Jumaat, 24 Ogos 2012

Borak bersama Anwar Ibrahim #BorakAnwar


Mahathir : Dendam Kesumat Yang Tidak Berpenghujung

Anwar Ibrahim Club (AIC) amat tertarik dengan serangan terbaru Tun Mahathir terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim seperti yang disiarkan sebuah portal semalam, dengan menyebut Ketua Umum PKR itu dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mempunyai persamaan iaitu menabur banyak janji besar tetapi tidak dipenuhi.
Beliau juga menggesa supaya sokongan diberikan kepada BN kerana Anwar, kata Mahathir, menjanjikan banyak perubahan tetapi tiada jaminan bahawa janji tersebut akan ditunaikan.
Umum mengetahui sejak lama , Mahathir mempunyai dendam peribadi yang tinggi terhadap Anwar Ibrahim ekoran perbezaan polisi dalam urustadbir kerajaan semasa Ketua Pembangkang Malaysia itu menjadi orang nombor dua Malaysia dalam kabinet Mahathir , yang akhirnya melakar sejarah hitam demokrasi negara pada 1998.
Serangan terbaru ini adalah rentetan tekanan demi tekanan yang diterima Mahathir berikutan kelemahan pentadbiran Najib Razak yang kini sedang diasak oleh Pakatan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim untuk mara ke Putrajaya. Mahathir melihat situasi ini amat membahayakan kedudukan beliau sebagai ‘de facto’ kerajaan serta sekali lagi bakal menyebabkan perniagaan anak kesayangan beliau iaitu Mirzan menemui noktah buruk seperti dulu.
Lupakan Mahathir, Pakatan Rakyat Terus Mara Ke Putrajaya
AIC melihat omongan Mahathir ini sebagai tidak bermaya dan keluar dari mulut seorang bekas Perdana Menteri yang akan dilupakan satu hari nanti. Mahathir sengaja menutup mata melihat pembangunan dan perkembangan baik ekonomi yang dilakukan oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.
Mahathir lupa kebanyakkan polisi kerajaan yang ingin segera diubah adalah disadur daripada idea Buku Jingga yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat apabila mentadbir Putrajaya nanti. Mahathir juga lupa pembangunan bukan sahaja melibatkan pembangunan stuktur bangunan tinggi semata-mata, tetapi asas ekonomi yang melibatkan kehidupan seharian rakyat terbanyak.
AIC yakin rakyat Malaysia tidak lagi memerlukan idea dan buah fikiran Mahathir yang jelas menjaga kepentingan diri dan kroni rapat dengan beliau. Malaysia tidak akan bankrap sekiranya memberikan pendidikan percuma kepada rakyat, hatta melaksanakan polisi penurunan harga kereta. AIC hairan bagaimana seorang diktator selama 22 tahun boleh berfikiran secetek ini apabila menyebut tentang polisi ekonomi. 
Negara akan dan sedang menuju bankrapsi apabila ratusan juta dilaburkan kepada individu dan korporat secara tertutup dan tidak memulangkan hasil seperti skandal NFC melibatkan RM 250 juta serta skandal Bank Negara yang melibatkan RM 30 Billion wang rakyat yang diniagakan di pasaran matawang. 
Mahathir boleh terus berada dalam dilema yang beliau reka sendiri puluhan tahun lalu, rakyat Malaysia sudah bersedia untuk bersatu di bawah pimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baru. Rakyat juga telah bertekad untuk menolak “Syaitan” yang mereka kenal, dan memilih seorang pemimpin baru yang betul-betul menunjukkan semangat untuk membawa Malaysia keluar dari kemelut identiti dan keruntuhan ini.
AIC meyakini dalam segala aspek sekalipun, Mahathir terlalu jauh untuk menggapai apa yang telah Anwar berikan kepada rakyat Malaysia khasnya dan dunia amnya iaitu -Inspirasi. Disaat Mahathir termanggu manggu merasmikan perhimpunan ultra Melayu seperti Perkasa, Anwar Ibrahim dengan megah dan terhormat menjadi jemputan untuk merasmikan dan berpidato dalam perhimpunan ekonomi sedunia. 
Inilah dilema Mahathir, semakin beliau menghasut rakyat untuk membenci Anwar Ibrahim, jalan perubahan semakin terbuka luas. Usahlah berpura-pura mengambil berat tentang negara, jika seorang bekas Perdana Menteri memgang kepentingan dalam industri otomobil dan petroleum negara. Usahlah berbicara tentang moral jika anak sendiri memgang modal besar dalam syarikat arak antarabangsa.
Rakyat boleh mula melupakan Mahathir, dan jadikan pedoman dan doa supaya bangsa Malaysia akan datang tidak lagi dipimpin oleh maha karut seperti ini. 
GENERASI PENGGERAK ZAMAN

Saifuddin Shafi Muhammad
PRESIDEN
AIC MALAYSIA

Rabu, 15 Ogos 2012

Rabu, 8 Ogos 2012

Cerita balik raya: Untung dan rugi?

Artikel "
Manusia sering membuat pertimbangan antara keuntungan dan kerugian lebih daripada membuat penilaian antara benar dan palsu. Ini dapat dilihat apabila menyingkap sejarah mahupun di dalam retorik politik.


Pengumuman Pakatan Rakyat (PR) untuk menghapuskan cukai eksais, cukai jualan dan cukai import semua kenderaan dapat dinilai daripada perspektif untung-rugi dan benar-palsu yang saya maksudkan tadi.
Jika dihapuskan beban cukai tiga ganda ini, harga kereta nasional akan turun ke sekitar RM30,000, manakala harga kereta seperti Honda dan Toyota turun ke sekitar RM50,000 secara purata. Ini memberi rakyat peluang untuk memiliki kenderaan, yang kini bukan lagi satu barang mewah tetapi satu keperluan asas tatkala sistem pengangkutan awam masih pincang dan jarak antara tempat tinggal dan tempat kerja semakin jauh akibat penempatan yang bertambah luas.

Siapa yang akan untung? Sudah tentu rakyat daripada semua lapisan. Sebanyak 20 peratus daripada RM580 bilion hutang isi rumah sekarang adalah disebabkan pinjaman kereta, mengakibatkan pendapatan boleh guna yang rendah kerana perlu membayar hutang kereta, juga hutang rumah dan hutang kad kredit.
Jika diambil kira hutang PTPTN, beban hutang isi rumah jauh tinggi daripada yang sepatutnya. Tangga gaji yang bukan sahaja rendah malah membeku – ia hanya meningkat 2.3 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan, seperti yang dilaporkan Jabatan Perangkaan – hanya menambahkan bukti bahawa rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi berbanding piawaian antarabangsa.
Ini terbukti apabila nisbah harga rumah kepada gaji yang lazimnya lima kali ganda (purata antarabangsa) hampir 15 kali ganda di negara kita.

Penghapusan cukai tiga ganda akan menyebabkan Proton lebih berdaya saing kerana ia mesti bertambah baik dan mengeluarkan kereta yang lebih berkualiti. Selain menghapuskan cukai tiga ganda ini, sistem AP akan turut dirombak agar kereta reconditioned akan menjadi lebih murah.
Inilah perbezaan Agenda Reformasi Ekonomi Pakatan Rakyat yang berteraskan ‘merakyatkan ekonomi’ dan ‘keadilan ekonomi’ (economic justice) di dalam sebuah negara berkebajikan. Dengan merangka dasar ekonomi tanpa pengherotan yang menjadi teras ekonomi BN, harga barangan dan perkhidmatan akan turun untuk keperluan dan keselesaan rakyat.

Selain cukai tiga ganda ini, Pakatan Rakyat akan menghapuskan hutang PTPTN, menurunkan harga minyak petrol, dan juga harga gula (dengan menghapuskan monopoli ke atas komoditi ini). Harga rumah mampu milik juga akan turun apabila tiada kolusi dan korupsi antara pemerintah, pembangun hartanah dan pembina. Harga perkhidmatan kesihatan akan turun hasil daripada penambahan kapasiti perkhidmatan kesihatan kerajaan yang lebih efisien. Keutamaan juga diberikan kepada pemerkasaan dan integrasi perkhidmatan pengangkutan awam termasuk komuter, LRT, dan MRT.
Amat menyedihkan lagi kadar kemiskinan buat kali pertamanya semenjak 1999 telah meningkat 1.5 peratus. Kita juga kena ingat bahawa angka kadar kemiskinan atau Poverty Line Index rasmi pada RM800 adalah tidak tepat di mana ia sepatutnya RM1,300 juga menutup kebenaran kadar kemiskinan rakyat di negara ini, di mana koefisien Gini setinggi 0.46 (anggaran Bank Dunia) – antara yang tertinggi di Asia.

Usaha PR untuk merakyatkan ekonomi sering dibantah kerajaan Barisan Nasional dengan hujah seperti negara akan muflis nyata tidak benar, kerana apabila ada Reformasi Ekonomi akan berlakunya pengagihan ekonomi yang lebih adil lalu memaksa sektor ekonomi bertambah efisien dan berdaya saing.
Ternyata dengan pengurangan harga barang dan bebanan hutang, rakyat akan menikmati pendapatan boleh guna yang lebih tinggi untuk disimpan, dilabur atau mempelbagaikan perbelanjaan langsung merangsang ekonomi negara dengan lebih mampan serta melimpah kepada lebih banyak syarikat dan bukan kepada segelintir syarikat kroni yang miliki monopoli komoditi. Inilah keuntungan untuk rakyat, yang akan merdeka daripada menjadi tawanan ekonomi kapitalisme kroni dan hamba hutang.

Siapa yang akan rugi? Penganut kapitalisme kroni akan merasakan kerugiannya tatkala tiada lagi penswastaan keuntungan dan liabiliti sektor swasta tidak lagi dinasionalisasikan. Lubang ketirisan ekonomi akibat rasuah, pemerolehan projek terlalu mahal, dan amalan menjarah kekayaan negara akan tertutup. Malah projek seperti LRT Ampang akan diberi secara tender terbuka kepada syarikat yang benar-benar layak.
Insya-ALLAH, tahun depan sekiranya melalui pilihan raya yang bebas dan adil sebuah era baru akan diundi masuk ke Putrajaya, lebih ramai rakyat akan pulang ke kampung halaman dengan memandu kereta baru masing-masing