Sabtu, 8 September 2012

Seluruh rakyat terbeban kenaikan harga RON97

KUALA LUMPUR 7 September: Kenaikan harga petrol RON97 sebanyak 30 sen daripada RM2.70 kepada RM3 seliter akan membebankan seluruh rakyat, terutama pengguna petrol RON95.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, kenaikan itu turut memberi impak kepada rantaian aspek penting lain seperti industri perkhidmatan pengangkutan dan harga barangan keperluan.
“Pengguna tidak menerima kesan secara terus, tetapi kenaikan itu turut akan meningkatkan kos perkhidmatan pengangkutan seperti bas sekolah dan bas ekspres. Selepas ini pengusaha pasti desak untuk naikkan harga tambang.
“Begitu juga dengan harga barangan keperluan lian yang akan dinaikkan ekoran kos penghantarannya yang meningkat,” katanya ketika dihubungi.
Azan berkata, kenaikan pada kadar 11-12 peratus ini lazimnya akan meningkatkan kos sara hidup rakyat Malaysia sehingga 20 peratus.
Kata beliau lagi, kos sara hidup yang meningkat akan mengurangkan pendapatan boleh guna (pendapatan yang boleh dibelanjakan selepas menolak cukai dan potongan lain seperti KWSP) rakyat,” katanya.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Terengganu itu mengingatkan pengguna agar segera mengambil langkah sesuai untuk berdepan kesan kenaikan itu.
Harga petrol RON97 dinaikkan sebanyak 30 sen di pam petrol sejak pukul 12.00 pagi Khamis lalu.
Sama seperti kenaikan 10 sen pada 10 Ogos lepas, ia dibuat secara senyap-senyap tanpa sebarang pengumuman rasmi dari kerajaan mahupun Persatuan Peniaga Petrol Malaysia.
Sebelum itu, harga RON97 dikurangkan sebanyak 20 sen daripada RM2.80 kepada RM2.60 seliter pada Julai.
Kata Azan, tindakan kerajaan Umno BN kali ini telah mengatasi kehebatan ahli silap mata terkenal, David Copperfield.
Beliau sebelum ini mengumpamakan kerajaan sebagai bermain silap mata apabila menaikkan harga minyak tanpa mengumumkannya.
“Saya juga ingin nasihatkan Ahli Parlimen Umno BN agar letak jawatan sahaja dan jadi ahli silap mata kerana mereka memang pandai kelirukan dan sembunyikan fakta dari pengetahuan rakyat,” sinis beliau.

Tiada ulasan: