Rabu, 9 Mac 2011

Mahathir 'Nyanyuk' ibarat penulis upahan

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini senada membidas Tun Mahathir Mohamad sebagai "ibarat orang nyanyuk" kerana melemparkan fitnah dan tuduhan liar terhadap Anwar Ibrahim dalam buku nukilan kisah hidup Mantan Perdana Menteri itu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menyifatkan Mahathir sebagai ahli politik yang hilang keupayaan berfikir secara waras dalam menghasilkan buku berjudul 'Doktor Dalam Rumah'.

Dalam buku itu Mahathir sekali lagi mengulangi pelbagai fitnah terhadap Anwar bersabit perlakuan seks. Sepanjang masa dalam membuat tuduhan-tuduhan itu, Mahathir enggan memberi keterangan di mahkamah khususnya pada perbicaraan pertama Anwar tahun 1998.

Azan berkata beliau sangsi buku itu ditulis oleh Mahathir sendiri kerana tuduhan dan fitnah yang dilontar lebih mirip kepada perlakuan penulis upahan.

"Dr Mahathir ini terbukti nyanyuk, dan orang yang peringkat umur 80 tahun ke atas memang dalam keadaan tidak sihat secara klinikal. Jadi bagi saya sesiapa yang menulis buku berkenaan ini, hanya mengambil kesempatan di atas ketidakupayaan mental Dr.Mahathir," katanya.

Azan mempersoalkan tindakan Mahathir melontarkan tuduhan-tuduhan liar itu melalui buku dan bukannya di mahkamah, lebih-lebih lagi kerana beliau menjadi Perdana Menteri pada masa itu.

"Sepatutnya menjadi tanggungjawab dia sebagai Perdana Menteri untuk membawa perkara ini ke mahkamah pada masa itu bersempena dengan perbicaraan kes liwat pertama. Kenapa dia sembunyikan perkara ini? Kenapa dia memilih untuk mendedahkan perkara ini dalam buku, dalam bentuk penulisan? Ini sangat tidak bermoral bagi seorang Perdana Menteri atau bekas Perdana Menteri," katanya.

Azan menyifatkan buku "Doktor Dalam Rumah" nukilan Mahathir sama taraf dengan penulis-penulis bebas yang menghasilkan karya fitnah seperti Khalid Jafri.

"Saya merasa simpati kepada Tun Mahathir kerana menghabiskan sisa baki umur dia dengan merendahkan martabatnya sendiri. Pemikiran beliau sebagai mantan PM seharusnya lebih berkualiti. Namun dia meletakkan dirinya sama dengan penulis nyamuk yang tidak ada kualiti," katanya.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yakin bahawa Mahathir menulis buku itu untuk membela imejnya yang buruk dan kegagalan beliau dalam politik.

"Mahathir sudah tidak relevan dalam pentas politik Malaysia. Namun beliau ingin menujukkan bahawa dirinya masih berpengaruh. Mahathir ingin menguasai agenda Perdana Menteri Najib. Kalau bukan kerana Najib masih takut dan beri muka kepada Mahathir, saya agak media tidak akan pandang Mahathir," kata beliau.

"Saya bersimpati dengan orang tua ini yang lama memerintah tetapi dihujung hayatnya dia rasa ketinggalan dan rasa dipinggirkan oleh masyarakat," tambah Tian.

Tiada ulasan: