Sabtu, 14 Julai 2012

Noh Omar sapu 30 ekar tanah Selangor


KUALA LUMPUR 13 Julai: Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dianugerahkan 30 ekar tanah di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang pada 1995.
Suee Lim menunjukkan bukti Noh pemilik tanah berkenaan.
Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Menurut beliau, Noh membeli tanah tersebut dengan harga RM100,000 berbanding harga asal kira-kira RM3 juta.
“Rakyat susah untuk mendapat tanah tetapi seorang pemimpin kanan diberi tanah dengan mudah pada ketika itu. Saya telah melawat kawasan itu dan mendapati statusnya adalah untuk ternakan udang,” katanya pada perbahasan semalam.
Kata Suee Lim, Noh kemudian mengusahakan tanah tersebut bersama syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd bagi projek ternakan udang pada 2001.
“Kes ini saya anggap sebagai skandal tanah dan bukti wujudnya percanggahan kepentingan kerana beliau ketika ini ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang secara terang terlibat secara langsung dalam industri berkenaan.
“Di manakah maruah Umno BN yang kononnya memperjuangkan hak rakyat tetapi parti terlibat dalam kes sapu tanah rakyat?” soalnya.
Noh buat pertama kalinya memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang pada April 1995.

Tiada ulasan: