Rabu, 23 Jun 2010


TERUS BONGKAR KELEMAHAN NAJIB

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak terkejut dengan pendedahan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan bahawa Pakatan Rakyat menang di Sibu kerana bijak memainkan isu terutamanya isu kapal selam Scorpene dan kehilangan dua enjin jet TUDM.

Pendedahan yang dibuat ketika pertemuan dengan ahli-ahli Umno di Bagan Datoh, Ahad lepas sebenarnya membongkar kelemahan Najib sendiri kerana dua isu ini berlaku ketika zaman beliau menjadi Menteri Pertahanan.

Ahli Umno dan BN kena melihat fakta ini. Najib kini menjadi beban kepada mereka. Jika Pak Lah dulu dijatuhkan kerana dikatakan menjadi punca kekalahan BN akibat sikapnya yang tidak tegas dan mengutamakan keluarga, kini Najib juga bakal membawa petaka yang sama kepada BN menjelang PRU 13.

Umno BN tidak mampu menafikan dakwaan dan fakta yang dibentangkan oleh Pakatan. Malah kes rasuah kapal selam yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Perancis menghantui Najib. Kebocoran yang berlaku kepada kapal selam itu turut memalukan sistem pertahanan negara di kalangan negara Asean. Malah kematian Altantuya yang dikaitkan dengan urusniaga kapal selam ini juga masih menjadi misteri dan rakyat hingga kini tidak tahu siapakah sebenarnya Sirul Azhar dan Azilah Hadri. Bagaimana wajah mereka, kenapa hendak disembunyikan.

Dua enjin jet yang dicuri juga belum dipulangkan ke negara ini. Dan paling tidak boleh diterima rakyat, dua enjin ini hilang dari kawalan ketat pihak keselamatan negara. Dalam erti kata lain, keselamatan negara kini tidak lagi berada pada tahap yang sepatutnya.

Malah dakwaan terbaru bahawa wujudnya gerakan JI di IPT dalam negara jelas menunjukkan ketidakseriusan Najib menjaga rakyat. Bagaimana gerakan ini masih boleh wujud? Benarkah ada gerakan ini lagi? Kenapa polis belum mampu buat tangkapan tapi sibuk buat dakwaan dalam media?

Najib turut dilihat kehilangan punca dalam mengawal pemilikan aset negara kepada pelabur asing. Tekanan ekonomi dan pasaran antarabangsa membuatkan Najib mati akal dan terdesak mewujudkan dasar-dasar yang menjual negara seperti Dasar Liberalisasi Ekonomi dan Model Ekonomi Baru.

Rakyat tidak melihat perubahan besar kepada organisasi kerajaan dan cara kerja mereka. tetapi rakyat penat mendengar berita aset negara yang mahu digadai dengan pakej 60:40 seperti yang berlaku di Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR), tanah KTM di Singapura dan terbaru di Kampung Baru. Hingga kini Kerajaan BN tidak mempunyai dasar yang jelas terhadap projek pembangunan ini.

Rancangan membina reaktor nuklear juga kabur dan kerajaan dilihat mahu membuat keputusan sendiri. Begitu juga dengan cadangan memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR. Tindakan mahu diambil tanpa adanya pelan tindakan alternatif yang jelas. Kerajaan banyak berbincang tindakan alternatif sahaja.

Kerajaan Najib juga akhir-akhir ini dilihat tidak mesra rakyat dan menolak Parlimen sebagai wakil suara rakyat. Keputusan-keputusan besar dibuat hanya dengan merujuk kepada kabinet seperti keputusan pemberian lesen judi bola baru-baru ini.

PAS meminta agar semua jentera PAS, semua jentera Pakatan agar terus membongkar kelemahan pentadbiran Najib. Hanya Pakatan sahaja menjadi harapan rakyat untuk membongkar segala pembohongan dan kezaliman yang dilakukan oleh Najib dan kerajaannya.

Dalam masa yang sama, jentera PAS dan Pakatan juga tidak boleh leka dan menganggap kelemahan Najib ini sudah cukup untuk tumbangkan BN.

Semua ahli dan penyokong perlu bekerjasama dan menunjukan kekuatan dan kemampuan Pakatan kepada rakyat.

Tiada ulasan: