapura.

Pertumbuhan 14.5% yang dicatatkan Singapura disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor perkilangan pada kadar 29.7% pertumbuhan tahunan. Jika dibandingkan dengan Singapura, pencapaian kita malap dalam kedua-dua aspek - pertumbuhan ekonomi hanyalah separuh dari yang dicapai Singapura, sementara pertumbuhan sektor perkilangan pada kadar 11.4% hanyalah setakat satu pertiga pencapaian Singapura.

Pertumbuhan sektor perkilangan yang lebih rendah berbanding jiran diburukkan lagi dengan penguncupan dua sektor penyumbang utama di dalam suku keempat 2010. Sektor perlombongan dan pertanian adalah penyumbang utama kepada pendapatan Kerajaan Persekutuan melalui hasil minyak dan gas serta kelapa sawit. Kedua-dua sektor ini mencatatkan penguncupan dalam suku keempat pada kadar 1.3% (perlombongan) dan 4.3% (pertanian). Akibatnya, pertumbuhan tahunan yang sangat rendah pada kadar 0.2% (perlombongan) dan 1.7% (pertanian) adalah satu lagi petanda bahawa ekonomi kita semakin malap.

Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan telah mencecah RM407 bilion menjelang akhir 2010, bersamaan 53.1% berbanding saiz KDNK negara. Kegagalan merancakkan pelaburan swasta menyebabkan kerajaan terlalu bergantung kepada projek-projek mega dan perbelanjaan kerajaan untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi, sehinggakan defisit fiskal menjadi salah satu masalah utama ekonomi negara.

Defisit fiskal negara memuncak pada aras 7% dalam tahun 2009 dan hanya menurun kepada 5.6% tahun lalu, sedangkan sasaran kerajaan yang diumumkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 adalah 5.3% bagi tahun 2010. Malaysia hanya berjaya menarik aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebanyak USD7 bilion dalam tahun 2010, jauh ditinggalkan Singapura yang mendapat sejumlah USD37.4 bilion aliran masuk pelaburan asing.

Angka-angka ini secara jelas menunjukkan bahawa ekonomi kita terus malap dan rakyat cuba dikaburi oleh Barisan Nasional dengan angka-angka yang tidak mencerminkan keadaan sebenar ekonomi negara.

TATAKELOLA PETRONAS AKIBAT CAMPUR TANGAN POLITIK

Tuan Yang diPertua, saya ada menyebut mengenai pertumbuhan 0.2% dalam sektor perlombongan yang berkait rapat dengan industri minyak dan gas di negara ini. Pengurusan dan tatakelola yang kukuh dalam industri minyak dan gas adalah sangat penting, memandangkan kedudukan strategik PETRONAS sebagai pemacu kemajuan negara.

Jasa dan peranan PETRONAS tidak boleh dipersoalkan lagi. Kemampuan PETRONAS mengambil pendekatan strategik bersaing di peringkat antarabangsa untuk menambah rizab minyak dan gas negara telah meletakkan landasan PETRONAS di landasan yang baik sebagai salah sebuah gergasi minyak dan gas dunia.

Saban tahun sebelum ini, kita mendengar berita gembira bagaimana perolehan dan keuntungan yang disumbangkan oleh operasi luar negara PETRONAS semakin meningkat. Secara langsung, ia memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kita berjaya mengurangkan kebergantungan kepada rizab minyak dan gas dalam negara yang dijangkakan akan susut antara 20 tahun (bagi minyak mentah) dan 34 tahun (bagi gas).

Strategi PETRONAS mengimbangi pelaburan kapitalnya di dalam dan luar negara dipersetujui rakyat dan ia juga menjadi lambang kebanggaan rakyat Malaysia apabila PETRONAS menjadi rakan pintar membangunkan negara-negara lain seperti Sudan, Vietnam, Turkmenistan dan Chad.

Namun kebelakangan ini, ada satu peralihan dasar yang cukup-cukup membimbangkan dan mempersoalkan hala tuju pelaburan PETRONAS.

Dalam suasana PETRONAS menghadapi keadaan tidak menentu akibat referendum di Sudan yang memilih untuk memisahkan Sudan Selatan dari persekutuan kerajaan di utara, PETRONAS pula mengambil tindakan drastik mahu menumpukan operasi carigali dan pelaburannya di dalam negara.

Saya mohon supaya YB Pekan menjelaskan kepada dewan apakah kesan perkembangan di Sudan kepada perolehan dan keuntungan PETRONAS, memandangkan lapangan minyak di Sudan adalah lapangan minyak luar negara terbesar yang diusahakan oleh PETRONAS. Dianggarkan satu pertiga dari operasi minyak mentah PETRONAS di luar negara datangnya dari lapangan-lapangan minyak di Sudan. Di manakah kebijaksanaan menukar strategi pelaburan yang membelakangkan operasi luar negara; sedangkan PETRONAS mungkin kehilangan hasil sedia ada dari lapangan minyaknya di Sudan?

Saya juga memohon supaya Dewan membahaskan dengan mendalam pengumuman terbaru PETRONAS menganugerahkan kontrak perkhidmatan petroleum kepada sebuah konsortium yang dianggotai oleh Petrofac (sebuah syarikat minyak berasal dari United Kingdom), Kenchana Petroleum dan Sapuracrest Petroleum untuk membangunkan lapangan gas Berantai yang membabitkan pelaburan kapital RM2.5 bilion.

Berbeza dengan kontrak perkongsian pengeluaran yang biasa digunakan sejak PETRONAS ditubuhkan, sehingga kini rakyat masih belum mendapat maklumat yang jelas apakah bentuk risiko dan pelaburan yang akan ditanggung oleh PETRONAS, memandangkan kedua-dua syarikat tempatan di dalam konsortium adalah syarikat berkepentingan yang mempunyai hubungan rapat dengan elit pemerintah di negara ini.

Kita juga mempersoalkan bagaimanakah dua buah syarikat yang tidak pernah terbabit di dalam operasi carigali dan pengeluaran gas tiba-tiba diberikan peluang menyertai konsortium terbabit, dalam keadaan rakyat tidak pasti apakah bentuk imbuhan kewangan yang diberikan oleh PETRONAS kepada mereka.

Perkara-perkara ini menimbulkan tanda tanya mengenai tahap tatakelola dan pengurusan di PETRONAS sejak akhir-akhir ini; selepas campur tangan dari Pejabat Perdana Menteri yang mengakibatkan pucuk pimpinan di PETRONAS bertukar.

Masa depan negara berkait rapat dengan PETRONAS, maka sewajarnya perubahan-perubahan dasar yang besar seperti ini dibincangkan dengan mendalam di Dewan Rakyat agar kepentingan rakyat benar-benar terjaga.

KETIDAKTELUSAN PROJEK MEGA DI BAWAH ETP

Tuan Yang diPertua, YB Pekan menjanjikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan ekonomi dan kewangan negara di dalam semua kempen yang menelan belanja yang besar. Paling kurang, beliau faham bahawa rakyat memerhatikan kesungguhan beliau memerangi rasuah dan memastikan wang rakyat tidak disonglap oleh golongan elit pemerintah.

Memang benar ada beberapa bekas menteri yang kini dihadapkan ke mahkamah dan kita menunggu keadilan diberikan kepada rakyat Malaysia, yang terpaksa menanggung bebanan hutang berbelas billion akibat pimpinan negara yang dengan mudah sahaja boleh ditipu oleh menteri-menteri yang dilantik Perdana Menteri sendiri.

Pun begitu, adalah tidak memadai sekiranya beberapa kerat bekas menteri ini dijadikan kambing hitam sedangkan seluruh perjalanan kerajaan masih belum menampakkan tanda-tanda prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan diamalkan sepenuhnya.

Saya bimbang dengan pengumuman-pengumuman besar yang dibuat oleh YB Pekan akhir-akhir ini yang melibatkan hampir seratus billion wang rakyat, melalui projek-projek mega yang disenaraikan sebagai projek EPP.

Pada mulanya Barisan Nasional mengabui mata rakyat bahawa kononnya projek-projek ini akan dibiayai oleh swasta, tetapi senyap-senyap kemudian menganugerahkan kontrak kepada syarikat-syarikat tertentu yang akhirnya akan dibiayai keseluruhannya oleh dana rakyat.

Kita perlu berwaspada dengan terma-terma baru yang digunakan oleh pentadbiran ini, yang terkini adalah project delivery partner atau rakan pengurus projek yang sebenarnya adalah nama baru untuk menganugerahkan projek mega kepada kroni dengan menggunakan wang rakyat.

Bagaimana konsep PDP ini berbeza dengan pelbagai konsep-konsep yang menyelewengkan wang rakyat sebelum ini? Sebuah syarikat berkepentingan membelanjakan wang mereka menyiapkan satu cadangan, kemudian cadangan itu dibawa kepada kerajaan.

Kerajaan yang bersetuju akhirnya menganugerahkan projek yang dicadangkan itu untuk diuruskan sepenuhnya oleh syarikat kroni terbabit, tetapi dibiayai oleh wang rakyat. Syarikat kroni kononnya akan mengadakan tender terbuka dalam menguruskan projek, tetapi pemilihan PDP langsung tidak melalui tender terbuka.

Oleh yang demikian, saya cukup gusar dengan anggaran kos projek MRT yang dikatakan sudah mencecah RM50 bilion yang dianugerahkan kepada Gamuda-MMC. Pertamanya, tidak ada jaminan bahawa kos tersebut sudah disemak secara bebas dan telus - maka tidak ada jaminan bahawa bayaran komisen beberapa peratus - 10%, 20%? - telah pun dimasukkan ke dalam jumlah keseluruhan RM50 bilion, memandangkan kerajaan menerima bulat-bulat cadangan projek dan kos yang dibentangkan oleh Gamuda-MMC.

Begitu juga aspek tatakelola pemilihan sub-kontraktor, apabila konsortium Gamuda-MMC sendiri yang akan terbabit di dalam beberapa pakej bawah tanah yang menelan sebahagian besar kos pembinaan MRT. Hanya di Malaysia yang mana sebuah syarikat yang akan membida diberi tanggungjawab menjadi penyelia proses bidaan, tidak ubah seperti kuasa seorang hakim, polis dan penghukum semuanya dipusatkan di dalam satu tangan.

Oleh itu, kita perlu berwaspada dengan tiga pengumuman projek mega di bawah ETP yang langsung tidak menghormati suara raya rakyat yang menuntut kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan wang rakyat.

Projek-projek itu adalah pembinaan MRT yang menelan belanja RM50 bilion dan dianugerahkan kepada Gamuda-MMC, projek River of Life yang menelan belanja RM8 bilion dan telah dianugerahkan kepada MRCB dan Ekovest serta pembangunan semula hartanah Sungai Besi yang dilaporkan menelan belanja RM26 bilion dan dianugerahkan kepada 1MDB, sebuah lagi syarikat berkepentingan.

Melalui konsep PDP yang secara jelas akan menggunakan wang rakyat, sebanyak RM84 bilion wang rakyat akan digunakan. Jika kerajaan menerbitkan bon sebanyak RM84 bilion lagi untuk menampung projek-projek ini, bermakna sepuluh generasi akan datang akan menanggung hutang.

Ini tidak termasuk jumlah hutang sedia ada yang ditanggung oleh 20 GLC dan dijamin kerajaan, pun sebanyak RM84 bilion pada akhir tahun 2009 seperti yang terkandung di dalam laporan terkini Ketua Audit Negara.

Makanya, yang berubah hanyalah Perdana Menteri dan kabinet serta istilah-istilah baru untuk mengabui mata rakyat. Kebobrokan dan penyelewengan wang rakyat akan terus berlaku, bezanya jumlah sudah meningkat berkali ganda.

BARANG NAIK DI BAWAH BN

Tuan Yang diPertua, saya juga tertarik dengan komen-komen pimpinan kerajaan bahawa kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa mengenai kenaikan harga barang kerana ia satu fenomena dunia.

Saya cukup tercuit apabila melihat rakan-rakan dari Barisan Nasional gundah gulana setiap kali rakyat menimbulkan isu Barang Naik, kerana BN dan Barang Naik sudah sinonim di mata rakyat.

Namun, saya mohon supaya kerajaan memainkan peranan yang lebih proaktif menangani masalah inflasi yang dihadapi oleh rakyat, kerana kadar inflasi sesebuah negara dan kemampuan rakyat berbelanja berdasarkan pendapatan boleh belanja (disposable income) adalah tanggungjawab kerajaan, mengikut dasar-dasar ekonomi yang ditetapkan oleh kerajaan.

Contohnya, apabila rakyat terpaksa membayar 70% cukai ke atas setiap buah kereta yang dibeli, sudah tentu pendapatan boleh belanja rakyat akan menurun, kerana menanggung bayaran tetap yang tinggi bagi perumahan dan kenderaan setiap bulan.

Apabila kerajaan membuat keputusan untuk menarik balik sejumlah satu hingga dua bilion subsidi bahan api dan makanan kepada rakyat sedangkan RM84 bilion diperuntukkan untuk projek mega, sudah tentu harga barang akan naik mendadak.

Apabila kerajaan sehingga kini belum berjaya mencapai sasaran pengurangan import makanan walaupun lebih RM10 bilion dibelanjakan untuk pelbagai tabung keselamatan makanan sejak tahun 2000, sudah tentu negara akan terus bergantung kepada import makanan dan dipengaruhi turun naik harga komoditi dunia.

Tetapi dalam ketiga-tiga contoh tadi, kerajaan persekutuan boleh mengambil tindakan proaktif dan meletakkan keutamaan yang sebetulnya, jika benar rakyat yang diutamakan. Di mana letaknya kekuatan moral sebuah kerajaan yang boleh membelanjakan RM84 bilion untuk projek mega sedangkan satu dua bilion yang betul-betul mempunyai kesan kepada perbelanjaan rakyat seharian dipotong.

Sebab itu, saya mengulangi pendirian Pakatan Rakyat bahawa harga minyak petrol dan diesel akan diturunkan serta merta apabila Pakatan Rakyat berkuasa. Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport minyak mentah berkualiti tinggi akan tetap membuat laba keuntungan yang melebihi kenaikan kos menanggung subsidi setiap kali ada perubahan harga minyak di pasaran dunia.

Dalam keadaan harga minyak mencecah USD$100 setong dan kos pengeluaran purata sekitar USD$40 setong, sebahagian kecil keuntungan dari hasil minyak negara boleh diperuntukkan demi mengurangkan bebanan rakyat seharian, sementara kita mencari mekanisme terbaik merasionalisasikan subsidi agar hanya golongan yang layak diberikan subsidi.

Kalau Barisan Nasional tidak ada kekuatan moral dan keberanian untuk melaksanakan ini, Barisan Nasional juga tidak boleh mendabik dada dengan peneroka-peneroka FELDA seolah-olah harga komoditi kelapa sawit yang tinggi itu adalah hasil pengurusan FELDA di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Kalau mahu mencuci tangan bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak berkemampuan mengawal kenaikan harga barang, maka Barisan Nasional juga perlu mengakui bahawa kenaikan apa-apa harga komoditi termasuklah kelapa sawit tidak ada kene-mengena dengannya.

PENUTUP

Tuan Yang diPertua, akhir sekali saya mohon supaya kita kembali kepada suara raya rakyat kerana perubahan dunia yang mendadak akhir-akhir ini, memberi gambaran bahawa kita berada di dalam era baru.

Perkara-perkara kebajikan rakyat perlu ditangani dengan sebaiknya dan setiap sen wang rakyat perlu ada kebertanggungjawaban, bukannya di zaman-zaman lalu yang mana wang rakyat menjadi harta peribadi golongan elit negara. Zaman itu telah berlalu.

Sebab itu, rakyat akan memandang sinis pengumuman kerajaan pada muka surat 11 Titah Seri Paduka Baginda yang disiapkan oleh kerajaan Barisan Nasional, perenggan 27 bahawa hanya ada 100 keluarga yang berada di dalam paras kemiskinan tegar di seluruh Malaysia.

Data itu langsung tidak kena dengan penerimaan Menteri Sumber Manusia sendiri bahawa dianggarkan 34% dari pekerja di Malaysia dibayar gaji dibawah paras kemiskinan. Kerajaan boleh sahaja mendabik dada bahawa hanya ada 100 orang keluarga miskin tegar di Malaysia, tetapi keluar sahaja Bangunan Parlimen, jika kita menjelajah sekitar Kuala Lumpur - kita tahu hakikatnya berbeza.

Kerajaan yang sudah hilang pedoman dan lupa realiti sebenar kesengsaraan rakyatnya selalunya akan bertemu dengan kebangkitan suara raya rakyat.

Saya doakan supaya mana-mana kerajaan yang berkuasa baik di peringkat persekutuan atau negeri akan terus mendengar suara raya rakyat sebagai pedoman.

Wabillahi taufik walhidayah, wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

*Ucapan Ketua Pembangkang Perbahasan Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ke-12, dibacakan Saifuddin Nasution Ismail (ahli parlimen Machang, gambar kanan), berikutan penggantungan Anwar Ibrahim daripada memasuki Dewan Rakyat selama enam bulan.

Tiada ulasan: