Isnin, 19 Mac 2012

MEX: Kembalikan RM976.7 juta pelaburan rakyat

Mengapakah kerajaan sanggup menswastakan projek lebuhraya yang menelan bajet RM1.32 bilion selepas membiayainya dengan duit rakyat RM976.7 juta kepada sebuah syarikat yang kemudiannya mendapatkan pinjaman RM343 juta untuk menyiapkannya?

Lebih teruk lagi, apabila syarikat berkenaan ini dikatakan ingin menjual lebuhraya tersebut pada harga RM1.7 bilion, dan sekiranya berlaku ia bakal mendapat keuntungan RM1.09 bilion sekiranya wang rakyat RM976.7 juta tidak dikembalikan.

Inilah yang sedang berlaku kepada projek Lebuhraya Maju Expressway (MEX) yang panjangnya 26km menghubungkan Kuala Lumpur dengan Putrajaya, yang dimiliki 96.8% oleh Maju Holdings Sdn Bhd kepunyaan Tan Sri Sahid Mohamed yang dianugerahkan secara runding terus tanpa tender.

“MEX ialah satu kes yang terang-benderang duit rakyat dikebas untuk membiayai projek membina lebuhraya tersebut, yang kemudiannya mengebas rakyat apabila terpaksa membayar tol untul 33 tahun.

"Tiada contoh terbaik bagaimana kerajaan BN dan kroni mereka membina lebuhraya untuk merompak rakyat,” kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam satu kenyataan hari ini.

MEX menjadi fokus selepas Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menyeru perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjelaskan mengapa projek tersebut dijual kepada EP Manufacturing Berhad pada harga RM1.7 bilion seperti yang diumumkan syarikat tersebut ke Bursa Malaysia.

Semalam, Rafizi berkata suntikan dana yang dibuat oleh Maju Holdings Sdn Bhd hanyalah sekitar RM60 juta (iaitu 4.5% dari kos keseluruhan) kerana ia turut meminjam RM370 juta dari institusi kewangan.

Oleh yang demikian, katanya penjualan berjumlah RM1.7 bilion ini akan memberi durian runtuh kepada Maju Holdings Sdn Bhd sekiranya geran oleh kerajaan berjumlah RM976.6 juta tidak dikembalikan.

“Wang pembayar cukai Malaysia dikebas sebegitu rupa untuk menjadikan Tan Sri Sahid sebagai seorang bilionair adalah melampau dan tidak boleh diterima. Seperti yang dinyatakan, daripada jumlah keuntungan tersebut, RM967.7 juta adalah wang rakyat,” tegas Pua.

Pua berkata Najib perlu bertindak demi mempertahankan transformasi kerajaan yang diwar-warkan dengan menghapuskan sikap kronisme dan naungan politik.

“Jika beliau gagal bertindak, beliau boleh menanti serangan bertubi-tubi Pakatan Rakyat terhadap rompakan lebuhraya oleh BN dan kroninya sehingga PRU13,” kata beliau.

Tiada ulasan: