Sabtu, 14 Julai 2012

Mana pergi RM170 juta belanja transformasi kerajaan?

KUALA LUMPUR 13 Julai: Pengarah Biro Perdagangan KEADILAN, Wong Chen mempersoal ke mana perginya RM170 juta atau 71 peratus kos mengurus persepsi awam dari peruntukan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Ini berikutan Pengarah Pencegahan Jenayah NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan), Eugene Teh Yee mengatakan hanya 0.75 peratus daripada dana GTP dibelanjakan untuk aktiviti ini.
“Cuba kira. Bukankah RM170 juta dari RM240 juta kos pengurusan NKRA bersamaan 71 peratus?
“Ia dilulus dalam Belanjawan 2012. Ke mana pergi wang ini?” katanya kepada Keadilan Daily.
Selasa lalu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertikai kerajaan kerana membelanjakan RM170 juta dengan cara salah hanya untuk membetulkan persepsi orang awam terhadap polis.
Wan Azizah berkata, 71 peratus daripada belanjawan NKRA tahun 2012 adalah untuk mengurangkan perasaan takut terhadap aktiviti jenayah.
Justeru, kata Wong Chen, Pemandu perlu menjawab RM170 itu diguna dan dibelanjakan untuk apa.
“Kalau Teh Yee mengatakan Wan Azizah silap kerana menyangka kos menghantar anggota polis ke lapangan sebagai kos perhubungan awam, ini juga satu persoalan baru.
“Bukankah biaya anggota polis itu sendiri melalui pembekalan Kementerian Dalam Negeri. Sepatutnya tiada kena mengena. Mereka ada petuntukan sendiri. Dan apakah kos perhubungan awam itu?” soal Wong Chen.
Pengurusan NKRA merangkumi lima dasar, iaitu pengurangan indeks jenayah, pengurangan jenayah jalanan, meningkatkan pesalah kes ganas ke mahkamah, menganjur lebih banyak acara komuniti dan mengurangkan perasaan takut terhadap aktiviti jenayah.
“Hanya satu aktiviti yang dinyatakan dalam Laporan Tahunan Pemandu 2011 iaitu Pentauliahan Kaji Selidik – ‘Perasaan Takut Menjadi Mangsa Penyiasatan Jenayah’.
“Persoalannya, mengapa belanja mengurus persepsi terlalu tinggi berbanding usaha pencegahan jenayah? Dilihat dari belanja besar kerajaan, masalah jenayah masih tak selesai.
“Kalau rumah keluarga Ahli Parlimen pun dimasuki pencuri, rumah bekas menteri dirompak, apa jaminan (kerajaan) kepada kita rakyat biasa?” soal Wong Chen.

Tiada ulasan: