Rabu, 8 Ogos 2012

Cerita balik raya: Untung dan rugi?

Artikel "
Manusia sering membuat pertimbangan antara keuntungan dan kerugian lebih daripada membuat penilaian antara benar dan palsu. Ini dapat dilihat apabila menyingkap sejarah mahupun di dalam retorik politik.


Pengumuman Pakatan Rakyat (PR) untuk menghapuskan cukai eksais, cukai jualan dan cukai import semua kenderaan dapat dinilai daripada perspektif untung-rugi dan benar-palsu yang saya maksudkan tadi.
Jika dihapuskan beban cukai tiga ganda ini, harga kereta nasional akan turun ke sekitar RM30,000, manakala harga kereta seperti Honda dan Toyota turun ke sekitar RM50,000 secara purata. Ini memberi rakyat peluang untuk memiliki kenderaan, yang kini bukan lagi satu barang mewah tetapi satu keperluan asas tatkala sistem pengangkutan awam masih pincang dan jarak antara tempat tinggal dan tempat kerja semakin jauh akibat penempatan yang bertambah luas.

Siapa yang akan untung? Sudah tentu rakyat daripada semua lapisan. Sebanyak 20 peratus daripada RM580 bilion hutang isi rumah sekarang adalah disebabkan pinjaman kereta, mengakibatkan pendapatan boleh guna yang rendah kerana perlu membayar hutang kereta, juga hutang rumah dan hutang kad kredit.
Jika diambil kira hutang PTPTN, beban hutang isi rumah jauh tinggi daripada yang sepatutnya. Tangga gaji yang bukan sahaja rendah malah membeku – ia hanya meningkat 2.3 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan, seperti yang dilaporkan Jabatan Perangkaan – hanya menambahkan bukti bahawa rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi berbanding piawaian antarabangsa.
Ini terbukti apabila nisbah harga rumah kepada gaji yang lazimnya lima kali ganda (purata antarabangsa) hampir 15 kali ganda di negara kita.

Penghapusan cukai tiga ganda akan menyebabkan Proton lebih berdaya saing kerana ia mesti bertambah baik dan mengeluarkan kereta yang lebih berkualiti. Selain menghapuskan cukai tiga ganda ini, sistem AP akan turut dirombak agar kereta reconditioned akan menjadi lebih murah.
Inilah perbezaan Agenda Reformasi Ekonomi Pakatan Rakyat yang berteraskan ‘merakyatkan ekonomi’ dan ‘keadilan ekonomi’ (economic justice) di dalam sebuah negara berkebajikan. Dengan merangka dasar ekonomi tanpa pengherotan yang menjadi teras ekonomi BN, harga barangan dan perkhidmatan akan turun untuk keperluan dan keselesaan rakyat.

Selain cukai tiga ganda ini, Pakatan Rakyat akan menghapuskan hutang PTPTN, menurunkan harga minyak petrol, dan juga harga gula (dengan menghapuskan monopoli ke atas komoditi ini). Harga rumah mampu milik juga akan turun apabila tiada kolusi dan korupsi antara pemerintah, pembangun hartanah dan pembina. Harga perkhidmatan kesihatan akan turun hasil daripada penambahan kapasiti perkhidmatan kesihatan kerajaan yang lebih efisien. Keutamaan juga diberikan kepada pemerkasaan dan integrasi perkhidmatan pengangkutan awam termasuk komuter, LRT, dan MRT.
Amat menyedihkan lagi kadar kemiskinan buat kali pertamanya semenjak 1999 telah meningkat 1.5 peratus. Kita juga kena ingat bahawa angka kadar kemiskinan atau Poverty Line Index rasmi pada RM800 adalah tidak tepat di mana ia sepatutnya RM1,300 juga menutup kebenaran kadar kemiskinan rakyat di negara ini, di mana koefisien Gini setinggi 0.46 (anggaran Bank Dunia) – antara yang tertinggi di Asia.

Usaha PR untuk merakyatkan ekonomi sering dibantah kerajaan Barisan Nasional dengan hujah seperti negara akan muflis nyata tidak benar, kerana apabila ada Reformasi Ekonomi akan berlakunya pengagihan ekonomi yang lebih adil lalu memaksa sektor ekonomi bertambah efisien dan berdaya saing.
Ternyata dengan pengurangan harga barang dan bebanan hutang, rakyat akan menikmati pendapatan boleh guna yang lebih tinggi untuk disimpan, dilabur atau mempelbagaikan perbelanjaan langsung merangsang ekonomi negara dengan lebih mampan serta melimpah kepada lebih banyak syarikat dan bukan kepada segelintir syarikat kroni yang miliki monopoli komoditi. Inilah keuntungan untuk rakyat, yang akan merdeka daripada menjadi tawanan ekonomi kapitalisme kroni dan hamba hutang.

Siapa yang akan rugi? Penganut kapitalisme kroni akan merasakan kerugiannya tatkala tiada lagi penswastaan keuntungan dan liabiliti sektor swasta tidak lagi dinasionalisasikan. Lubang ketirisan ekonomi akibat rasuah, pemerolehan projek terlalu mahal, dan amalan menjarah kekayaan negara akan tertutup. Malah projek seperti LRT Ampang akan diberi secara tender terbuka kepada syarikat yang benar-benar layak.
Insya-ALLAH, tahun depan sekiranya melalui pilihan raya yang bebas dan adil sebuah era baru akan diundi masuk ke Putrajaya, lebih ramai rakyat akan pulang ke kampung halaman dengan memandu kereta baru masing-masing

Tiada ulasan: