Rabu, 5 Oktober 2011

UMNO/APCO-BN MAHU LARI KE MANA?

Biarpun semua yang diucapkannya hanya mengulangi pernyataan kontroversi Lee Kuan Yew dan statistik PDRM sendiri menunjukkan bahawa jenayah di Johor lebih teruk daripada di Pulau Pinang, Lim Guan Eng memohon maaf kepada sultan dan rakyat negeri Johor. Namun, permohonan maaf yang disertakan dengan pernyataan akan menyaman media UMNO telah menimbulkan histeria baru dalam kalangan pemimpin UMNO/APCO. Mereka, termasuklah pencacai-pencacai dari menara gading dan media alternatif menyifatkannya sebagai tidak ikhlas. Usaha mutakhir ini merupakan satu lagi propaganda untuk cuba meracuni pemikiran rakyat agar membenci Pakatan Rakyat. Sebaik mana sekalipun perkara itu dicanangkan, rakyat akan membenci UMNO/APCO-BN kerana hakikatnya merekalah yang terpalit dengan pelbagai kegiatan yang menghina agama dan bangsa.


Pernahkah UMNO/APCO memohon maaf kepada Raja-Raja Melayu yang pernah mereka hina dan kurangkan kuasa? Tidak pernah. Yang berlaku adalah apabila rasa terdesak, mereka akan berselindung di sebalik raja. Sudahkah individu yang pengikutnya merujuk kata "NATANG" kepada raja memohon maaf? Sampai sekarang pun belum lagi. Sudahkah Ali Rustam yang menghina Kelantan memohon maaf ? Dia hanya diam seribu bahasa apabila diajukan persoalan itu. Sudahkah semua pemimpin UMNO/APCO yang menghina hukum Allah berhenti melakukannya? Hakikatnya mereka bukan sahaja terus berbuat demikian tanpa rasa bersalah sedikit pun malahan juga membuatkan golongan bukan Islam semakin bertambah takut kepada hukum hudud. Sudahkah UMNO/APCO memohon maaf kepada orang Melayu yang mereka khianati? Nahe! Nahe!! Nahe!!!


Yang kita dengar hanyalah pernyataan-pernyataan yang menyatakan kebimbangan yang amat sangat terhadap kemerosotan sokongan Melayu kepada UMNO/APCO. Mereka tidak berasa kesal sedikit pun. Sebaliknya mereka mahu menyusun strategi baru untuk memikat golongan itu supaya kembali menyokong mereka dalam PRU Ke-13 nanti. Semua kerja jahat mereka simpan. Mereka tutup. Yang ditonjolkan ialah sisi-sisi ungkitan kebaikan mereka dan beraneka kejahatan musuh yang semakin hari semakin mendapat sokongan rakyat. Kesemuanya bermotifkan politik, iaitu mempertahankan kuasa.


Sememangnya mereka sudah merasakan bahang kemarahan rakyat. Setiap hari ada-ada saja bukti kejahatan UMNO/APCO didedahkan kepada rakyat. Kesemuanya tidak boleh ditepis dengan hujah yang meyakinkan rakyat. Lantaran itu mereka mempergiatkan penyebaran fitnah dan propaganda untuk mengatasinya, termasuklah memperlekehkan musuh dan masuk bakul angkat sendiri!!! Pemikiran yang terkebelakang ini dapat dihidu dengan mudah oleh rakyat yang bermaklumat. Mereka sudah mampu mengakses dan menilai apa-apa juga maklumat yang disampaikan. Sehubungan itu, UMNO/APCO sudah buntu untuk mencari teknik dan taktik yang mujarab bagi mengatasinya. Demikianlah nasib sebuah parti yang tidak sedar diuntung walaupun sudah diberi peluang selama lebih lima puluh tahun untuk mengemudi negara.
Kita dapat melihat dengan jelas kecelaruan pemikiran para pemimpin UMNO/APCO. Peningkatan pernyataan "yes bos" semakin nyata sekarang ini kerana pilihan raya umum sudah dekat. Aktiviti merebut jawatan pun semakin menjadi-jadi. Wujudlah sikap berpuak-puak untuk menyuburkan budaya cantas. Buah-buah inilah yang akan memusnahkan UMNO/APCO. Namun, di sebalik itu, penambahan bodekan terhadap rakyat semakin menjadi-jadi ketika ini. Memang inilah kerja mereka sejak dulu, kini, dan selamanya. Melayu masih di tahap itu-itu juga. Apabila Melayu bising kuota ekuiti mereka akan dihapuskan, dengan segera penafian dibuat. Kalau musuh yang membuat penafian, seluruh gerombolan bangun mencaci. Bila bos sendiri menafi, pijak semut pun tak mati. Itulah imej hipokrit yang terpahat pada wajah UMNO/APCO.

MCA terus menghina hukum Islam. UMNO/APCO senyum sahaja kerana tak perlu kata apa-apa. Alangkah munafiknya mereka. Was-was, syak wasangka, dan resah gelisah memang terselit dalam lipatan perasaan manusia sebegini. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika terdapat dalam kalangan mereka yang meragui kemampuan mereka untuk memenangi pilihan raya umum yang akan datang. UMNO/APCO sendiri sudah mula gentar apatah lagi MCA. MIC, Gerakan, PPP, dan selainnya tidak payah ceritalah. Hakikatnya ialah semakin mereka takut, akan semakin kuatlah propaganda dan fitnah yang akan melakari dunia politik tanah air. Inilah gerakan cuba membodoh-bodohkan rakyat yang diulang dari masa ke masa oleh UMNO/APCO tanpa sedikitpun improvisasi untuk mengangkat nilai umpppnya.

Rakyat Malaysia sememangnya mahu melihat UMNO/APCO-BN berkecai dalam pilihan raya umum nanti. Apa-apa jua bentuk gula-gula yang akan diberikan dalam Bajet 2012 nanti sukar mengubah persepsi negatif mereka terhadap kerajaan yang bobrok sekarang ini. Mereka akan melihat situasi pelik akan berlaku. Dalam keadaan ekonomi dunia yang bercelaru ketika ini, kerajaan UMNO/APCO-BN tiba-tiba mempunyai kemampuan yang luar biasa memberi itu dan ini kepada rakyat. Adakah rakyat akan melupakan begitu sahaja kenaikan kos sara hidup, peningkatan kes jenayah, keruntuhan moral akibat lemahnya pegangan terhadap agama, berleluasanya pembaziran dan rasuah dalam kalangan pemimpin, dan sebagainya dengan pemberian yang bersifat kosmetik itu? Jawapannya anda semua sudah tahu. Ini bukan tahun 60-an, 70-an, 80-an, dan 90-an. Tahun-tahun 2000-an ini, orang kampung pun sudah keluar dari bawah tempurung!!! UMNO/APCO mahu lari ke mana?

Tiada ulasan: