Khamis, 18 Februari 2010

Fahami Dasar Perjuangan Parti

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berpesan kepada semua ahli parti agar menjaga mutu perjuangan, memelihara akhlak, prinsip serta memahami sedalam-dalamnya dasar perjuangan jika mahu memimpin atau dipilih sebagai calon pilihan raya umum ke-13 kelak.

Katanya, pemahaman dasar perjuangan bukan sahaja kepada mereka yang memimpin tetapi juga kepada ahli bawahan atau jentera supaya tidak timbul keresahan di kalangan rakan-rakan seperjuangan dalam gabungan Pakatan Rakyat.

"Kita tahu pemilihan nama mereka dulunya dibuat berdasarkan kehendak semasa, namun pada pilihan raya umum akan datang kita akan lebih teliti agar tidak ada yang lari di pertengahan jalan," tambahnya ketika berucap di hadapan kira-kira 15,000 hadirin di Dewan Millenium, Kepala Batas, kelmarin.

Ingatan itu, sambungnya, amat penting kerana beliau tidak mahu ada kepimpinan tidak amanah terhadap harapan rakyat, tambahan lagi calon yang memenangi atas tiket parti tidak jujur dan lari tanpa mengosongkan kerusi.

Kali ini, katanya PKR akan teliti semua latar belakang terutamanya prestasi dan iltizam mereka terhadap perjuangan barulah semuanya akan disenaraikan sebagai calon.

"Saya akui itu kelemahan kita kerana waktu itu PKR ketandusan orang yang berwibawa untuk di ketengahkan sebagai calon tetapi hari ini yakinlah kita mempunyai ramai calon yang mempunyai tokoh dan sanggup mendokong parti," ujarnya dalam program anjuran Angkatan Muda PKR Pulau Pinang.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Pengerusi PKR negeri, Dr Mansor Othman dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Rosidi Husain.

Tiada ulasan: