Khamis, 23 Februari 2012

Apa yang Shahrizat tahu mengenai Najib yang buat dia takut memecat wanita itu?

Berita
Agak menghairankan betapa besarnya pengaruh Shahrizat ke atas Najib Razak. Sememangnya disebalik desakan supaya beliau berundur dengan cara baik atau dipecat, beliau masih lagi memegang jawatan menteri kabinet dan juga jawatan dalam Umno- sebuah parti penuh rasuah sejak ia memerintah dari tahun 1957.

Setelah kembali daripada percutian beliau selama tiga minggu dan disoal siasat oleh SPRM, Shahrizat kembali menjalankan tugas beliau seperti biasa. Tidak hairanlah senyuman yang beliau lemparkan sekarang agak ‘dibuat-buat’ dan garisan stres sangat jelas pada wajah beliau. Sungguhpun begitu, Shahrizat masih lagi seolah-olah begitu berkuasa ke atas Najib sehinggakan Najib tidak berani mengatakan apa-apa pun. Atau adakah apa yang kita tahu cuma sedikit sahaja dari apa sebenarnya berlaku dalam NFC. Ini menggambarkan betapa kotornya politik dalam Umno dan betapa terdesaknya pertelingkahan dalaman parti itu sekarang.

Drama berskrip

Pada mesyuarat pertengahan minggu untuk pakatan BN, Najib telah memberi bayangan bahawa skandal NFC dan masa depan Shahrizat tidak begitu signifikan untuk BN jadi ia tidak dibincangkan. “Tidak, tidak, tidak dibincangkan di sini. Ini adalah hak perdana menteri,” beliau memberitahu sidang media.

Memandangkan ia hak perdana menteri untuk memecat ahli kabinet, yang sebaliknya juga benar. Err.. bukan menteri kabinet memecat perdana menteri tetapi adalah menjadi keistimewaan PM untuk mengekalkan mana-mana menteri yang dia suka dalam kabinet. Oleh itu, memandangkan rakan-rakan Shahrizat dari Gerakan, MCA dan Umno pernah mendesak beliau untuk berundur, hanya Najiblah yang menjadi sebab beliau masih memegang jawatan.

Dengan mengekalkan jawatan Shahrizat, Najib seolah-olah tidak sehaluan dengan ahli berpengaruh dalam parti beliau termasuk bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad dan bekas menteri perdagangan dan industri Rafidah Aziz. Walaupun Najib disyaki meminta Nazri Aziz, menteri di jabatan perdana menteri - yang dianggap jurucakap Najib, untuk menunjukkan bahawa ada pecah amanah dalam pinajaman kerajaan yang diberikan kepada NFC, tiada tindakan yang diambil terhadap keluarga Shahrizat.

Nazri juga cuba menjual idea bahawa jika keluarga Shahrizat berjaya membayar balik pinjaman RM250 juta itu, beliau boleh tetap memegang jawatan. Adakah Nazri cuba memberikan jalan keluar untuk Shahrizat? Ada cakap-cakap dalam Umno bahawa Najib telah memberikan Shahrizat sehingga hujung bulan ini untuk berundur dengan rela hati. Beberapa orang pemimpin Wanita Umno pula sedang merancang untuk melakukan EGM bagi menyingkirkan Shahrizat daripada jawatan Ketua Wanita sekiranya beliau masih enggan berundur. Itu masih juga cakap-cakap sahaja dan bukan tindakan konkrit.

Adakah Najib sedang memberi gambaran bahawa beliau adalah seorang yang baik dan pencegah rasuah tetapi harus bertindak dengan berhati-hati kerana hal dalaman? Umno boleh berbuat sesuka hati dengan masa yang mereka ada dan janji mereka itu pasti akan dilupakan. Contoh yang baik adalah Nazri sendiri di mana beliau ditugaskan untuk menyiasat Peguam Negara yang menggugurkan kes rasuah bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Thamby Chik setelah dibayar RM40 juta. Sebagai balasannya, Rahim melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan parti. Itu sudah bertahun-tahun lamanya dan sehingga kini, tiada tindakan yang di ambil.

Najib sendiri yang menundakan tindakan yang harus di ambil

Jadi apakah yang menghalang Najib? Ramai dalam Umno yang berpendapat bahawa PM dan penyokong beliaulah yang harus dipersalahkan dalam kes Shahrizat. Dalam usaha mereka menyingkirkan Shahrizat dan meletakkan Raja Nong Chik sebagai calon di kawasan yang telah lama menjadi kawasan wanita itu iaitu Lembah Pantai, seluruh jentera Umno dan juga kepimpinannya telah dilanda berita negatif.

Hanya semalam, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dianggap sebagai pencabar Najib untuk jawatan presiden, telah cuba membantu Shahrizat dengan mengatakan kepada beliau bahawa tidak perlu tergesa-gesa, beliau boleh buat keputusan setelah selesai siasatan polis dan SPRM. Walaubagaimanapun, jika dikira mengikut perkiraan masa dalam politik Malaysia, ia boleh mengambil masa berbulan-bulan ke tahun. Lihat sahaja kes Rahim!

Dengan membuat kenyataan sebegitu, Muhyiddin sebenarnya memperjudikan dirinya sendiri. Ramai dikalangan pesaing politik beliau telah pun mengetengahkan bahawa beliau merupakan menteri pertanian yang menganugerahkan keluarga Shahrizat projek ternakan lembu NFC pada tahun 2006. Jadi masuk akal juga bahawa Muhyiddin sedang membantu Shahrizat untuk menutup perhal NFC. Perkembangan ini sememangnya memberi kelebihan kepada puak Najib.

Ada pula puak Badawi-KJ yang patut dineutralkan

Mungkin inilah sebabnya mengapa Najib sedang mengambil masa dalam membuat keputusan untuk meminta Shahrizat berundur sedangkan segala fakta jelas membuktikan bahawa beliau harus berundur. Pemimpin PKR percaya bahawa mereka diberi maklumat mengenai kes ini daripada orang dalam Umno sendiri.

Semestinya skandal NFC memberi bonus kepada Najib kerana membolehkan beliau memecahkan parti beliau yang sudahpun retak. Umno yang berpecah akan membantu Najib mengekalkan kuasa apabila pemilihan parti dijalankan pada akhir tahun ini dan untuk beliau kekal sebagai presiden.

Najib akan dapat meletakkan orangnya di Lembah Pantai dengan mudah, menimbulkan syak wasangka dan menjadikan ia sukar untuk Muhyiddin yang sedang berhempas pulas sejak menyalahi Mahathir dengan polisi penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran matematik dan sains.

Satu lagi kumpulan pesaing yang harus dineutralkan oleh Najib dengan skandal NFC adalah yang dikuasai oleh bekas PM Abdullah Badawi dan menantunya Khairy Jamaluddin. Daripada cara Khairy mempertahankan kes itu dahulu, sekarang beliau sudah diam seribu bahasa apabila bercakap soal Shahrizat. Tidak hairanlah kerana lelaki berusia 30-an graduan Oxford itu sudah menyedari pada saat akhir bahawa beliau sudah dipergunakan oleh musuhnya.

Khairy dan Badawi didakwa menganugerahkan projek NFC kepada Shahrizat dan mengenepikan cadangan daripada firma-firma luar negara demi membantu beliau memenangi jawatan Ketua Wanita pada 2008. NFC adalah sebuah projek ternakan lembu yang berobjetif untuk memastikan Malaysia menghasilkan 40% daripada daging lembu untuk menjadikan harganya lebih murah untuk rakyat.

Kajian terhadap rasuah : Inilah cara Umno

Pada dasarnya, skandal NFC sebenarnya adalah satu petunjuk kepada cara sebenar Umno. Ia sebenarnya parti yang tidak bermoral dan ia tidak kisah akan segala permasalahan dan politik dalaman yang sedang diperhatikan oleh rakyat. Parti itu juga tidak kisah bahawa rakyat sedang diperbodoh-bodohkan oleh tindak-tanduk Najib. Ahli Umno juga sebenarnya tidak kisah bahawa parti itu sedang dimusnahkan oleh presiden dan orang-orangnya.

Sekarang rakyat pasti faham mengapa menteri pertanian sekarang, Noh Omar yang mendakwa dirinya tahu dan punyai bukti dalam pencurian pasir oleh pemimpin PKR boleh sahaja berkata ‘Uhhh, saya tak tahu’ apabila ditanya jika ada elemen pecah amanah dalam cara Shahrizat menggunakan pinjaman RM250 juta kerajaan itu.

Pemimpin PKR juga telah memberikan pihak media bukti bagaimana Shahrizat membelanjakan sebahagian besar wang pinjaman itu pada kondo mewah, kereta, kad kredit, percutian dan sebagainya. Pinjaman itu telah diberikan oleh kerajaan yang ditadbir Abdullah Badawi untuk memulakan projek NFC.

Najib tidak akan singkirkan Shahrizat dalam masa terdekat

Jelas juga sekarang mengapa Shahrizat enggan berundur walaupun didesak oleh orang kuat Umno seperti Mahathir dan Rafidah.

Shahrizat mungkin tahu bahawa Najib tidak akan menyingkirkannya dalam masa terdekat. Beliau bukanlah seseorang yang sukar untuk diramal tindak tanduknya. Apalagi untuk ahli parti beliau yang sudah lama mengenali beliau.

Beliau dan orang-orang beliau mungkin dengan tegas membuat komen dan menunjukkan bahawa mereka serius dalam membersihkan projek NFC termasuk mengeluarkan Shahrizat dari pentas politik. Tetapi sehingga mereka dapat menggunakan skandal itu sebagai kelebihan politik mereka dan apabila mereka tidak lagi memerlukannya, hanya pada masa itulah Shahrizat akan menghitung harinya.

Kini, begitu juga dengan Muhyiddin. Jangkamasa yang beliau minta daripada Shahrizat adalah sehingga penyiasatan selesai. Itu pun masih samar-samar bila ia akan berlaku! Tetapi sudah pasti Shahrizat akan membida untuk pengunduran yang paling menguntungkan. Kerana beliau tahu beliau pasti pergi suatu hari nanti.

Akhirnya, mereka yang kalah adalah rakyat Malaysia. Ini kerana apabila elit Umno sudah selesai dengan kepentingan mereka, rakyat akan dapati tidak banyak yang hilang daripada NFC. Segalanya dengan tidak semena-mena sudah dipulihkan dan tiada yang harus dihukum. Untuk mendakwa mereka atas tuduhan rasuah, itu sesuatu yang sememangnya tidak mungkin. Segalanya adalah kelemahan pihak pembangkang.

Tiada ulasan: