Jumaat, 18 Jun 2010

KELENTONG LAH LAGI
Analisis Isu

"Setelah gagal mengekang kemarahan rakyat terhadap pelbagai tindakan kerajaan yang tidak direstui, pemimpin negara muncul dengan isu Jemaah Islamiyah (JI). Isu ini dilihat sebagai usaha terbaru kerajaan untuk mengalih pandangan rakyat daripada kerja buruk mereka. Rakyat memarahi kerajaan kerana isu pemberian lesen judi sukan, isu tanah KTMB di Singapura, isu

penyerahan telaga minyak L dan M yang kaya kepada Brunei, isu penggunaan wang FELDA, isu royalti petroleum untuk Kelantan, isu penyingkiran hak Melayu dalam RMK10, dan isu Model Baru Ekonomi (MBE) yang tidak semenggah.

Rakyat tidak perlu gundah dengan telatah kerajaan ini. Mungkin ada tangkapan-tangkapan yang disengajakan tidak lama lagi bagi menunjukkan dakwaan itu benar-benar berlaku. Perkara-perkara seperti ini pernah berlaku dahulu.

Nampaknya kerajaan UMNO-BN tidak dapat lagi menyembunyikan kedudukan kewangan negara yang tidak menggalakkan. Sekejap kata nak bankrap. Sekejap kata KDNK naik. Sekejap kata masih mampu bayar hutang. Sekejap pula kata boleh maju menjelang 2020. Sekejap kata Melayu tak sokong UMNO. Sekejap kata "Melayu Bangkit".

Demikianlah keadaan orang yang tenggelam punca. Tidak tahu yang mana satu hendak dipegang. Kiri tak kena. Kanan tak sampai. Depan tersekat. Belakang tak nampak. Atas terkapai-kapai. Bawah tertomoih. Apa lagi yang boleh dibuat? Kelentonglah habis-habisan.

Masalah yang dihadapi UMNO-BN sekarang ialah keburukan mereka telah diketahui oleh majoriti rakyat. Rakyat mendapat maklumat daripada pelbagai sumber sama ada dalam mahupun luar negara. Mereka tak percaya kepada akhbar arus perdana yang pengampu. Mereka tak percaya kepada RTM, TV3, dan selainnya yang membodek saban ketika. Sampaikan kata Najib popular pun dipertikaikan. Nasiblah. Bukan salah ibu mengandung. Berani buat, beranilah tanggung. Kata orang tua-tua, "Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai."

Tiada ulasan: