Isnin, 21 November 2011

NFC biayai RM32,000 pakej umrah suami, anak Shahrizat

KEADILAN membongkar pendedahan lebih mengejutkan berhubung skandal National Feedlot Corporation (NFC) apabila syarikat itu membiayai pakej umrah bernilai RM31,580 atas nama Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh.

Pembiayaan umrah melibatkan suami dan anak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil itu didedahkan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution di parlimen hari ini.

“(Sebelum ini) kita dah dedahkan tentang pembelian kondo mewah, lawatan keluar Negara, dan dana subsidi yang dimilik Shahrizat Jalil dan kali ini berkenaan dengan bayaran pakej umrah Salleh dan anaknya pun sekali,” kata Saifuddin dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

“Sampai bila nak dihentikan, lepas ni nak belanja apa pula?” Soalnya.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, KEADILAN mempunyai bukti jelas bagaimana arahan agar pembayaran bagi pakej umrah menggunakan dana awam itu datangnya dari pejabat Pengerusi Eksekutif NFC sendiri.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan NFC yang mendapat dana sebanyak RM250 juta gagal memenuhi matlamat dan mencapai sasaran untuk membekalkan keperluan daging lembu tempatan.

NFC gagal membiak 8,000 lembu, jauh menepati sasaran iaitu 60,000 lembu setahun.

Pimpinan KEADILAN turut mendedahkan RM116 juta dari peruntukan itu dilabur dalam simpanan tetap yang memberi pulangan atas angin kepada syarikat berkenaan sebanyak RM666,952.96.

KEADILAN juga mendedahkan ahli keluarga Shahrizat memboroskan RM827,579 dari peruntukan projek lembu itu untuk melancong ke luar negara pada 2009.

Lebih mengejutkan, NFC turut membeli kondominium mewah berharga RM9.8 juta di One Menerung, Bangsar sebagai bayaran kepada National Mear and Livestocks Crporation yang juga dimiliki keluarga Shahrizat.

Bagaimanapun, Mohamad Salleh dalam satu kenyataan minggu lalu berkata harga sebenar kondo berkenaan ialah RM13.8 juta dan digunakan bagi tujuan pelaburan.

Tiada ulasan: